Automotif

Suka Tunggu Sampai Tangki Kering? Jaga-Jaga Enjin Menangis!

Share

Ramai antara kita pernah berada dalam situasi tengah memandu, tengok meter minyak tinggal satu bar je, tapi masih yakin kereta boleh bertahan “beberapa kilometer lagi”.

Rasa malas nak berhenti isi minyak, tambah pula stesen minyak jauh, jadi kita pun teruskan perjalanan.

Tapi tahukah anda, tabiat tunggu minyak hampir habis sebelum isi sebenarnya boleh mendatangkan kesan buruk pada kereta anda?

Foto : Carsome

Risiko Rosakkan Pam Bahan Api

Pam bahan api direka untuk beroperasi dengan bantuan petrol sebagai penyejuk dan pelincir.

Bila petrol dalam tangki terlalu sedikit, pam bahan api akan berfungsi dalam keadaan ‘kering’.

Keadaan ini boleh menyebabkan pam cepat haus dan akhirnya rosak.

Kos untuk tukar pam bahan api boleh mencecah ratusan ringgit hanya kerana kita lambat isi minyak.

Kotoran & Endapan Masuk Sistem

Foto : SINAR

Setiap tangki minyak akan ada sedikit kotoran atau mendapan di dasar tangki.

Bila minyak dah tinggal sikit sangat, sistem akan mula sedut dari bahagian bawah tangki, dan itu bermakna segala kotoran tersebut berisiko masuk ke sistem bahan api.

Ini bukan sahaja menjejaskan prestasi enjin, tapi juga boleh menyumbat penapis minyak dan merosakkan komponen dalaman.

Risiko Terperangkap di Tengah Jalan

Bahaya paling jelas bila minyak habis adalah kereta boleh mati tengah jalan!

Kalau nasib tak baik, ia boleh berlaku di jalan raya sibuk, waktu malam, atau di lokasi yang sunyi.

Bukan saja menyusahkan diri sendiri, malah boleh mengganggu keselamatan pengguna jalan raya lain.

Tak kurang juga yang akhirnya terpaksa ‘menapak’ sambil pegang botol kosong, cari stesen minyak terdekat.

BACA LAGI : Tukar Minyak Hitam, Jangan Terus Isi Baru, Tolong Tengok ‘Oil Pan’

Elak Masalah, Isi Awal

Untuk elakkan semua masalah ni, jadikan tabiat untuk isi minyak bila tinggal 2 bar atau suku tangki

.

Jangan tunggu sampai lampu amaran menyala. Kalau anda jenis yang selalu lupa, cuba set peringatan berkala atau gunakan aplikasi navigasi yang tunjuk lokasi stesen minyak.

Bila travel jauh, rancang perjalanan siap-siap dan isi minyak lebih awal, terutamanya kalau melalui kawasan luar bandar atau lebuh raya.

Minyak kereta bukan sekadar ‘bahan bakar’ untuk bergerak, tapi juga penting untuk memastikan sistem dalam kereta kekal sihat dan berfungsi dengan baik.

Jangan ambil ringan bila minyak tinggal 1 bar ia mungkin nampak remeh, tapi kesannya boleh makan duit dan masa.

Lebih baik berhenti sekejap dan isi minyak, daripada menyesal kemudian hari.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Darwisy Farain