
Bagi sesetengah orang, motosikal kapcai hanya sekadar kenderaan kecil untuk ke pasar atau ulang-alik ke tempat kerja.
Namun, bagi seorang anak muda bernama Muhammad Zahirul Hakim Zali, 22, kapcai itulah simbol harapan, tekad dan semangat untuk mengubah masa depan.
Dengan hanya berbekalkan motosikal, sebuah baldi dan beg galas, anak muda ini sanggup menunggang lebih 500 kilometer dari Sepang ke Perlis, perjalanan hampir lapan jam lamanya, semata-mata untuk mendaftarkan diri sebagai pelajar baharu Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Teknologi Robotik dan Automasi) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Pengorbanan Seorang Anak Sulung

Sebagai anak sulung daripada enam beradik, Zahirul memikul tanggungjawab besar dalam keluarganya.
Dia sedar ibu bapanya perlu menanggung perbelanjaan adik-beradik lain, justeru dia berusaha mencari jalan paling jimat untuk sampai ke kampus.
“Naik bas atau tren ETS memanglah lebih selesa, tapi kos mencecah RM100 sehala. Kalau bawa motor, hanya sekitar RM30 sahaja. Saya tak mahu susahkan mak ayah,” katanya dengan penuh rendah hati.
Bagi Zahirul, ini bukan kali pertama dia menempuh perjalanan jauh dengan motosikal.
Sejak bergelar pelajar diploma, dia sudah terbiasa merentas negeri untuk menuntut ilmu.
“Saya lebih suka ‘travel’ malam sebab cuaca sejuk dan trafik pun tidak sibuk. Perjalanan lebih tenang, dan kali ini saya banyak teruskan perjalanan tanpa singgah rehat lama. Boleh dikatakan Lebuhraya PLUS sudah jadi rumah kedua saya,” ujarnya sambil tersenyum.
Restu Bapa Selepas Ragu
Pada awalnya, bapanya agak keberatan membiarkan dia menunggang sendirian begitu jauh.
Namun, setelah melihat disiplin dan cara tunggangan Zahirul yang berhemah, si ayah akhirnya akur.
“Saya bukan jenis rempit. Saya ikut lorong betul, patuh peraturan jalan raya. Yang penting selamat sampai. Bila bapa nampak cara saya bawa motor, barulah dia lebih yakin,” katanya.
Walaupun tubuh penat selepas menempuh perjalanan panjang, semua itu hilang apabila Zahirul tiba di kampus.
Baginya, setiap titik peluh itu adalah bukti kesungguhan yang akhirnya membawanya ke destinasi impian.
BACA LAGI : Lelaki Ini Rai Ulang Tahun Dengan Larian 81KM Keliling Pulau Pinang
Sambutan Hangat di UniMAP
Lebih bermakna lagi, ketibaannya di pintu masuk UniMAP pada jam 8.15 pagi turut disambut oleh Naib Canselor, Datuk Dr Zaliman Sauli, yang menanti dengan penuh penghargaan.
Menurut Zaliman, seramai 2,779 mahasiswa baharu mendaftar bagi Sesi Akademik 2025/2026 sempena Minggu Suai Kenal (MSK) di UniMAP Kampus Alam Pauh Putra.
Kisah Zahirul, katanya, menjadi bukti semangat luar biasa generasi muda menuntut ilmu.
Sumber : Harian Metro
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang












