Hiburan

‘The First Wave’ Raikan Setahun ALPHA, Dari Big Stage Ke Konsert Sold Out

Share

Hanya dalam tempoh setahun, tujuh anak muda yang dipertemukan menerusi Big Stage Alpha kini berdiri di pentas yang jauh lebih besar sebagai sebuah kumpulan.

Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky menandakan perjalanan itu menerusi “The First Wave”, konsert solo pertama ALPHA yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.

Dihadiri ribuan ALPHANITES serta barisan selebriti, konsert tersebut bukan sekadar persembahan sulung berskala besar buat mereka.

Ia menjadi satu imbasan kepada setahun yang menyaksikan ALPHA berkembang daripada peserta program realiti kepada kumpulan dengan album sendiri, jutaan strim dan peminat yang semakin kukuh. The First Wave, Setahun Yang Me…

“Apa yang bermula sebagai sebuah pertandingan akhirnya berkembang menjadi satu fenomena, dan ‘The First Wave’ membuktikan bahawa kisah ALPHA sebenarnya baru sahaja bermula,” kata Izat.

Kembali Ke Akar Big Stage

Malam tersebut turut membawa ALPHA kembali kepada titik permulaan perjalanan mereka apabila beberapa alumni Big Stage tampil memeriahkan pentas.

Adam Nazmie, Yad-Z, Ranisha, Daniel Kifli dan Danny membuka persembahan khas buat ALPHANITES, sebelum Hussain bergandingan bersama ALPHA menerusi “Tiada Lagi”, lagu nyanyian asal Amy Search. Hussain turut mempersembahkan single solonya, “Takkan Pernah”, secara langsung buat pertama kali.

Nadeera pula membuat kejutan menerusi “Zapin Usik Mengusik” bersama ALPHA sebelum menyampaikan lagu terbaharunya, “Cuba Jadi Aku”, yang menjadi runut bunyi drama Bulan Henti Bicara

.

Buat Araff, kehadiran rakan-rakan artis menjadikan konsert itu terasa lebih peribadi.

“Salah satu perkara yang menjadikan The First Wave begitu istimewa adalah peluang untuk berkongsi pentas bersama rakan-rakan artis yang telah melalui perjalanan yang sama seperti kami.

“Kehadiran mereka untuk bersama-sama meraikan pencapaian ini mencipta suasana yang cukup bermakna dan sukar dilupakan. Melihat para peminat menyanyi bersama serta memberikan sokongan terhadap setiap persembahan sepanjang malam adalah kenangan yang akan sentiasa kami hargai,” katanya.

Impian Bersama Daiyan Trisha Jadi Kenyataan

Satu lagi momen yang cukup bermakna buat ALPHA ialah peluang berduet bersama Daiyan Trisha menerusi lagu “Haru Biru”.

Hasrat untuk berkongsi pentas dengan penyanyi dan pelakon itu akhirnya menjadi kenyataan di konsert solo pertama mereka.

“Seronok melihat sejauh mana ALPHA telah berkembang dalam masa yang begitu singkat. Mereka memang bekerja keras dan saya rasa semua kejayaan yang mereka kecapi hari ini sememangnya layak untuk mereka.

“Saya berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada detik penting ini dan ingin mengalu-alukan ALPHA untuk terus melakar nama dalam industri. Saya percaya ini hanyalah permulaan kepada lebih banyak kejayaan yang lebih besar buat ALPHA pada masa hadapan,” kata Daiyan.

Konsert itu turut menjadi ruang ALPHA berkongsi beberapa kejutan bersama peminat. Antaranya pratonton eksklusif selama 30 saat video muzik “Burn It Down”, yang dirakam ketika kumpulan itu berada di Korea, selain tayangan pertama video muzik “Mahkota Cinta”. The First Wave, Setahun Yang Me…

Ray-D pula bergandingan dengan pelakon baharu Arabella Ellen dalam persembahan tarian khas “P. Ramlee Saloma”, sebelum lagu popular tersebut dipersembahkan sendiri oleh ALPHA.

ALPHANITES Jadi Sebahagian Daripada Cerita ALPHA

Jika ada satu perkara yang paling jelas sepanjang malam itu, ia adalah hubungan ALPHA dengan peminat mereka.

Tiket The First Wave Concert habis dijual hanya dalam tempoh satu jam setengah, manakala album sulung mereka yang turut menggunakan judul The First Wave

sudah mencatat lebih 100 juta strim dan tontonan terkumpul di platform digital. The First Wave, Setahun Yang Me…

Sky menyifatkan konsert tersebut sebagai penghargaan kepada ALPHANITES yang mengikuti mereka sejak awal.

“Dalam masa setahun, banyak impian yang berjaya kami capai dan semuanya tidak mungkin berlaku tanpa ALPHANITES. Mereka bukan sekadar menyokong perjalanan kami, tetapi menjadi sebahagian daripada kisah ALPHA itu sendiri.

“The First Wave adalah hadiah dan penghargaan kami buat mereka. Setiap sorakan, setiap nyanyian dan setiap detik pada malam ini adalah untuk ALPHANITES yang sentiasa menjadi kekuatan terbesar kami,” katanya.

Setahun pertama ALPHA turut dihiasi pelbagai pengiktirafan. Mereka meraih Video Muzik Tergempak dan Lagu ERA Tergempak di Gempak Most Wanted Awards 2025, selain tersenarai dalam Top 10 Selebriti Tergempak. Siaran media turut menyenaraikan kemenangan Artis Baharu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik di Anugerah Industri Muzik serta pencalonan di Jupiter Music Awards 2026 dan Japan Music Awards 2026.

“Masih terasa seperti mimpi apabila kami berjaya memenangi empat anugerah di AIM, iaitu sebuah impian yang saya tanam sejak kecil lagi. Kami baru setahun bersama sebagai ALPHA, jadi setiap pencapaian ini membawa makna yang sangat besar buat kami,” kata Daniel.

Rizal pula berkata, “Saya bersyukur kerana muzik kami dapat menyentuh hati ramai orang, dan saya berharap kami dapat terus mencipta lebih banyak kenangan bersama para peminat.”

Setahun Yang Singkat, Perjalanan Yang Besar

Di sebalik angka tontonan, anugerah dan tiket yang habis dijual, The First Wave akhirnya kembali kepada cerita tujuh individu yang memulakan perjalanan dengan satu impian yang sama.

“Kalau ada satu perkara yang kami nak ALPHANITES ingat daripada konsert ini, kami nak mereka tahu yang setiap apa yang berlaku atas pentas ini adalah hasil daripada perjalanan kami bersama mereka. Setahun mungkin nampak singkat, tapi untuk kami, terlalu banyak yang berlaku. Kami bermula sebagai tujuh orang yang mempunyai impian. Hari ini kami berdiri sebagai ALPHA. Dan kami tahu, ini baru permulaan,” kata Ariel.

Ketua Rocketfuel Entertainment, Mathan Rajasingam turut melihat perkembangan kumpulan itu sepanjang setahun lalu sebagai sesuatu yang cukup signifikan.

“Kami telah menyaksikan sendiri perjalanan ALPHA sejak dari awal, daripada sebuah pentas yang menyatukan tujuh anak muda berbakat, kepada pelancaran album sulung, konsert solo pertama yang habis dijual dan kini pengiktirafan di AIM.

“Mencapai semua ini dalam tempoh hanya setahun merupakan satu pencapaian yang luar biasa dan mencerminkan kerja keras serta kesungguhan mereka. Itulah yang menjadikan konsert ini begitu bermakna buat kami semua,” katanya lagi.

Bagi ALPHA, The First Wave terasa kurang seperti satu penamat dan lebih kepada penanda bahawa fasa pertama mereka sudah dilalui.

BACA: Empat Isyarat Harian Tubuh Yang Boleh Bantu Anda Lebih Peka Terhadap Kesihatan Jantung

Daripada sebuah pertandingan kepada kumpulan yang kini mempunyai pentas dan peminat sendiri, setahun mungkin kedengaran singkat. Tetapi bagi tujuh anggota ALPHA, cukup banyak yang berlaku untuk menjadikan malam di Zepp Kuala Lumpur itu sebagai salah satu bab terpenting dalam perjalanan mereka setakat ini.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim