
Ramai orang fikir bahawa menjaga kesihatan jantung hanyalah dengan bersenam atau mengawal pemakanan. Namun sebenarnya bagaimana tubuh kita bereaksi atau bertindak balas terhadap rutin harian seperti tekanan kerja, tidur, aktiviti fizikal dan proses pemulihan juga boleh memberikan gambaran lebih luas mengenai keadaan diri.
Perkara ini semakin penting apabila penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian di Malaysia pada 2024, melibatkan 17,421 kematian atau 13 peratus daripada kematian yang disahkan secara perubatan, menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia yang dipetik Garmin dalam perkongsian mereka bersama MASKULIN.
Sempena Hari Jantung Sedunia, Garmin mengetengahkan empat isyarat harian yang boleh diperhatikan melalui rutin dan peranti boleh pakai. Ia bukan bertujuan menggantikan pemeriksaan kesihatan, tetapi membantu pengguna lebih memahami corak tubuh masing-masing.
1. Jangan Nilai Aktiviti Berdasarkan Senaman Sahaja
Tidak semua aktiviti fizikal perlu berlaku di gimnasium. Berjalan ketika waktu makan tengah hari, menggunakan tangga, berbasikal pada hujung minggu atau sekadar meningkatkan jumlah langkah harian turut menyumbang kepada gaya hidup lebih aktif.
Analisis Garmin terhadap data puluhan juta pengguna mendapati mereka yang meluangkan lebih banyak masa untuk aktif secara umumnya mempunyai kadar denyutan jantung rehat yang lebih rendah.

Corak itu dilihat dalam aktiviti seperti berlari, berbasikal, berenang, yoga, latihan kekuatan dan jumlah langkah harian.
Bagaimanapun, kadar denyutan jantung rehat yang lebih rendah tidak semestinya bermaksud seseorang lebih sihat. Bacaan itu berbeza mengikut individu dan boleh dipengaruhi oleh umur, tahap kecergasan, tekanan, tidur serta ubat-ubatan.
Apa yang lebih berguna ialah memahami corak sendiri dan mengenal pasti tempoh terlalu lama tidak bergerak.
2. Lihat Corak Tekanan, Bukan Satu Bacaan
Tekanan boleh datang daripada pelbagai situasi, sama ada kerja yang sibuk, perjalanan jauh, latihan intensif atau kekurangan rehat.
Perubahan kadar denyutan jantung serta heart rate variability (HRV) boleh memberikan petunjuk tentang bagaimana tubuh bertindak balas terhadap tekanan tersebut.
Teknologi penjejakan tekanan Garmin menggunakan data kadar denyutan jantung dan HRV untuk menganggarkan tahap tekanan fisiologi.

Namun, satu bacaan tinggi tidak seharusnya terus dianggap sebagai masalah. Lebih berguna jika pengguna melihat corak dalam tempoh tertentu.
Contohnya, bacaan yang konsisten tinggi ketika beban kerja meningkat atau selepas beberapa malam kurang tidur boleh menjadi isyarat untuk menilai semula rutin, rehat dan proses pemulihan.
3. Kenali HRV Anda Sendiri
HRV merujuk kepada variasi tempoh masa antara setiap degupan jantung.
Berbeza dengan kadar denyutan jantung, tidak ada satu angka HRV yang dianggap “normal” untuk semua orang. Nilainya boleh berbeza secara ketara antara individu.
Sebab itu, lebih baik mengenali baseline HRV sendiri berbanding membandingkannya dengan orang lain. Garmin menyatakan ciri HRV Status membina baseline peribadi selepas kira-kira tiga minggu pengguna tidur sambil memakai jam tangan pintar Garmin yang serasi.

Perhatian lebih wajar diberikan apabila HRV kekal di luar julat kebiasaan selama beberapa hari, terutama jika perubahan itu berlaku bersama tidur yang kurang baik, tekanan tinggi, latihan berat atau ketika tubuh mula terasa kurang sihat.
Garmin turut memetik Harvard Health bahawa HRV lebih rendah dikaitkan dalam penyelidikan dengan peningkatan risiko beberapa masalah kardiovaskular. Namun, HRV bukan alat diagnostik kendiri dan sepatutnya hanya dianggap sebagai metrik sokongan.
4. Pemulihan Sama Penting Dengan Latihan
Berlatih dengan konsisten memang penting, tetapi tubuh juga memerlukan masa untuk pulih. Tidur yang panjang tidak semestinya bermaksud tidur berkualiti.
Tempoh tidur, fasa tidur, gangguan sepanjang malam dan konsistensi rutin semuanya boleh mempengaruhi tahap kesegaran pada keesokan hari.

Penyelidikan Garmin mendapati pengguna yang tidur tujuh jam atau lebih mempunyai kemungkinan 50 peratus lebih tinggi untuk mencapai skor Body Battery 80 ke atas berbanding mereka yang tidur kurang.
Namun sekali lagi, tempoh sahaja bukan ukuran mutlak. Jika tidur sering terganggu atau tubuh masih terasa lesu selepas bangun, pemulihan mungkin perlu diberikan keutamaan berbanding terus memaksa diri menjalani latihan berat.
Jangan Terlalu Taksub Dengan Satu Nombor
Tiada satu bacaan yang mampu menggambarkan keseluruhan kesihatan jantung seseorang.
Sebaliknya, gabungan data seperti aktiviti, kadar denyutan jantung, HRV, tekanan, tidur dan pemulihan boleh membantu pengguna mengenali apa yang normal bagi tubuh sendiri serta menyedari perubahan yang berpanjangan.
Pada masa sama, Garmin menegaskan peranti boleh pakainya bukan peranti perubatan dan data yang diberikan tidak bertujuan untuk mendiagnosis, merawat, menyembuhkan atau mencegah penyakit.
Pemeriksaan kesihatan dan nasihat profesional perubatan tetap penting, terutama jika terdapat kebimbangan terhadap kesihatan atau sebelum memulakan rutin senaman baharu.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
