
Pelakon Zul Ariffin mengakui sanggup melakukan rutin diet ekstrem demi menjayakan watak Firdaus dalam filem aksi terbaharu, The Furious: Pertarungan Maruah.
Menurut Zul Zul Ariffin, transformasi fizikal untuk filem tersebut bukan sekadar biasa-biasa, malah menjadi antara cabaran paling ekstrem pernah dilakukannya sepanjang bergelar pelakon.
Lebih mengejutkan, aktor berusia 39 tahun itu mendedahkan dia berjaya menurunkan hampir 23.5 kilogram dalam tempoh singkat demi mendapatkan bentuk badan yang diinginkan untuk watak tersebut.
17 Hari Tidak Makan
Menurut Zul, sepanjang 17 hari pertama proses transformasi badan, dia langsung tidak mengambil makanan dan hanya bergantung kepada air.
“17 hari pertama, saya tak makan langsung. Saya berjaya turun 10 kilogram. Saya hanya minum, telan air liur, marah dan tidur. Rasanya seperti tiada kehidupan,” katanya.

Tambah Zul, dia sendiri meminta penerbit memilih dirinya untuk membawakan watak tersebut dan tidak mahu mengecewakan hasil kerja yang sudah dimulakan.
“Namun, takkanlah saya nak nampak buruk ketika di set nanti. Padahal, saya sendiri yang beriya minta penerbit pilih saya untuk bawakan watak ini.
“Jadi, saya tolak tepi keinginan nak makan. Tak payah nak kira kalori sangat. Ketika itu, badan saya agak besar. Pinggang saya daripada saiz 36 turun ke 31,” katanya lagi.
Turun Hampir 24KG Demi Watak
Menurut Zul Ariffin, sebelum ini dia pernah melakukan transformasi badan untuk filem Tombiruo pada tahun 2016.
Namun kali ini cabarannya jauh lebih besar.
“Ketika saya berlakon filem Tombiruo pada 2016, saya turun dalam 12 kilogram (KG). Untuk filem ini saya berjaya turun 23.5KG.
“Berat asal saya 103 kilogram, kini jadi 79.4KG,” katanya ketika ditemui pada tayangan gala filem tersebut baru-baru ini.
Transformasi drastik itu turut menyebabkan tubuhnya mengalami pelbagai kesan sampingan sepanjang proses penggambaran.
View this post on Instagram
Sampai Pitam & Hidung Berdarah
Dalam masa sama, Zul mengakui rutin latihan dan diet ekstrem yang dilakukan turut menguji fizikalnya sehingga beberapa kali pitam dan mengalami hidung berdarah.
“Setiap hari, saya tidak boleh ambil lebih daripada 600 kalori. Paling tinggi pun sampai 800 kalori sahaja. Sebiji burger pun sudah 400 kalori.
“Pelakon lain kena tambah berat. Saya berlatih empat jam sehari. Selepas berlatih saya tak makan. Saya banyak kali muntah, pening kepala, pitam tiga kali dan hidung berdarah dua kali,” katanya.

Tambah Zul Ariffinlagi, dia juga pernah pitam di depan televisyen dan dalam tandas sehingga perlu berpaut pada sinki.
“Saya pitam depan TV dan dalam tandas sampai kena singki. Bila bangun mengejut, saya terus tumbang sebab kurang air,” katanya lagi.
Lakukan Kajian Sendiri
Ketika ditanya sama ada dia mendapatkan nasihat doktor sebelum menjalani rutin diet ekstrem tersebut, Zul memaklumkan dia hanya melakukan kajian sendiri berdasarkan pengalaman terdahulu.
“Saya tak minta nasihat doktor pun. Pada akhirnya, sejauh mana kita mampu pergi untuk menjayakan sesuatu watak.
“Semua orang boleh buat tapi perlu berlawan dengan masa.
“Kena ada sistem dan pengetahuan. Selama dua bulan ini, saya hanya fikir soal berat sahaja,” katanya.
BACA: 10 Sebab Melakukan Larian Bersama Running Club Lebih Baik Buat Beginner
Fizikal & Mental Turut Diuji
Bagi Zul Ariffin, persediaan untuk watak tersebut bukan sekadar menguji fizikal semata-mata, malah memerlukan kekuatan mental yang sangat tinggi.
“Walaupun susah, saya memang nak sangat watak ini. Jadi, saya sanggup nak buat apa pun.
“Ini pertama kali saya pitch diri sendiri. Saya cuma nak usaha ini berbaloi.
“Saya tak nak menyesal bila tengok di layar nanti. Hari ini, bila saya tengok filem ini, saya rasa jika diberi lebih masa, saya boleh buat lebih lagi,” katanya.

Walaupun terpaksa berdepan rutin yang sangat ketat dan memenatkan, Zul Ariffin bersyukur dengan hasil akhir yang berjaya dicapai.
“Alhamdulillah saya tetap bersyukur dengan hasil akhirnya. Filem ini bukan sekadar aksi, ada banyak lagi elemen lain,” ujarnya.
Selain Zul Ariffin, filem The Furious: Pertarungan Maruah turut dibintangi barisan pelakon seperti Sky Iskandar, Ikmal Amry, Zamarul Hisham, Marissa Yasmin dan Sandra Lim.
Filem tersebut bakal ditayangkan di pawagam bermula 28 Mei ini.
Kredit: Media Hiburan
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




