
Sejak kebelakangan ini, media sosial dibanjiri dengan video memaparkan satu kaedah rawatan yang dikenali sebagai terapi tidur enam saat. Dalam rakaman yang tular itu, individu kelihatan seperti ditidurkan atau pengsan seketika selepas seorang “perawat” menekan bahagian tertentu pada tubuh seperti leher, bahu atau tengkuk.
Namun di sebalik popularitinya di media sosial, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak mencuba terapi tersebut kerana ia boleh mendatangkan risiko serius kepada kesihatan, malah berpotensi membawa maut.
Menurut KKM, kaedah yang digelar tidur enam saat itu sebenarnya bukanlah tidur sebenar. Sebaliknya ia melibatkan tekanan fizikal pada bahagian leher sehingga menyebabkan individu terlibat pengsan akibat kekurangan oksigen ke otak.

“Prosedur sedemikian boleh mengakibatkan komplikasi perubatan yang signifikan termasuklah pengsan mengejut, strok, kecederaan arteri karotid, gangguan irama jantung (aritmia), hipoksia serebrum, kecederaan otak kekal, sawan, selain risiko kematian,” jelas KKM dalam maklum balas kepada MyCheck Malaysia.
Fenomena Tular Terapi Tidur Enam Saat Yang Membimbangkan
Fenomena tidur enam saat yang tular di media sosial kini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar kesihatan.
Dalam banyak video yang tersebar, individu yang menjalani prosedur tersebut kelihatan seperti dipengsankan seketika selepas bahagian tertentu pada badan ditekan.
Selepas beberapa saat, individu berkenaan biasanya tersedar semula dalam keadaan terkejut, menggigil atau terpinga-pinga.
Menurut KKM, fenomena itu dalam istilah perubatan dikenali sebagai induced convulsive syncope iaitu keadaan pengsan yang disertai pergerakan menyerupai sawan akibat gangguan bekalan oksigen ke otak secara tiba-tiba.
KKM menegaskan bahawa terapi tidur enam saat tidak diiktiraf oleh mana-mana badan kesihatan atau perubatan termasuk kementerian itu sendiri.
Malah kaedah itu juga bukan bidang amalan yang diiktiraf di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) 2016 (Akta 775).

“Berdasarkan penilaian klinikal dan perspektif perubatan berasaskan bukti, tindakan ini bukanlah suatu intervensi terapeutik atau rawatan kesihatan yang sah.
Ia sebaliknya merupakan satu bentuk tindakan fizikal berisiko tinggi yang berpotensi mendatangkan kemudaratan serius kepada individu terlibat,” menurut kenyataan KKM.
Risiko Kesihatan Serius Akibat Tidur Enam Saat
Menurut pakar kesihatan, tekanan pada bahagian leher boleh memberi kesan besar kepada sistem peredaran darah ke otak, terutama apabila prosedur seperti tidur enam saat dilakukan tanpa pengetahuan perubatan yang betul.
Antara risiko yang boleh berlaku termasuk:
- Kekurangan oksigen ke otak
- Gangguan irama jantung
- Kecederaan arteri karotid
- Sawan
- Kerosakan otak kekal
- Strok
- Kematian mengejut
Otak manusia tidak mempunyai simpanan oksigen yang banyak dan memerlukan bekalan darah yang berterusan.
Jika bekalan oksigen terganggu walaupun untuk tempoh yang singkat, ia boleh menyebabkan kesan serius kepada fungsi otak.

Kenapa Ada Individu Rasa “Segar” Selepas Tidur Enam Saat
Walaupun prosedur tidur enam saat berbahaya, ada individu mendakwa mereka berasa lebih lega atau segar selepas menjalani proses tersebut.
Platform advokasi kesihatan Public Health Malaysia (PHM) menjelaskan bahawa perasaan tersebut sebenarnya hanyalah kesan sementara daripada tindak balas kecemasan badan.
“Bila otak kekurangan oksigen, badan terus mengaktifkan sistem kecemasan. Hormon seperti adrenalin, noradrenalin serta lonjakan dopamin dan endorphin dilepaskan untuk menyelamatkan otak.
“Ini boleh mencetuskan rasa lega, ringan atau euforia sementara. Hakikatnya, ia adalah reaksi badan selepas hampir berdepan bahaya,” menurut PHM.
PHM menyifatkan keadaan itu seolah-olah seperti seseorang yang hampir lemas tetapi berjaya bernafas semula yang mungkin terasa sangat melegakan walaupun situasi tersebut sebenarnya amat berbahaya.
Tidur Enam Saat Tidak Disokong Sains Perubatan
Menurut pakar kesihatan, istilah tidur enam saat biasanya digunakan untuk menggambarkan tindakan menekan bahu, tengkuk atau leher seseorang sehingga individu itu pengsan seketika sebelum sedar semula.
Kaedah tersebut kadangkala dianggap sebagai gurauan, cabaran atau kononnya satu bentuk terapi alternatif.
Namun dalam dunia perubatan moden, tindakan itu bukan prosedur rawatan yang selamat.
“Dalam perubatan, ini bukan prosedur rawatan dan bukan teknik yang selamat. Otak tidak mempunyai simpanan oksigen dan aliran darah mesti berterusan setiap saat… risikonya tidak kecil dan tidak boleh diramal,” jelas PHM.
Malah kaedah seperti tidur enam saat boleh menyebabkan jantung berhenti secara mengejut terutamanya bagi individu yang mempunyai masalah jantung atau saluran darah yang tidak disedari.
KKM Nasihat Orang Ramai Elakkan Terapi Tidur Enam Saat
KKM turut menyuarakan kebimbangan terhadap promosi terapi tidur enam saat di media sosial yang berpotensi mendorong orang ramai mencubanya tanpa memahami risiko sebenar.
BACA: Cuaca Panas Kini Cecah 37°C Ketika Ramadan, Ini Cara Kekal Aktif & Bertenaga Sepanjang Hari
Amalan itu juga dikatakan melanggar prinsip non-maleficence dalam perubatan iaitu prinsip untuk tidak memudaratkan pesakit serta konsep informed consent kerana individu mungkin tidak memahami risiko sebenar sebelum menjalani prosedur tersebut.
“Justeru, amalan tersebut tidak selamat dan menimbulkan ancaman kesihatan awam, tidak disokong bukti saintifik dan wajar dielakkan demi keselamatan,” kata KKM.
Kementerian itu turut menasihatkan orang ramai supaya hanya mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan bertauliah dan berdaftar sama ada dalam bidang perubatan moden atau perubatan tradisional yang diiktiraf.
Sumber: BERNAMA
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




