
Solat Jumaat merupakan satu kewajipan yang amat besar dalam Islam, khususnya kepada kaum lelaki. Ia bukan sekadar tuntutan mingguan, malah merupakan simbol ketaatan dan maruah seorang Muslim. Namun, realitinya hari ini, masih ramai yang mengambil ringan terhadap kewajipan ini, termasuk meninggalkannya secara sengaja.
Ramai dalam kalangan lelaki mengetahui bahawa sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa keuzuran, Allah SWT akan “menutup pintu hatinya”. Namun timbul persoalan: adakah ini bermaksud seseorang itu tidak lagi berpeluang untuk bertaubat?

Dr. Rozaimi Ramle Beri Penjelasan
Penceramah bebas dan ilmuwan hadis, Dr. Rozaimi Ramle, tampil memberikan penjelasan dalam satu sesi ceramahnya yang dikongsikan di platform TikTok. Menurut beliau, meskipun terdapat hadis sahih yang menyatakan bahawa hati seseorang akan ditutup jika meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut, ia tidaklah bermaksud pintu taubat tertutup sepenuhnya.
“Betul, hadis itu sahih. Tetapi, maksud ‘Allah tutup pintu hatinya’ bukanlah menunjukkan seseorang itu tidak lagi boleh bertaubat. Ia bermaksud hatinya akan menjadi keras, sukar untuk menerima nasihat dan jauh daripada hidayah,” jelas beliau.
Namun menurut beliau lagi, tiada yang mustahil untuk Allah SWT mengurniakan kembali hidayah kepada hamba-Nya. Asalkan seseorang itu kembali dengan penuh keinsafan dan keikhlasan, pintu taubat sentiasa terbuka luas.
@promediatajdidofficial
Prof Dr Rozaimi – Tidak Solat Jumaat 3 kali, Hatinya Akan Tertutup?
♬ original sound – PROmediaTAJDID
Solat Jumaat: Satu Kewajipan yang Tidak Boleh Diremehkan
Dr. Rozaimi turut menegaskan bahawa haram hukumnya meninggalkan solat Jumaat tanpa keuzuran syarie. Dalam Islam, keuzuran seperti sakit, musafir, atau bahaya keselamatan dibenarkan untuk tidak menghadiri solat Jumaat. Namun, jika alasannya hanya kerana malas, leka, atau terlalu sibuk dengan urusan dunia, maka itu adalah satu kelalaian yang berat.
Rahmat Allah Mengatasi Segala Dosa
Dalam penjelasannya, Dr. Rozaimi turut mengingatkan bahawa rahmat dan keampunan Allah SWT sangat luas, lebih luas daripada segala dosa yang pernah dilakukan oleh manusia.
“Tuan-tuan, ada manusia yang bukan sahaja tinggal solat Jumaat tiga kali, bahkan sepanjang hidup tidak pernah solat, makan benda haram, malah kufur kepada Allah. Tetapi apabila mereka bertaubat dengan ikhlas, Allah tetap menerima taubat mereka,” katanya.
Tambah beliau lagi, tujuan Nabi Muhammad SAW menyampaikan hadis berkaitan ancaman terhadap orang yang meninggalkan solat Jumaat adalah supaya umat Islam berasa takut dengan azab dan tidak memandang ringan terhadap dosa-dosa besar.
Majalah MASKULIN ingin mengingatkan para pembaca – khususnya golongan lelaki – bahawa tanggungjawab terhadap solat Jumaat adalah amanah besar yang tidak boleh dipandang enteng. Jika pernah terlalai, jangan terus hanyut. Bertaubatlah dengan segera dan perbaiki diri.
Lelaki sejati bukan sekadar kuat jasmani, tetapi juga kuat rohaninya – sentiasa sedar, insaf, dan sedia kembali kepada Allah.
Sumber: TikTok
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang

















