
Selepas tujuh kali gagal dalam percubaan sebelum ini, akhirnya Uzbekistan berjaya memahat nama dalam sejarah bola sepak dunia.
Kemenangan 3-0 ke atas Qatar dalam aksi terakhir peringkat kumpulan kelayakan memastikan pasukan itu layak secara rasmi ke Piala Dunia 2026.
Pencapaian ini menjadikan Uzbekistan sebagai negara Asia Tengah pertama yang melayakkan diri ke kejohanan terbesar dunia itu.
Hadiah Setimpal Iaitu Sebuah Kereta Seorang

Sebagai tanda penghargaan atas usaha dan kejayaan luar biasa itu, Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev mengumumkan setiap pemain pasukan kebangsaan akan menerima sebuah kereta secara peribadi.
Pengumuman itu dibuat selepas perlawanan bersejarah itu yang turut dihadiri beberapa pemimpin antarabangsa termasuk Perdana Menteri Slovakia dan Presiden Bulgaria.
Langkah itu bukan sekadar simbolik ia menjadi cerminan betapa seriusnya kerajaan Uzbekistan dalam menghargai perjuangan atlet negara mereka.
Dalam ucapannya, Presiden menyatakan bahawa kejayaan ini adalah lambang ketabahan dan keberanian rakyat Uzbekistan, dan beliau yakin pencapaian ini bakal menyatukan rakyat serta menjadi inspirasi buat generasi muda.
Pelaburan Bola Sepak Sejak 2018
Di sebalik kejayaan ini, sebenarnya Uzbekistan telah lama merancang dan melabur dalam pembangunan bola sepak.
Sejak 2018, kerajaan telah menubuhkan akademi bola sepak di 14 wilayah negara untuk membina asas kukuh pemain muda.
Pada tahun 2019 pula, Mirziyoyev menandatangani arahan khas bagi memperkasakan program bola sepak kebangsaan.
Hasil pelaburan ini mula kelihatan bukan hanya dengan kelayakan ke Piala Dunia, tetapi juga apabila Uzbekistan layak menyertai kejohanan bola sepak Sukan Olimpik buat kali pertama pada tahun lepas.
BACA LAGI : “Selamat Jahanam Liga Malaysia, ” Hardi Jaafar Minta Maaf Atas Luahan Perasaan
White Wolves & Harapan di Pentas Dunia
Pasukan yang digelar White Wolves ini kini menjadi tumpuan seluruh rakyat Uzbekistan.
Mereka bukan lagi pasukan kuda hitam Asia tetapi pasukan yang membuktikan bahawa kerja keras, perancangan jangka panjang, dan sokongan padu dari kerajaan boleh mengangkat satu negara ke pentas antarabangsa.
Skuad ini kini berada dalam salah satu slot teratas dalam Kumpulan A kelayakan Asia, bersaing dengan pasukan besar seperti Iran.
Dengan prestasi semasa yang mengagumkan, ramai yang yakin Uzbekistan mampu memberi saingan sengit di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico tahun hadapan.
Sumber : Berita Harian
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI