Dua minggu.
Ya selama dua minggu lamanya bermula esok majoriti daripada kita perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bagi memerangi penularan wabak Covid-19.
Sepanjang tempoh ini kita semua dinasihatkan untuk tinggal di rumah dan hanya keluar bila perlu sahaja.
Jadi bagaimana dengan rutin senaman anda terutamanya yang memiliki keahlian gym yang semestinya diwajibkan tutup.
Usah risau kerana anda sebenarnya boleh lakukan senaman di rumah sambil tengok TV!
Berikut merupakan 5 jenis senaman yag mudah dan boleh anda amalkan secara berbaring. Belum cuba belum tahu, kalau sudah cuba pasti boleh buat diri rasa terharu!
1. Knees Up Crunch
Senaman ini mengutamakan kekuatan atas perut dengan cara mengangkat kedua lutut merapati dada. Senaman kekuatan otot perut bahagian atas adalah perkara yang paling mudah dalam semua latihan senaman perut dan memberikan hasil yang paling cepat. Lakukan dalam kiraan 20.
2. Crisscross
Luruskan kaki ke hadapan dan angkat sedikit. Kemudian kedua belah kaki digerakkan ke atas ke bawah secara bersilang sambil kepala ditinggikan sedikit. Ia dapat menghilangkan lemak pada bahagian tengah perut dan menguatkan otot perut. Lakukan dalam kiraan 20.
BACA: Tip & Teknik Larian Betul Agar Dapat Hasil Berkualiti, Bukan Hanya Penat Semata
3. Flutter Kicks
Senaman ini mengutamakan kekuatan seluruh otot perut. Ia hampir sama dengan senaman crisscross. Cuma kali ini angkat kaki ke atas dan hayunkan kaki secara bersilang seperti anda sedang berenang. Pergerakan kaki tidak perlu terlalu laju atau terlalu perlahan. Lakukan secara sederhana. Lakukan dalam kiraan 20.
4. Cross Crunch
Senaman ini dilakukan dengan cara menyilangkan satu kaki pada lutut kaki yang digunakan sebagai sokongan. Kemudian badan diangkat ke arah silang kaki tersebut. Senaman ini hampir sama dengan knee up crunch tetapi ada sedikit penambahan. Ia bertujuan untuk menguatkan otot bahagian atas dan sisi perut bahagian atas. Lakukan dalam kiraan 20.
5. Legs Lower
Senaman ini mengutamakan kekuatan bawah dan tengah perut. Sebenarnya senaman legs lower ini boleh dilakukan dalam dua cara. Cara pertama, angkat kaki kanan lurus ke atas berselang seli dengan kaki kiri. Atau lakukan cara kedua dengan mengangkat kedua-dua belah kaki lurus ke atas sehingga 90 darjah. Lakukan dalam kiraan 20.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI
Betulke Tidur Dengan Lampu Terbuka Boleh Menyebabkan Kanser?
Sudah berapa kali anda tidur dengan lampu terbuka, ataupun tertidur semasa menonton TV lewat malam, tidak pun menggunakan komputer sebelum tidur?
Salah satu faktor untuk mendapat tidur yang berkualiti dan mengekalkan biological clock anda adalah dengan tidur dalam tempat/keadaan yang gelap. Sekiranya anda terlalu banyak terdedah kepada cahaya semasa tidur, ia adalah amalan yang tidak sihat.
Terdedah kepada cahaya akan meransang saraf di mata ke otak yang mengawal hormon, suhu badan dan beberapa fungsi yang lain – ia memberikan kesan kepada bagaimana badan kita akan rehat dan bekerja.
Terlalu banyak cahaya, sebelum kita masuk tidur boleh mengganggu kualiti tidur anda. Bahkan, berdasarkan satu kajian, mendapati bahawa terlalu banyak terdedah kepada kitaran cahaya boleh menjejaskan kesihatan, termasuklah meningkatkan risiko kemurungan.
Pada siang hari, dapatkan cahaya yang mencukupi. Pada malam harinya pula, kurangkan pendedahan anda kepada cahaya.
Buat rutin untuk tidur, agar dapat kurangkan terlelap di hadapan TV atau lupa untuk matikan lampu. Sebaiknya, anda berhenti daripada menggunakan sebarang peralatan elektronik seperti komputer, laptop, smartphone, tablet dan sebagainya 30-60 minit sebelum masuk tidur.
Peralatan elektronik tersebut mengeluarkan cahaya yang boleh mengganggu kualiti tidur kita.
Dapatkan tidur yang berkualiti sangat penting untuk semua orang, terutama kanak-kanak, kerana ia memberikan impak yang nyata kepada proses pembesaran mereka.
Kenapa Tidak Boleh Tidur Dengan Lampu Terbuka? Perlu Tidur Dalam Gelap?
Bilik tidur zaman sekarang dipenuhi dengan lampu, agar ia kelihatan lebih cantik dan menawan. Apa yang tak kena dengan perkara ini adalah pendedahan kepada cahaya berlebihan (terutama semasa tidur) boleh menyebabkan kepada beberapa masalah kesihatan.
Untuk memahami pendedahan kronik cahaya (chronic exposure) pada waktu malam adalah tidak sihat, kita perlu lihat bagaimana manusia tidur sebelum datangnya teknologi lampu/elektronik.
Manusia sebelum ini terdedah kepada dua jenis cahaya sahaja – cahaya matahari pada waktu pagi dan siang. Manakala cahaya bulan dan api pada waktu malam. Dua jenis cahaya ini sahaja yang memainkan peranan untuk menstabilkan circadian rhythmicity.
Zaman sekarang, kita sudah ada artificial lightning at night (LAN), LED, AMOLED dan sebagainya – ia sangat berbeza dengan 2 jenis cahaya yang disebut tadi.
Sila lihat video dibawah, ia sangat membantu anda untuk faham akan masalah tidur dengan lampu terbuka ini:
Tutup Lampu Sebelum Tidur
Kajian mendapati bahawa tidur dengan lampu terbuka boleh mengurangkan kadar melatonin anda kepada 90 minit, berbanding anda tidur dalam gelap. Apa yang lagi teruk adalah penggunaan peralatan elektronik sebelum masuk tidur.
Kebanyakan peralatan elektronik seperti smartphone, tablet dan komputer menggunakan light-emitting-diode (LED) – jenis cahaya yang boleh mengatasi melatonin. Hal ini kerana melanopson – satu photopigment yang terdapat di dalam sel retina mata memainkan peranan kepada circadian rhythmicity – ia sangat sensitif kepada cahaya biru.
Kajian mendapati bahawa cahaya dari skrin komputer (terutama pada waktu malam) boleh mengurangkan kadar melatonin para pelajar. Pada masa yang sama, skrin tablet juga boleh mengatasi melatonin, lantas mengganggu anda tidur.
Kaitan Cahaya dan Kanser?
Yang paling sedih adalah apabila gangguan tidur berlaku, ia boleh membawa kepada sesetengah kanser (jangan risau, ini kes paling berat). Namun, ia masih dalam peringkat kajian, kerana para pengkaji tidak mengetahui sebab utama, cuma mereka tahu tidur dengan lampu terbuka dan kanser ada perkaitannya.
Sebagai contoh, kajian yang dijalankan selama 10 tahun ke atas 1670 wanita yang terdedah kepada cahaya lampu sepanjang waktu mereka tidur mendapati bahawa mempunyai 22% risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser payu dara – berbanding dengan yang tidur dalam gelap.
Para pengkaji menanggap bahawa perkara ini adalah disebabkan oleh gangguan hormon dan melatonin.
Perkara ini akan menjejaskan orang yang bekerja shift malam. Dalam kajian terkawal, mendapati bahawa jururawat yang bekerja pada shift malam mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser payu dara berbanding dengan jururawat yang hanya bekerja pada waktu pejabat.
Lampu Biru, Kemurungan dan Imun
Terdedah kepada cahaya biru berlebihan terutama semasa tidur telah menyebabkan kemurungan ke atas tikus makmal – perubahan sikap yang ketara adalah mereka tidak lagi suka minum air gula sepertimana mereka suka dahulu.
Terdedah kepada cahaya semasa tidur juga boleh mengganggu sistem imun manusia. Biasanya orang yang tidur denga lampu terbuka akan senang rasa pening, loya dan muntah berbanding dengan orang yang tidur dalam gelap.
Hal ini kerana badan kita sebenarnya perlu keadaan yang gelap untuk mendapatkan rehat yang sepenuhnya. Sekiranya kita tidur dengan lampu terbuka, maka kita sudah mengganggu bagaimana badan kita sepatutnya berfungsi.
Lantas, mengganggu sistem imun daripada berfungsi dengan baik.
Ia Boleh Menyebabkan Penuaan Awal
Melatonin mempunyai kandungan antioksida, yang mana memainkan peranan yang penting dalam anti-penuaan. Kajian sudah konklusikan bahwa sekiranya kadar melatonin dalam badan kita terganggu, maka ia boleh menyebabkan kita kelihatan lebih tua – tidak awet muda lagi dah.
Ia Boleh Menyebabkan Masalah Berat Badan
Cahaya pada waktu malam juga boleh membawa kepada kenaikan berat badan, kerana ia akan mengubah jadual waktu makan anda. Tikus makmal yang terdedah kepada LAN, mengalami kenaikan berat badan – walaupun bersenam dan makan makanan yang sama dengan tikus makmal yang lain.
Kesimpulan
Secara ringkas, artikel ini menyarankan kita semua agar menutup semua lampu dan berhenti daripada terdedah kepada peralatan elektronik sebelum tidur.
Hal ini kerana tidur dengan lampu terbuka bukan sahaja boleh menjejaskan kitaran tidur kita, bahkan boleh menyebabkan banyak masalah kesihatan pada masa hadapan.
Harap artikel ini membantu anda, sila kongsikan artikel ini kepada orang lain di media sosial, kerana masih ramai orang yang tidak peduli akan perkara remeh temeh ini.
sumber:panduansaya.com
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI
“Kau Diet Lah Macam Mana Pun, Gemuk Tetap Akan Gemuk”
Untuk menjadi fit dan sehebat hari ini bukan mudah. Mohd Arif Afifi Bin Mohamad Sukri yang berusia 26 tahun melalui 7 kali try and error untuk mendapatkan berat badan idaman dan menjadi Fitness Trainer hari ini. Ikuti pengalamannya dalam melalui liku-liku untuk menurunkan berat badan.
*Boleh ceritakan sedikit perjalanan coach kurangkan berat badan?
Cerita nak diet ni sebenarnya dah teringin nak mula dari sekolah menengah lagi. Kerana berat badan masa sekolah menengah saya tergolong di kalangan mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Kemudian berat naik ketika saya sambung pengajian di peringkat Diploma dan seterusnya di peringkat Ijazah.
Perjalanan diet saya tidaklah seindah hamparan permaidani merah. Adakala ia ditaburi dengan kaca, kerikil dan juga duri-duri sepanjang saya diet itu. Cabaran ini datang dari pelbagai sudut. Dari diri sendiri, dengan nafsu makan yang membuak, kawan-kawan dan juga suasana persekitaran.
Saya pernah ditanamkan ke dalam pemikiran bahawa saya tidak akan kurus. Kerana keluarga saya besar-besar belaka. Lalu dijadikan alasan obes disebabkan keturunan. Masa gemuk orang selalu pujuk hati cakap takpe gemuk pun. Asalkan sihat dah ok.
Sebenarnya tidak. Itu hanyalah ayat penyedap hati yang selalu diulang-ulang untuk menyejukkan hati. Walhal tuan tubuh sendiri tahu betapa tidak bagus dan tidak sihatnya mempunyai masalah berat badan berlebihan ini. Pergerakan terbatas, aktiviti yang terhad, sistem pernafasan tidak bagus ( mudah penat) dan masalah kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi dan juga kandungan gula yang tinggi. Semua ini bukanlah satu hal yang baik.
Lebih sedekad saya hidup sebagai orang yang obes, hinggalah pada tanggal 2 Februari 2015 saya telah bulat hati untuk laksanakan perubahan. Tarikh itu dipilih memandangkan ia adalah tarikh lahir saya yang ke 23. Maka selepas membuat beberapa pembacaan tentang diet saya pun memulakannya secara perlahan-lahan.
Masa diet saya tak buat semua benda sekaligus. Saya mula secara berperingkat. Saya tahu kalau buat semua sekaligus diet saya akan temui kegagalan. Saya set pada minda diet bukan nak turun berat badan sahaja. Tetapi juga menjaga kesihatan saya. Kurus pula adalah satu bonus yang penting badan saya sihat dan cergas.
Saya mula dengan limitkan air manis sahaja pada permulaan dan lama kelamaan saya tingkatkan kualiti diet dengan kurangkan pula nasi, makan secara berjadual dengan baik, disiplin dengan rutin dan pekakkan telinga dari apa yang orang sindir-sindir. Saya jelas dengan apa yang saya buat itu buatkan saya gembira.
Saya perasan dalam diet yang buatkan saya berjaya ini adalah sepanjang diet saya tidak langsung pernah stress. Dan tak pernah pun anggap yang saya sedang diet yang ketat. Hanya setkan sebagai yang saya sedang menjaga kesihatan agar jadi lebih baik. Penimbang pun saya tak timbang hari-hari. Saya buat dengan enjoy sekali.
Itulah pertama kali saya rasa diet tidak stress dan seronok ya amat. Saya gembira dari rutin yang saya buat bila ia dibuat secara berperingkat. Lagi seronok pada setiap kali hujung minggu saya akan buat cheat day. Benda ni wajib untuk saya. Yalah dah 6 hari saya on track dengan diet, apa salahnya saya ambil satu hari untuk raiakan diri.
Maka bila cheat day tu saya akan makan segala bend yang saya tak sentuh masa on track. Air manis, makanan yang minyak-minyak sikit dan kuantiti pun akan lebih pada hari tulah. Cuma ingat hari tu sahaja. Hari lain on track.
Saya juga selalu pujuk hati dan maafkan diri sendiri. Kalau saya tersasar haritu saya akan kata takpe, esok akan usaha lain. Begitulah. Hinggalah satu hari seorang sahabat rumah saya minta saya pakai baju yang lebih kecil. Alangkah gembiranya bila saya dah mula boleh sarung baju saiz L. Sebelum ni kemana-mana pun saya pakai baju saiz XXXL tanpa sedar bahawa baju saiz L dah boleh sarung. Seronok ya amat.
Disitulah saya dapat tahu dan perasan bahawa berat saya sudah mula berkurang dan ada perubahan inchloss dalam badan.
*Berapa lama tempoh yang diambil?
“Fasa pertama saya fokus pada kardio. Yang menyebabkan berat saya turun secara mendadak dalam tempoh kurang lebih dalam tempoh 3 bulan. Selepas itu saya mula menaikkan sedikit berat badan dan fokus pada beberapa senaman beban. Kurang lebih makan waktu hampir setahun juga.”
*Apa diet yang diamalkan?
Sebenarnya banyak jenis diet yang telah diamalkan oleh orang ramai. Namanya pula sangat pelbagai. Secara umum diet semuanya terkait dengan bagaimana pengambilan kalori kita seharian. Saya memilih untuk diet dengan mengawal kalori yang masuk ke dalam badan. Dan ia dilakukan secara konsisten, sabar dan penuh disiplin.
*Bagaimana pemakanan? (makanan yang diambil dan dielakkan)
Masa diet dulu saya masih makan nasi seperti biasa. Tak ada tinggal nasi sebab saya tahu orang melayu dan nasi itu sukar untuk dipisahkan. Saya sebagai melayu sejati mestilah tak tinggal nasi. Itu yang utama. Haha. Cuma apa yang saya buat adalah kurangkan kuantiti nasi yang diambil. Orang akan terkejut bila saya cerita, sepanjang diet dulu saya makan nasi 2-3 kali sehari. Namun itu yang saya buat.
Cuma nasi itu hendaklah diambil dalam sukatan terkawal dan sederhana. Saya sentiasa disiplinkan diri untuk makan nasi pada setiap kali waktu makan dengan jumlah segenggam tapak tangan sahaja tidak lebih. Itu yang saya buat.
Untuk makluman juga saya amat pantang dengan air manis. Sepanjang diet saya tak sentuh langsung air manis dan hanya fokus kepada air kosong sahaja. Jadi di situ saya dah boleh jimat kalori dari air manis. Hehe.
Selain itu sumber protin juga saya memilih yang kurang lemak dan garam. Amat elakkan protin yang dimasak dengan rendaman minyak penuh (Deep Fried) dan saya banyak fokus pada makanan jenis rebus-rebus atau bakar-bakar sahaja yang semestinya lebih mesra kalori.
Sayur tidak tinggal. Walaupun saya bukanlah penggemar sayur satu ketika dahulu. Namun bak kata orang, Nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Maka saya cekalkan hati untuk makan juga sayur. Itulah sedikit sebanyak pemakanan yang saya amalkan dan saya sentiasa variasikan makanan saya. Tidak terikat dengan menu-menu yang sama sahaja setiap hari.
Saya makan 5-6 kali sehari. Bukan diet tahan lapar tak makan apa-apa dari pagi sampai malam. Saya aturkan jadual makan dengan baik. Ada sarapan, minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam, dan supper. Semuanya ini masih dalam kawalan dan kalori yang bersesuaian dengan saya.
Namun seminggu sekali saya masih adakan cheat day. Untuk rewardkan untuk diri sendiri.
*Bagaimana pula dengan senaman yang diamalkan?
Senaman itu saya buat. Supaya badan saya tetap aktif dan bukan kurus semata-mata tetapi tidak cergas. Sewaktu berat 125kg dulu saya tak mula dengan joging atau buat aktiviti fizikal yang membebankan lutut. Saya belajar dari kesilapan dulu yang saya sangka kalau nak diet wajib joging. Walhal saya sendiri tidak mampu disebabkan masalah berat badan.
Jadi apa yang saya buat? Saya fokus untuk ambil waktu pada setiap petang untuk berjalan kaki sekurang-kurangnya 20 minit sehari. Ini sudah memadai bagi saya kerana saya tidak mampu untuk berjoging ketika itu akibat masalah berat badan. Saya juga banyakkan kegiatan aktifkan diri. Dengan banyak turun naik tangga, kurangkan ambilan lif, parkir kereta jauh-jauh dan jika ke pasaraya untuk beli barang saya akan pusing dua tiga kali pasaraya tu barulah beli barang. Ini antara rutin saya buat.
Lama kelamaan bila berat saya mula mencecah angka 98kg, barulah saya mula joging dengan kadar perlahan ikut kemampuan. Selepas itu mula perlahan-lahan dengan buat senaman beban dan beberapa aktiviti lain seperti push up, sit up dan beberapa rutin lain dalam senaman.
*Pernah putus asa?
Pernah dan banyak kali sebenarnya. Lebih dari 7 kali percubaan diet yang saya buat bermula dari sekolah lagi. Namun kebiasaan mampu bertahan selama 3 hari sahaja. Selepas itu akan kelaut semula. Banyak faktor gagal ini sebenarnya. Kurang disiplin, ilmu diet yang tak betul dan buat berdasar ikut-ikutan sahaja.
Kegagalan adalah satu pengalaman berharga untuk terus maju ke hadapan.
*Apa yang menjadi kekuatan untuk kekal bersemangat menurunkan berat badan?
Tidak ada kekuatan yang terkuat melainkan diri sendiri. Diri sendiri yang kena kuat. Kemudian barulah boleh ditagih kekuatan itu dari ahli keluarga dan sahabat handai yang baik. Namun semestinya dalam setiap usaha saya selalu sandarkan usaha dan kekuatan saya kepada Tuhan. Setiap hari saya akan doa memohon kekuatan dan istiqamah. Tanpa izin dan kekuatan dariNya saya takkan jadi apa yang saya dapat sekarang.
*Bagaimana penerimaan keluarga saat mengetahui coach sedang berusaha mengurangkan berat badan?
Pada awalnya mereka sendiri tidak percaya. Bahkan ada yang anggap saya hanya hangat-hangat tahi ayam saja. Abah pula selalu cakap, “Kita tengoklah Abang Arif tahan lama mana dengan diet dia?” Hehe. Ini saya fikir cabaran dari abah barangkali. Namun dalam hal ini saya amat bersyukur, emak sangat menyokong. Beliaulah dietitian tak bertauliah saya yang pertama.
Ketika saya nyatakan hasrat mahu diet emak yang tolong masakkan makanan khas buat saya. Lauk-lauk pun semuanya rebus dan bakar-bakar sahaja. Syukur hari ni saya mampu balas kepercayaan yang emak dah bagi selama ini!
*Antara dialog yang dilemparkan kepada coach yang membuatkan coach tak boleh lupa?
“Kau diet lah camana pun. Gemuk tetap akan gemuk dan takkan berjaya punya, kau ditakdirkan untuk gemuk dan orang gemuk selalu ketinggalan.” Hehe. Itu antara dialog popular. Bab kena panggil dengan gelaran King Kong, Badak masa sekolah dulu dengan kawan-kawan perempuan tu biasalah. Hehe.
*Bagaimana pula dengan nasihat dan dialog positif yang diterima, boleh kongsikan?
Walaupun dikelilingi dengan persekitara yang negatif semasa proses diet ini saya masih lagi ada lagi sebagian komuniti positif yang sentiasa menyokong. Kata yang selalu saya pegang, Perjuangan ini adalah perjuangan antara saya dengan diri sendiri. Tidak perlu fikir tentang apa yang orang lain akan terima. Jika dibuat pun tak untungkan tak untungkan mereka, jika ditinggal pun tak merugikan mereka.
Fokus dan buat untuk diri sendiri. Biar mereka yang pandang rendah hari ni akan terpaksa melangut tinggi bila dah berjaya. Buktikan!
*Dari mana coach belajar tentang pengambilan makanan yang betul?
Sebelum mula diet secara serius ini saya telah buat beberapa pelaburan ilmu dengan belajar dari kawan-kawan saya di bidang perubatan dan juga dietitian. Selepas itu saya mula membaca blog-blog kesihatan yang ada. Salah satunya dari Coach Kevin Zahri (Cikgu Fitness Malaysia) yang memberi tunjuk dan panduan bagaimana melakukan diet secara sihat.
*Apa pendapat coach mengenai penjagaan makanan yang sihat dan juga senaman? Penting ke?
Sangat penting. Penjagaan makanan membantu dalam mengurangkan berat badan. Namun senaman akan terus mencergaskan badan dan bina stamina dan otot yang lebih kuat. Dalam diet kurus bukan matlamat. Tetapi badan yang cergas dan sihat juga antara fokus utama. Tidak dapat tidak, senaman mesti jadi keutamaan juga. 80% jaga makan, 20% senaman.
*Coach pernah mencuba supplemen kurus ke?
Tidak pernah. Suka Neutral.
*Apa pandangan coach mengenai suplemen kurus?
Terpulang bagi mereka yang mahu gunakan. Itu atas pilihan masing-masing. Namun nasihat saya cuba dapatkan dahulu semakan kesihatan dari doktor sebelum menggunakan sebarang suplemen. Kerana risiko yang amat tinggi bagi mereka yang tidak tahu status kesihatan bila guna supleman secara tak terancang. Semestinya nasihat mestilah dari mereka yang berautoriti dan bukan dari penjual suplemen itu.
Suplemen bukanlah ubat kurus. Itu yang harus disetkan oleh minda. Saya sendiri tidak menggunakan sebarang suplemen dan sememangnya kita semua boleh kurus walau tanpa suplemen. Jika mahu jimat dietlah secara alami tanpa suplemen.
*Peristiwa yang tak dapat dilupakan sepanjang weight loss journey?
Gambar saya ditangkap masa tengah berjoging dan muka kepenatan gila (masa tu tengah gemuk lagi) lalu dimasukkan ke dalam grup whatsapp dan saya kena bahan dengan member-member. Hahaha. Disindir oleh rakan-rakan sekelas dan begitulah keadaannya.
*Apa nasihat coach kepada orang ramai yang ingin mengurangkan berat badan?
Niat kena jelas dan fokus haruslah diberikan sepenuhnya semasa diet. Nak diet jangan buat semua secara drastik. Buatlah secara berperingkat dan jangan ikut menu orang itu atau orang ini. Lain orang lain citaranya. Binalah plan pemakanan kalian yang tersendiri. Yang penting masih menepati menu masakan sihat dan berkualiti.
Untuk senaman pula jangan buat apa yang orang lain boleh buat. Ikut dan buatlah senaman mengikut keupayaan diri masing-masing. Stamina dan tahap kecergasan kita tidak pernah sama. Lakukan mengikut kemampuan diri akan mengurangkan risiko untuk kecederaan yang berpanjangan.
Selain itu janganlah rasa stress dalam usaha diet ini. Buatlah ikut kemampuan dahulu. Sentiasa maafkan diri sendiri juga antara faktor kejayaan dalam diet. Sabar dan elakkan sikap tergopoh-gopoh terutama memikirkan tentang berat yang tak turun-turun. Bertenanglah kawan. Badan gemuk pun bukan makan sehari dua, tetapi bertahun lamanya bukan? Maka berilah badan waktu untuk faham diet yang kalian buat dan bersabar semasa prosesnya. Saya juga menasihati agar kalian buatlah sedikit pelaburan ilmu dengan pergi ke kelas atau seminar kecergasan dari mana-mana coach atau dietitian sekalipun. Belajar dan galilah ilmu diet dari kelas-kelas yang mereka anjurkan, Insyaallah ia akan jadi satu pelaburan ilmu yang baik.
Doa saya sentiasa mengiringi kalian yang ingin menurunkan berat badan secara sihat. Jika saya boleh kalian juga pasti boleh. Semoga terus istiqamah dan konsisten dengan apa yang kalian laksanakan. Tamatkan apa yang telah dimulakan.
Untuk info lanjut boleh ke FB dan IG Coach Mohd Arif Afifi Bin Mohamad Sukri.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI
Kenali Mesin Senaman Otot Dada Di Gim & Cara Menggunakannya
Untuk mendapat tubuh yang lebih tegap dan menawan, bahagian dada merupakan salah satu bahagian yang akan memantapkan lagi penampilan keseluruhan tubuh. Jika anda ke gim, anda pasti mendapati pelbagai mesin senaman yang boleh digunakan untuk melatih otot dada anda.
Di sini Maskulin kongsikan langkah dan teknik betul menggunakan mesin senaman dada yang biasanya boleh ditemui di mana-mana gim menerusi bimbingan pempengaruh kecergasan, Aiman Radzi.
Mesin Chest Press
Senaman menggunakan mesin ini dikategorikan sebagai senaman compound, iaitu senaman yang menggunakan lebih dari satu bahagian otot. Setiap gim berkemungkinan mempunyai mesin chest press yang berlainan, namun konsep latihannya tetap sama. Pertama, penting untuk melaraskan kedudukan tempat duduk mengikut keselesaan kita. Selain itu, laraskan bebanan mengikut berat yang bersesuaian dengan kemampuan anda.
Apabila anda telah duduk dengan selesa, pastikan anda duduk dengan postur yang betul. Jangan membongkok, pastikan sentiasa mendada. Pastikan juga bahagian tulang belikat anda mengepak sehingga seakan-akan mengepit tulang belakang anda.
Kemudian, barulah anda boleh memulakan senaman anda dengan menolak bebanan tersebut. Ketika menolak, tumpukan tekanan pada bahagian otot dada kerana senaman ini juga berpotensi untuk memberi tekanan kepada otot bahu dan trisep. Tidak mengapa untuk menolak bebanan dengan laju asalkan anda menurunkannya dengan perlahan untuk memaksimakan tekanan pada otot.
Senaman ini dicadangkan untuk dilakukan sebanyak 15 kali untuk tiga hingga empat set, bergantung kemampuan anda.
Mesin Chest Fly
Senaman menggunakan mesin ini dikategorikan sebagai senaman isolation, iaitu senaman yang melatih secara fokus pada satu bahagian otot sahaja. Mesin chest fly ini akan melatih lebih fokus kepada otot dada anda.
Seperti mesin yang lain, pastikan tempat duduk dilaraskan pada kedudukan yang anda selesa. Kelebaran bahagian menolak bebanan juga perlu dilaraskan agar tangan posisi depangan tangan anda selari dengan tubuh, tidak terlalu mengepak dan tidak terlalu menguncup.
Gunakan bebanan yang sesuai dan lakukan senaman ini sebanyak 20 kali untuk empat set, demikian cadangan yang diberikan.
Tekan Tubi (Push-up)
Selesai kedua-dua senaman di atas, pastinya tenaga juga semakin berkurang. Namun masih ada cara untuk melatih dada anda dan memaksimakan pengembangan otot menerusi senaman bodyweight, iaitu senaman yang menggunakan berat badan sendiri sebagai bebanan.
Tidak perlu sebarang mesin, anda hanya memerlukan sebuah bangku atau apa sahaja barang yang kukuh untuk menampung tubuh anda. Letakkan tangan anda pada bangku tersebut dan posisikan badan anda pada posisi tekan tubi. Pastikan badan anda dalam keadaan lurus dan selesa.
Ketika turun melakukan tekan tubi, pastikan ia memberi tekanan di bahagian dada dan bukannya di bahagian trisep. Turun secara perlahan, dan tolak semula ke atas dengan laju. Lebih perlahan anda turun, lebih mencabar senaman ini untuk anda.
Senaman ini dicadangkan untuk dilakukan sehingga anda merasakan keperitan paling maksima.
Tonton video penuh di bawah untuk kefahaman menyeluruh mengenai senaman-senaman ini menerusi gambaran yang lebih terperinci.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI