Sebagai seorang anak, Putra Ahmad Merrah tetap akur terhadap pesanan bapanya Awie agar mendahulukan pelajaran berbanding terlibat dalam bidang seni tanpa persiapan ilmu, demikian lapor Malaysiakini.
Pesanan itu juga selari dengan pendiriannya ketika ini iaitu menumpukan kepada peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia yang bakal membuka pintu untuk dia melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Bapa minta utamakan akademik dulu baru fikir minat menyanyi, saya pula SPM dululah.
“Bapa tidak menghalang untuk saya ceburi bidang seni. Dia kata: buat apa yang saya mahu dan lakukan yang terbaik untuk diri sendiri.
“Saya fikir betul juga cakap dia, akademik itu penting walaupun nak jadi penyanyi,” katanya.
Putra Ahmad juga menjelaskan mempunyai rancangan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas tamat SPM nanti.
“Bapa mahu lihat saya jadi penerbit filem”
Jelasnya lagi, bapanya sendiri meluahkan harapan mahu melihat dia bergiat sebagai pembikin filem berbanding bekerja di depan tabir.
“Saya nak masuk UiTM sebab bapa cadangkan sambung belajar dan kebetulan hasrat saya nak ambil jurusan seni persembahan.
“Dia ada kata kalau boleh nak lihat saya jadi penerbit filem, ketika ini di sekolah seni saya hanya belajar tentang produksi saja,” katanya yang menuntut di Sekolah Seni Malaysia dalam pengkhususan seni muzik.
Putra Ahmad berkata demikian ketika ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Rebel: Berontak Untuk Berotak di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.
Melalui filem sulung Awie itu, dia yang juga penyanyi Alif Bata Duniaku berharap dapat mengembalikan pertubuhan NGO Melayu disertai ke laluan sepatutnya berlandaskan “al-Quran dan sunnah.”
Selain Putra Ahmad, Awie, 55, turut menjayakan filem – yang akan menjengah ke pawagam pada 2 Mei – itu di samping pelakon lain seperti Ben Amir, MK-K Clique, Shiqin Kamal, dan Nur Albaniah.
Mengulas pembabitannya dalam filem berkenaan, Putra Ahmad berkata dia teruja kerana pertama kali beraksi di depan lensa yang dikhususkan untuk layar lebar, dan dikendalilkan melalui arahan bapanya.
Pun begitu, dia mengakui berasa sedikit terkilan kerana lontaran dialognya disifatkan kurang memuaskan.
“Teruja sebab sebelum ni berlakon di pentas teater dan bukan skrin besar malah genre aksi.
“Namun saya sedikit kecewa sebab sewaktu berlakon filem ini umur saya baru 15 tahun. Jadi, boleh nampak apa yang kurang.
“Ada dialog saya ucap tidak berapa jelas macam mumbling (menggumam) saja terutama babak dengan Kasih,” katanya.
Justeru, menurut Putra Ahmad, dia akan cuba memperbaiki kemampuan lakonan untuk projek akan datang.
Katanya, dia juga bersedia dari segi mental sekiranya muncul kritikan yang di luar jangka.
Dia juga reda sekiranya lakonannya dikritik dan menganggap perkara itu demi memperbaiki mutu lakonannya.
Sumber: Malaysiakini
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI