
Bagi komuniti larian Malaysia, Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) bukan lagi sekadar satu tarikh dalam kalendar. Ia sudah menjadi seperti “Hari Raya” buat pelari, tempat ribuan individu dengan sasaran, cerita dan perjuangan masing-masing berkumpul di satu pentas yang sama.
Edisi ke-18 pada 3 dan 4 Oktober lalu sekali lagi membuktikan keistimewaan tersebut. Seramai 43,800 peserta dari 53 negara mendaftar, termasuk lebih 3,600 peserta antarabangsa. Hari kedua sahaja menyaksikan lebih 27,200 pelari turun untuk Full Marathon dan ASICS Half Marathon.

Walaupun ketidaktentuan jerebu sehari sebelum acara menimbulkan kebimbangan, semangat peserta tidak pernah benar-benar luntur. Sebaik perlumbaan bermula, Dataran Merdeka kembali dipenuhi satu tenaga yang sukar ditemui dalam kebanyakan acara lain.
MASKULIN turut menyertai ASICS Half Marathon, merasakan penganjuran kali ini benar-benar mengatasi jangkaan. Laluan sekitar Kuala Lumpur cukup mencabar, namun sokongan krew sepanjang perlumbaan, stesen air yang konsisten dan pengurusan peserta yang tersusun menjadikan pengalaman larian menjadi cukup terjaga.

Yeow Ni Jia Kekal Raja Marathon Tempatan
Tumpuan terbesar hari kedua sudah tentu terarah kepada atlet Malaysia kerana Full Marathon KLSCM 2026 turut menjadi acara pemilihan awal rasmi bagi kategori maraton Sukan SEA 2027.
Yeow Ni Jia mempertahankan gelaran Full Marathon Malaysian Men dengan catatan 2:33:52, sekali gus menghasilkan catatan peribadi terbaik tempatan. Lai Yi Hng berada hanya 24 saat di belakang dengan 2:34:16, sementara pemegang rekod kebangsaan Tan Huong Leong ketiga dengan 2:39:17.

“Saya mengambil pendekatan untuk ikut sahaja rentak pada hari ini. Matlamat saya ialah mendapatkan podium, berada dalam senarai panjang Sukan SEA dan sudah tentu mempertahankan gelaran. Saya berharap dapat mencatat bawah 2:35 dan kerana saingan yang kompetitif, saya berjaya mencatat PB tempatan,” katanya lagi.


Esther Joy Beri Impak Dalam Marathon Pertama
Kategori wanita Malaysia pula menyaksikan Esther Joy Chen Hong Li, 22, mencipta kejayaan cukup istimewa apabila memenangi marathon penuh pertamanya dengan masa 3:05:22.
Elaine Koon menduduki tempat kedua dengan 3:12:43, diikuti Lai Wei Ling menerusi 3:14:37.

“Saya membuat keputusan untuk mencubanya selepas mendapat tahu KLSCM merupakan acara pemilihan awal Sukan SEA 2027.
“Jurulatih mengubah latihan saya kepada blok marathon dan strategi kami memang ‘go big or go home’. Dia memberikan sasaran pace dan matlamat saya adalah untuk menamatkan perlumbaan. Sudah tentu, lebih manis kalau dapat sub-3,” katanya.
Dalam ASICS Half Marathon, pelari tempatan turut menunjukkan saingan kompetitif. Daren James Nair A/L Rodney James muncul juara lelaki Malaysia dengan 1:13:44 manakala Nurul Juliana Shakira Abdul Halim mengungguli kategori wanita dalam 1:32:36.


Keputusan Hari Pertama, 3 Oktober
Hari pertama menampilkan kategori 5KM dan IHH 10KM dengan lebih 15,800 peserta mengambil bahagian.
| Kategori | Juara | Negara |
|---|---|---|
| IHH 10KM Men’s Open | Muhammad Haziq Mohd Hairol Izmi | Malaysia |
| IHH 10KM Women’s Open | Mercy Jebiwott | Kenya |
| IHH 10KM Men’s Veteran | Marcus Ong | Singapura |
Muhammad Haziq turut mencipta detik membanggakan apabila menewaskan Aekkarat Meenamai dari Thailand dan Ahmad Arif Ibrahim dari Singapura.

Keputusan Utama Hari Kedua, 4 Oktober
| Kategori | Juara | Masa |
|---|---|---|
| Full Marathon Men’s Open | Ezekiel Kemboi (KEN) | 2:21:19 |
| Full Marathon Women’s Open | Alemitu Ajema Lema (ETH) | 2:39:29 |
| Malaysian Men | Yeow Ni Jia | 2:33:52 |
| Malaysian Women | Esther Joy Chen Hong Li | 3:05:22 |
| Half Marathon Men Open | Amos Cheruiyot Kirui (KEN) | 1:06:15 |
| Half Marathon Women Open | Rachel See (SGP) | 1:22:33 |
| Half Marathon Malaysian Men | Daren James Nair | 1:13:44 |
| Half Marathon Malaysian Women | Nurul Juliana Shakira | 1:32:36 |
Lebih Daripada Mengejar PB
Apa yang paling terasa sepanjang KLSCM ialah setiap pelari datang dengan misi tersendiri.
Ada yang mahu membuktikan kemampuan diri dengan memburu personal best (PB), sementara ada yang menjadikan setiap kilometer sebagai satu bentuk penghormatan kepada individu, perjuangan atau mesej yang cukup dekat dengan mereka.

Di sepanjang laluan pula, semangat membantu sesama pelari, sokongan krew dan sorakan orang ramai menjadikan KLSCM sebuah sambutan terhadap semangat kesukanan dan pantang menyerah, bukan semata-mata perlumbaan siapa paling pantas.
BACA: Lelaki Ini Lari Maraton Berlin Dengan Crocs, Catat Masa Sekitar 2 Jam 30 Minit

Pengarah Projek KLSCM, Rainer Biemans, berkata pihaknya terus berusaha meningkatkan standard penganjuran setiap tahun agar KLSCM kekal sebagai perlumbaan bertaraf dunia dan acara yang sentiasa dinantikan komuniti larian.
MASKULIN mengucapkan tahniah kepada Dirigo Events dan seluruh pasukan KLSCM. Selepas satu lagi edisi yang cukup berjaya, tidak keterlaluan untuk mengatakan acara ini sekali lagi menunjukkan mengapa ia kekal sebagai antara penanda aras tertinggi penganjuran acara larian di Malaysia.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
