Apakah hukum orang solat dengan memakai baju singlet?
Jawapan:
Singlet adalah suatu pakaian dalaman yang tidak berlengan dan ia biasanya dipakai oleh orang lelaki. Dalam erti kata lain, seseorang yang menunaikan solat dengan memakai singlet bererti dia solat dalam keadaan memakai baju yang tidak berlengan dan mendedahkan bahagian bahunya. Berkenaan hal ini, tidak dinafikan bahawa di sana terdapatnya riwayat yang berkaitan. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Janganlah salah seorang dari kamu solat dengan pakaian yang satu, yang mana tidak ada sesuatu di atas dua bahunya.
Riwayat Al-Bukhari (359)
Ads
Berdasarkan zahir hadis di atas, terdapatnya larangan ke atas perbuatan solat dalam keadaan bahagian bahu terdedah. Di dalam kaedah usul fiqh mengatakan, bahawa larangan itu membawa erti pengharaman. Justeru, sebahagian para ulama mengatakan bahawa perbuatan tersebut adalah haram.
Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi Rahimahullah mengatakan: Wajib ke atas seseorang yang solat untuk meletakkan sesuatu daripada pakaian di atas bahunya, sekiranya dia mampu untuk melakukannya. Inilah pendapat Ibn Al-Munzir dan dihikayatkan daripada Abu Ja’far, beliau berpendapat bahawa tidak sah solat bagi sesiapa yang tidak menutup bahunya. Manakala majoriti para fuqaha pula berpendapat: Yang demikian itu tidak wajib, dan ia bukanlah syarat sah solat. Inilah pendapat Imam Malik, dan Imam Al-Syafie, kerana kedua bahu tersebut bukanlah aurat maka ia menyamai baki anggota badan yang lain. Lihat Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/618).
Ads
Manakala Imam Al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim (2/274) apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Kata para ulama: Hikmahnya adalah, jika dia memakai baju dan tidak ada sesuatu di atas bahunya, maka tidak selamat daripada terdedah bahagian auratnya, berbeza dengan jika diletakkan pakaian di atas bahu. Kata beliau lagi: Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Al-Syafie serta jumhur berpendapat: Larangan itu menunjukkan kepada makruh tanzih, bukannya kepada pengharaman. Jika seseorang itu solat hanya dengan memakai satu pakaian yang menutup auratnya, tetapi tidak menutup bahagian bahunya maka solatnya dikira sah berserta hukum makruh. Sama ada dia mampu meletakkan sesuatu di atas bahunya ataupun tidak. Manakala Imam Ahmad dan sebahagian para salaf berpendapat bahawa solatnya tidak sah sekiranya dia mampu meletakkan sesuatu (daripada pakaian) di atas bahunya. Manakala dalam riwayat lain yang juga daripada Imam Ahmad bin Hanbal beliau berpendapat bahawa solatnya adalah sah, akan tetapi berdosa jika dia meninggalkan meletak sesuatu dari pakaian di atas bahunya.
Kesimpulan
Setelah meneliti dan menilai isu ini dengan merujuk kepada nas-nas berkaitan berserta pandangan para ulama, kami menyatakan bahawa solat dengan memakai singlet, atau tidak memakai baju yang mendedahkan kedua-dua bahu orang lelaki, hukumnya adalah MAKRUH dan solat tersebut sah. Hayatilah firman Allah S.W.T:
Maksudnya: Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaian yang menutup aurat kami ketika berada di setiap masjid.
Surah Al-A’raaf (31)
Imam Al-Thabari Rahimahullah di dalam tafsirnya mengatakan bahawa perkataan خُذُوا زِينَة di dalam ayat bererti pakaian yang menutup aurat. Kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.
SUMBER: MUFTI WP
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
APA perasaan kita apabila melihat orang yang kita sayang atau prihatin tersenyum menerima pemberian kita? Tentulah kita sama-sama rasa bahagia dan lega kerana dapat memberikan sesuatu yang bermakna. Harga pemberian kita barangkali tidak seberapa tetapi itu cukup bernilai pada orang yang menerima, apatah lagi jika orang itu mereka yang kita sayang.
Pemberian ikhlas sama ada dalam bentuk makanan, minuman, pakaian atau wang yang boleh dimanfaatkan oleh orang lain, kita namakan sedekah. Ikhlas maknanya, kita tidak mengharapkan balasan, sama ada balasan dalam bentuk barangan yang serupa atau puji-pujian.
Konsep sedekah, Allah nyatakan dalam firman-Nya, “Jika kamu menampakkan sedekah itu, maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu sembunyikannya dan kamu berikan kepada orang fakir, maka itu adalah baik bagi kamu. Dan Allah akan hapuskan sebahagian daripada kesalahanmu dan Allah Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah: 271) Ciri-ciri sedekah yang sempurna Ada beberapa perkara yang harus kita berikan perhatian, andai kita mahu sedekah kita sempurna dan beroleh ganjaran Allah. Sedekah itu sendiri adalah penghapus dosa seperti sabda Rasulullah, “Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan api.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi). Oleh itu apabila bersedekah, sudah tentu kita mahukan sedekah kita menjadi amalan sempurna dan diterima Allah.
1) Sedekahkan barang yang berkeadaan baik dan boleh digunakan. Hal ini ditegaskan Allah dalam firman-Nya, “Hai orang yang beriman! Nafkahkanlah pada jalan Allah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untukmu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa terpuji.” (Surah Al-Baqarah ayat 267)
2) Disunatkan kepada si pemberi untuk menyedekahkan barangan paling disayangi. Galakan ini selari dengan perintah Allah, “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan yang sempurna sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” (Surah al-Imran: 92)
Tidak kisahlah banyak atau sedikit, tetapi yang penting, hati ikhlas. Pesan Rasulullah, daripada Adiyie Hatim Radiallahuanhu, beliau berkata, “Saya mendengar Rasulullah bersabda: Takutlah kamu akan api neraka walaupun dengan (bersedekah) separuh buah kurma.” (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
3) Sedekahkan barangan yang halal, bukan haram atau syubhah. Ini kerana setiap benda yang halal atau haram memberikan kesan secara langsung kepada si pemberi dan penerima. Oleh itu kita wajib berhati-hati mengenai barang yang mahu disedekahkan dan pastikan bersumber halal.
4) Sedekah mesti ikhlas, jangan mengungkit dan menyakiti hati orang yang menerimanya kerana ini akan merosakkan amalan bersedekah. “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan pahala sedekah kamu dengan menyebut perkataan dan menyakiti (perasaan penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka orang itu diumpamakan seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu jadilah ia bersih. Mereka tidak akan mendapat apa pun yang mereka usahakan dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” (Surah Al-Baqarah, 264)
5) Lebih afdal jika sedekah secara diam-diam, jauh daripada liputan berita, mata orang ramai dan tidak dihebahkan secara sengaja. Firman Allah, “Jika kamu menampakkan sedekahmu, maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya itu lebih baik. Dan Allah akan menghapuskan darimu sebahagian kesalahanmudan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah, ayat 271)
6) Berpegang pada prinsip bahawa sedekah tidak akan mengurangkan harta. Sebaliknya akan menambah harta, menjauhkan kemiskinan dan kesempitan. Apabila kita bersedekah dengan hati ikhlas, Allah pasti akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik.
Hal ini ditegaskan Allah, “Katakanlah, sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dari kalangan hamba-Nya dan menyempitkan bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Dan apa pun yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantikannya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebenar.” (Surah Saba’, ayat 39)
7) Sedekah akan membersihkan harta dan menyucikan diri. Hakikatnya dalam setiap harta yang kita miliki ada hak orang lain yang mesti ditunaikan. Apabila bersedekah, kita membuang sifat sombong, bakhil daripada diri. Orang yang menerima, biasanya akan berterima kasih dan mendoakan yang baik-baik buat kita. Justeru proses itu ibarat suatu penyucian pada harta itu sendiri dan diri kita.
Firman Allah, “Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu menjadi ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah lagi Mendengar dan Mengetahui.” (Surah at-Taubah: 103)
Jika tidak mampu dari segi kebendaan, sumbang tenaga atau apa jua kemampuan lain, boleh juga menjadi sedekah.
8) Utamakan dan dahulukan sedekah kepada orang yang dekat dengan kita seperti adik beradik, sanak saudara atau jiran tetangga sebelum memanjangkan kepada orang lain. Hadis Rasulullah riwayat Imam Ahmad menjelaskan, antara susunan keutamaan bersedekah adalah diri sendiri, isteri, anak, orang gaji dan jika masih berbaki, boleh dihulurkan kepada sesiapa yang memerlukan. Tentulah tidak kena jika ada kalangan saudara mara yang masih dalam kesusahan, sedangkan kita beria-ia hendak bersedekah kepada orang lain. Begitu juga sekiranya masih ada orang miskin di negara kita, lebih afdal kita bersedekah kepada mereka sebelum bersedekah kepada orang di luar negara.
Suami pun kena jaga badan bukan hanya isteri saja. Dalam sesebuah perkahwinan, tanggungjawab untuk menjaga keharmonian rumah tangga bukan terletak pada sebelah pihak sahaja.
Ia adalah usaha dua hala. Suami dan isteri perlu memainkan peranan masing-masing, termasuk dalam aspek menjaga penampilan diri dan membina komunikasi yang sihat.
Ramai orang beranggapan bahawa selepas berkahwin, penampilan tidak lagi penting kerana pasangan sudah “jadi milik kita”. Hakikatnya, menjaga penampilan bukan hanya untuk memikat di awal perkahwinan, tetapi tanda kita masih menghargai dan menyayangi pasangan.
Buat suami, mandilah dengan kerap, pakailah baju bersih, wangi-wangian itu sunah. Isteri pula, berhiaslah di rumah untuk suami, bukan semata-mata untuk keluar rumah. Bukan soal kecantikan semata, tapi soal usaha untuk tampil kemas dan menyenangkan mata pasangan.
Perkara yang sering menjadi punca keretakan rumah tangga adalah apabila pasangan tidak berkomunikasi dengan baik bila timbul isu di bilik tidur. Kalau ada ketidakpuasan hati, jangan pendam. Tapi jangan juga lepaskan kemarahan dengan cara menghina atau memperlekeh pasangan.
Berbincanglah dengan tenang, cari masa yang sesuai. Gunakan bahasa yang lembut. Contohnya: “Abang rasa kita boleh cuba cara lain, abang nak kita sama-sama rasa bahagia.” atau “Sayang, boleh kita borak sekejap? Ada benda yang abang rasa kita boleh perbaiki sama-sama.” — ayat begini lebih mudah diterima berbanding sindiran atau herdikan.
Setiap orang ada kekurangan. Suami mungkin penat bekerja, isteri pula penat urus rumah dan anak-anak. Dalam keadaan begini, empati sangat penting. Kalau pasangan nampak letih, bantu. Kalau nampak murung, tanya. Jangan terus menuduh atau buat andaian yang bukan-bukan.
Rumah tangga bukan tentang siapa betul siapa salah. Ia tentang bagaimana kita boleh saling melengkapi. Jaga penampilan bukan sebab takut pasangan berpaling, tapi sebab kita masih mahu buat pasangan kita jatuh cinta setiap hari. Bila ada masalah, bincang baik-baik, bukan saling menjatuhkan.
Perkahwinan itu satu ibadah. Bila kita jaga dengan niat yang betul, insya-Allah rumahtangga kita jadi sakinah, mawaddah wa rahmah.
Pakar fizik terkenal Britain, Profesor Stephen Hawking, meninggal dunia pada usia 76 tahun. Dianggap individu istimewa kerana kegeligaan otaknya malah bagaimana beliau menghadapi cabaran dalam kehidupannya termasuk ketika diserang penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis atau ALS Stephen Hawking, meninggal dunia pada usia 76 tahun.
Menurut jurucakap keluarganya hari ini.
“Kami amat sedih kerana bapa tersayang meninggal dunia hari ini.
“Beliau adalah saintis hebat dan lelaki luar biasa yang usaha dan legasinya akan terus hidup,” kata anak Hawking, Lucy, Robert dan Tim dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita Press Association Britain.
Siapa tidak kenal ahli fizik berkerusi roda ini. Beliau ibarat selebriti dalam dunia akademik.
Stephen Hawking turut digelar sebagai selebriti Holywood kerana pernah muncul dalam beberapa rancangan televisyen, antaranya termasuklah The Big Bang Theory.
Stephen Hawking sebenarnya mati 55 tahun lalu
Bagi Hawking yang nama sebenarnya Stephen William Hawking selagi nyawa melekat di badan dia akan terus menjelajah dunia ilmu merentasi alam semesta.
Dilahirkan pada 8 Januari 1942 di Oxford, Britain. Hawking didiagnos menghidap Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) pada 1963 ketika berusia 21 tahun. Biasanya, mereka yang menghidap penyakit ini hanya mampu bertahan 2 hingga 5 tahun namun tidak bagi Hawking. Ahli fizik terkemuka ini mampu bertahan hingga 55 tahun sebelum menghembuskan nafas terakhirnya hari ini. ALS yang dikenali juga sebagai penyakit Lou Gehrig atau penyakit motor neuron (MND) adalah penyakit yang mempengaruhi sel-sel saraf di otak dan sumsum tulang belakang.
Daripada 10 kes ALS, satu adalah kerana genetik, 90 peratus lagi masih menjadi misteri. Gejala awal ALS mungkin sering diabaikan. Antaranya seperti kulit berkedut kekejangan, lemah otot lengan atau kaki, kesukaran bertutur dan kesulitan mengunyah atau menelan. Gejala lanjutan seperti masalah pernafasan dan kelumpuhan. Kematian biasanya disebabkan kegagalan pada otot-otot pernafasan. ALS tidak mempengaruhi kemampuan seseorang untuk melihat, mencium, merasakan, mendengar, atau mengenali sentuhan.
1. Diberitahu Mempunyai Beberapa Tahun Untuk Hidup Ketika Berusia 21 Tahun
Stephen mula menunjukkan simptom lemah gemalai ketika di universiti dan sekembalinya ke rumah ketika cuti Krismas, keluarga beliau sedar akan perubahan Stephen dan mendesak beliau untuk bertemu doktor. Tidak lama selepas menyambut hari kelahiran ke-21, beliau bertemu dengan doktor dan menjalani ujian selama 2 minggu bagi mengesan apa penyakit yang dihidapi beliau.
Stephen diberitahu bahawa beliau menghidapi amyotrophic lateral sclerosis (ALS), atau nama lainnya penyakit Lou Gehrig. ALS adalah sejenis penyakit saraf yang mana pesakitnya akan kehilangan kebolehan mengawal otot (yang boleh dikawal).
Beliau turut diberitahu oleh doktor bahawa dia tidak akan hidup lama, mungkin beberapa tahun sahaja lagi. Beliau terkejut dan mempersoalkan mengapa perkara tersebut terjadi kepada beliau namun, melihat seorang kanak-kanak yang sedak nazak akibat leukemia ketika di hospital, beliau sedar ada yang lebih teruk diuji berbanding beliau.
2. Penulis Buku Kanak-Kanak
Antara perkara menarik yang paling tidak disangka tentang Stephen Hawking adalah kerjaya beliau sebagai penulis buku kanak-kanak. Pada tahun 2007, beliau telah bekerjasama dengan anak perempuan beliau iaitu Lucy Hawking untuk menulis sebuah buku berjudul ‘George’s Secret Key to the Universe’.
Buku berkenaan berkisar tentang seorang kanak-kanak lelaki bernama George yang memberontak terhadap keluarga kerana kebencian ibu bapanya terhadap teknologi. Dia mula berkawan dengan jirannya yang merupakan seorang ahli fizik berkomputer. Komputer tersebut merupakan komputer paling berkuasa di dunia, yang boleh menhubungkan mereka dengan ruang angkasa melalui portal. Tujuan buku ini ditulis adalah untuk menerangkan konsep saintifik yang berat seperti black holes dan permulaan kehidupan di dunia, kepada kanak-kanak.
3. Mendapat Keputusan Akademik Yang Teruk Ketika di Sekolah
Ketika berumur 9 tahun, gred keputusan peperiksaan beliau adalah antara yang paling teruk dalam kelas. Dengan sedikit usaha, gred beliau semakin baik, namun bukan yang terbaik. Walaupun keputusan teruk, guru-guru dan rakan-rakan beliau percaya bahawa beliau seorang yang genius, dan beliau mendapat gelaran ‘Einstein’ ketika di sekolah. Mungkin aura beliau yang membuatkan ramai sedar akan kebijaksaan yang dimiliki.
Bapa beliau mahu beliau melanjutkan pelajaran ke Oxford University, namun mereka tidak berkemampuan dari segi kewangan, dan beliau perlu bersungguh dalam pelajaran untuk mendapatkan biasiswa ke sana. Akhirnya, ketika peperiksaan bagi mendapatkan biasiswa, beliau berjaya mendapat markah penuh bagi subjek fizik.
4. Kalah Dalam Pertaruhan Tentang Black Holes
Pada tahun 1975, Stephen mencadangkan bahawa black holes sebenarnya bukanlah hitam, malah ia mengeluarkan tenaga. Dalam masa yang sama, beliau berkata ‘informasi’ akan turut diserap ke dalam black holes dan kemudiannya tersejat.
Seorang ahli teoretikal fizik bernama John Preskill tidak bersetuju dengan kenyataan Stephen. Pada tahun 1997, mereka membuat pertaruhan tentang perkara tersebut. Pada tahun 2004, Stephen mengaku bahawa beliau salah tentang kenyataan beliau pada 1997. Menariknya tentang Stephen, walaupun seorang yang genius, dia tidak malu untuk mengaku kesalahannya.
5. Benci Subjek Biologi
Stephen Hawking mempunyai kecenderungan terhadap subjek matematik dari awal usia lagi, dan berharap dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang ini. Namun, bapa beliau mempunyai harapan untuk beliau menjadi seorang doktor.
Dalam semua subjek sains, subjek paling tidak disukai beliau adalah subjek biologi kerana baginya, subjek tersebut ‘tidak tepat dan terlalu deskriptif’. Stephen lebih suka untuk menggunakan minda terhadap sesuatu yang lebih tepat, dengan konsep yang lebih jelas.
6. Sebahagian Daripada Pasukan Mendayung Ketika di Oxford University
Ketika tahun pertama di University of Oxford, Stephen berasa sunyi dan tidak gembira dan satu-satunya perkara yang membuatkan dia lupa sebentar perasaan tersebut adalah dengan menjadi sebahagian daripada pasukan mendayung di Oxford. Sebelum dikesan dengan penyakit yang bakal menyebabkan kehilangan kebolehan fizikal, Stephen tidak mempunyai kekuatan fizikal dan bina badan seperti ahli sukan.
Namun, pasukan mendayung mengambil ahli yang kecil seperti beliau untuk peranan sebagai ‘coxswains’. Peranannya bukanlah sebagai pendayung, namun lebih kepada mengawal steering dan kadar kelajuan dayungan. Pasukan mendayung sangat penting di Oxford, dan sangat sukar untuk menyertainya. Menjadi sebahagian daripada pasukan tersebut, dengan peranan yang dimainkan, dia menjadi sangat terkenal di Oxford.
7. Membantu Mencipta ‘Boundless Universe Theory’
Pada tahun 1983, Stephen bersama seorang lagi saintis Jim Hartle berjaya mencipta teori tentang alam semesta yang sentiasa berkembang bersama masa. Pada tahun tersebut, mereka menggabungkan konsep kuantum mekanik dengan general relativity (teori Einstein berkenaan graviti dan bagaimana masa membengkokkan ruang) bagi menunjukkan bahawa alam semesta adalah sebuah identiti terkawal dan tidak mempunyai sempadan.
8. Menerima Pelbagai Anugerah Kecemerlangan
Sepanjang karier dalam bidang fizik, Stephen Hawking telah menerima pelbagai anugerah atas pencapaian beliau. Pada tahun 1974, beliau telah dilantik menjadi sebahagian daripada Royal Society di UK, dan setahun kemudian, Pope Paul VI menganugerahkan beliau Medal for Science. Beliau turut menerima Albert Einstein Award dan Hughes Medal daripada Royal Society.
Pencapain beliau turut menarik perhatian dunia akademik dan pada tahun 1979 beliau berjaya mendapat jawatan Lucasian Professor of Mathematics di University of Cambridge. Jawatan tersebut disandang beliau selama lebih 30 tahun sehingga dia meninggal dunia. Jawatan sama pernah dipegang oleh Sir Isaac Newton.
Terdapat banyak lagi anugerah yang diterima beliau dari peringkat negara dan antarabangsa, namun beliau masih belum berjaya mendapatkan anugerah Nobel Prize. Nobel Prize merupakan anugerah yang dianggap terbaik bagi beberapa kategori, sains adalah salah satu daripadanya.
9. Percaya Kemungkinan Wujudnya Makhluk Asing
Bagi Stephen, memandangkan alam semesta begitu luas, kemungkinan besar wujudnya kehidupan makhluk asing yang hidup secara primitif di luar sana dan kemungkinan juga wujudnya alien yang bijak pandai. Menurut Stephen, manusia perlu berhati-hati dengan makhluk asing, kerana terdedahnya kita kepada makhluk ini boleh menyebabkan komplikasi kesihatan. Manusia mungkin tidak mempunyai kekuatan terhadap penyakit yang boleh berjangkit daripada makhluk asing ini.
10. Berfikiran positif
Sehingga akhir hayatnya Stephen Hawking menghabiskan kehidupannya di kerusi roda. Mengapa beliau bertahan cukup lama? Mungkin kerana fikirannya yang tajam selain pemikirannya yang sentiasa positif.
Semoga memberi manfaat.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang