Bukan senang ingin berjaya di dalam dunia perniagaan tambahan lagi di usia muda!
Namun, pengasas jenama Bulan Bintang ini membuktikan usia bukan penghalang untuk kita berjaya dalam perniagaan dan apa yang kita ceburi. Tujuh tahun mengusahakan perniagaan berasaskan Kurta baju Melayu, jenama Bulan Bintang kini boleh dianggap sebagai antara jenama pilihan pembeli setiap kali tibanya musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.
Individu yang bertanggungjawab membina jenama tersebut sehingga ke tahap ini tidak lain tidak bukan ialah Azzim Zahid Azmi. Pada usia 25 tahun, ‘otak bisnes’ yang dimiliki olehnya telah memberikan pelbagai bentuk motivasi kepada remaja sebaya mahupun yang lebih muda untuk memulakan langkah pertama dalam dunia perniagaan.
Menjengah dengan lebih dekat kisah kejayaan pengasas tersebut, REMAJA senaraikan lima fakta menarik yang boleh sama-sama kita jadikan sebagai inspirasi untuk mengejar impian. Tiada apa yang mustahil guys.
01
Perniagaan Bulan Bintang bermula sewaktu Azzim ingin mengerjakan ibadah Umrah bersama ibunya dan dia mencari baju ‘paling Islamik’ yang selesa dipakai di tanah suci. Azzim menyasarkan untuk mencari Kurta, namun sukar untuknya mendapatkan Kurta dengan rekaan minimal dan ‘kosong’. Azzim akhirnya berjaya mendapatkan apa yang dihendaki dan bernasib baik kerana Kurta tersebut dikhabarkan sudah habis terjual.
Sekembali daripada ibadah Umrah dan menamatkan persekolahan, Azzim terfikir ada pasaran luas untuknya memperkenalkan rekaan Kurta minimal sebegini.
02
Azzim membeli beberapa gulung kain dan dia menaip, “Kilang Jahit Pukal” atau tanda pagar “#JahitPukalMurah” di kotak carian Instagram untuk mencari siapakah yang boleh merealisasikan rekaan Kurtanya itu. Selepas menemui pekerja warga Bangladesh yang boleh menjahit, dia menyiapkan 200 ke 300 helai Kurta. Bermula dengan jumlah sedikit, ia mula melipat kali ganda memasuki angka ribuan helai.
03
Ternyata pengalaman mengajar seseorang individu. Pada tahun pertama memulakan perniagaan Bulan Bintang, Azzim yang dahulunya hanya berpengalaman menjual baju T nyata belum lagi memahami selok-belok perniagaan musim perayaan. Sewaktu Ramadan, memang ramai yang menyerbu gerainya dan Azzim gigih menambah stok. Namun sesudah tamat Raya, dengan permintaan yang telah berkurangan; Azzim tersedar koleksinya itu ‘bermusim’. Dengan sejumlah stok tidak terjual, dia mengambil keputusan menghabiskan dua tahun berikutnya untuk fokus kepada pengajian di peringkat degree dahulu.
04
Hanya pada tiga tahun pengajian, Azzim menemui motivasi untuk menghidupkan semula Bulan Bintang. Kali ini, dia mencuba pasaran baju Melayu pula. Kali ini kehendak rekaannya juga berbeza dengan apa yang ditawarkan oleh pasaran. Di kala ramai peniaga memperkenalkan Baju Melayu ‘slim fit’ yang melekap pada badan, Azzim inginkan baju Melayu yang sedikit longgar, tanpa logo terpampang pada baju dan paling utama, cantik. ‘Tailored-fit’ gelarnya. Sebelum Ramadan berakhir, stoknya itu habis terjual. Sekali lagi, firasat perniagaan Azzim mengena.
Daripada 3000 helai yang disediakan pada 2019, ia meningkat kepada 10,000 stok pada tahun 2020. Azzim memperkenalkan konsep ‘Next Day Delivery’ oleh Bulan Bintang di Lembah Klang untuk menyelesaikan isu penghantaran pada musim pandemik. Janji Bulan Bintang, “Order Hari Ini, Esok Sampai,” dan ia merupakan strategi yang membantu meletakkan jenama tersebut di hadapan jenama-jenama lain.
05
Azzim tidak lagi menoleh ke belakang. Pada tahun lalu, jenama itu telah menyediakan puluhan ribu stok baju Melayu di samping memperkenalkan semula koleksi Kurta asalnya dengan rekaan serta kualiti yang lebih baik.
Sambil menyifatkan orang muda di luar sana harus memulakan langkah perniagaan pada usia muda, Azzim merasakan ramai yang stuck pada ‘fasa angan-angan’ kerana gerun melihat usahawan senior yang sudah jauh ke hadapan. Baginya, seseorang harus melihat pada keupayaan masing-masing dan ingat, mana-mana usahawan perlu bermula dari bawah.
Jangan lupa untuk subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah!
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI