
Dalam dunia automotif yang kini sedang beralih ke arah elektrifikasi, Malaysia pastinya tidak mahu ketinggalan. Langkah strategik terkini daripada BMW Group Malaysia dengan inisiatif BMW Next Generation Technician (BMW NextGT) membuktikan bahawa masa depan industri bukan sekadar bergantung kepada teknologi, tetapi juga kepada manusia di sebaliknya.
Melalui inisiatif BMW NextGT, pengeluar automotif premium ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) untuk memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal dan vokasional negara.
Ia menjadi titik tolak penting dalam membina tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memacu era kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Membangun Bakat Tempatan Untuk Masa Hadapan Automotif
Kerjasama ini selaras dengan komitmen jangka panjang BMW Group Malaysia dalam memperkasa bakat tempatan agar bersedia menghadapi perubahan industri yang semakin pesat.
Program BMW NextGT memberi tumpuan kepada latihan intensif berasaskan Kerangka Kelayakan Juruteknik BMW, yang melibatkan modul teknikal menyeluruh termasuk teknologi automotif moden dan elektrifikasi.
Tenaga pengajar STDC akan menjalani latihan praktikal bersama pakar teknikal BMW bagi mendapatkan pendedahan langsung terhadap standard global.

Selepas tamat latihan, mereka akan berkongsi kepakaran itu dengan pelajar vokasional terpilih, memastikan generasi baharu juruteknik Malaysia dilengkapi ilmu dan kemahiran terkini yang menepati piawaian antarabangsa.
“Industri automotif sedang melalui transformasi terbesar dalam sejarahnya, dan perkembangan ini menuntut tenaga kerja yang mampu memacu inovasi ke hadapan,” jelas Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel.
“Kerjasama kami dengan STDC melalui program BMW NextGT dibina berasaskan keyakinan bahawa pelaburan dalam pendidikan teknikal ialah kunci membentuk Masa Hadapan Mobiliti di Malaysia.
“Dengan memperkasakan tenaga pengajar dan pelajar menerusi latihan bertaraf dunia, kami sedang melahirkan generasi baharu bakat Malaysia yang bersedia memimpin peralihan ke arah mobiliti mampan dan berteknologi elektrik,” tambahnya lagi.
Komitmen Bersama Negeri Selangor
Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik inisiatif ini yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar tempatan tetapi juga memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab teknologi automotif serantau.
Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Bin Shari berkata, “Kami berasa amat berbesar hati atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh BMW Group Malaysia kepada Kerajaan Negeri melalui kerjasama bersama STDC.

“Program BMW NextGT mencerminkan komitmen Selangor dalam melahirkan bakat generasi baharu yang mampu memimpin peralihan ke arah mobiliti masa hadapan yang mampan.
“Ini bukti bahawa sinergi antara kerajaan dan industri mampu memperkukuh kecemerlangan teknikal serta memperkasakan golongan belia dengan kemahiran bertaraf dunia.”

Program ini akan dilaksanakan bermula 2026, melibatkan rakan pengedar BMW seperti Auto Bavaria, Millennium Welt dan Quill Automobiles, dengan rancangan untuk diperluas ke pengedar lain menjelang 2027.
Meneruskan Warisan Latihan Teknikal BMW
BMW Group Malaysia sememangnya tidak asing dalam pembangunan bakat teknikal. Melalui program BMW Technical Training Program (BTTP) dan BMW High Voltage Expert (HVE), syarikat ini telah melahirkan ramai pakar tempatan yang kini menyelenggara kenderaan elektrik premium BMW i.
Program HVE, yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, dikendalikan di Pusat Latihan Serantau BMW Group Malaysia di Cyberjaya, memainkan peranan penting dalam membentuk tenaga kerja EV Malaysia yang berkemahiran tinggi dan mampu menangani teknologi canggih.

Inisiatif BMW NextGT ini pula menjadi kesinambungan kepada falsafah “Heritage in Motion”, komitmen BMW untuk memacu kemajuan sambil mengekalkan nilai inovasi sejak tahun 1970an, memastikan Malaysia terus berada di barisan hadapan dalam landskap automotif moden.
BACA: Lindungi Diri Anda dari Penipuan Bengkel Kereta ‘Cekik Darah’ – Panduan Elak Ditipu!
Membentuk Asas
Gabungan kepakaran global BMW Group Malaysia dan keupayaan STDC membentuk asas kukuh bagi masa depan automotif Malaysia yang berdaya saing dan mampan.
Dalam era di mana elektrifikasi bukan lagi pilihan tetapi keperluan, pelaburan dalam pendidikan teknikal seperti BMW NextGT adalah langkah paling strategik untuk memastikan Malaysia terus maju dalam arus mobiliti pintar dan lestari.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang










