
Apabila musim bola sepak besar seperti Piala Dunia tiba, ramai lelaki mula kembali aktif bersukan. Ada yang turun ke gelanggang futsal setiap minggu, ada yang kembali bermain badminton bersama rakan-rakan, malah tidak kurang juga yang menyertai liga komuniti atau aktiviti riadah hujung minggu.
Namun di sebalik semangat yang berkobar-kobar itu, pakar ortopedik memberi amaran bahawa peningkatan aktiviti sukan secara mendadak turut menyumbang kepada peningkatan kes kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL), iaitu salah satu kecederaan lutut paling serius yang boleh dialami oleh seorang atlet atau individu aktif.
Menurut Perunding Pakar Bedah Ortopedik, Arthroplasty dan Robotik dari Sunway Medical Centre, Sunway City, Dr Ahmad Hisham Abd Rashid, kecederaan ACL kini semakin kerap berlaku dalam kalangan atlet rekreasi dan bukannya hanya melibatkan pemain profesional.

“Kami melihat semakin ramai golongan muda terutama mereka yang berusia antara 20 hingga 45 tahun datang mendapatkan rawatan akibat kecederaan ACL yang berlaku ketika bermain futsal, bola sepak, badminton, bola tampar malah ketika melakukan senaman di gimnasium.
Kebanyakan mereka sebenarnya tidak menyediakan badan dengan secukupnya untuk aktiviti tersebut. Mereka tidak melakukan pemanasan badan, otot tidak berada dalam keadaan bersedia dan terus melakukan aktiviti berimpak tinggi,” jelas beliau.
Apa Sebenarnya Kecederaan ACL?
ACL merupakan salah satu ligamen utama dalam lutut yang berfungsi menstabilkan pergerakan ketika seseorang berlari, berhenti secara mengejut, menukar arah atau mendarat selepas melompat.
Kecederaan biasanya berlaku apabila kaki berada dalam posisi tetap di atas permukaan tetapi badan berpusing secara tiba-tiba. Situasi ini sering berlaku ketika bermain bola sepak, futsal, ragbi, badminton dan pelbagai lagi sukan yang memerlukan pergerakan pantas.

Menurut Dr Ahmad Hisham, antara tanda paling biasa apabila ACL koyak ialah bunyi seperti “pop” pada lutut diikuti kesakitan mendadak.
“Apabila ACL koyak, pesakit selalunya mendengar bunyi letupan kecil atau ‘pop’. Ia disertai kesakitan serta-merta, bengkak pada lutut, kesukaran untuk memijak kaki dan pergerakan lutut yang menjadi terhad,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman merawat seorang pesakit berusia lingkungan 20-an yang mengalami kecederaan ACL selepas mendarat dalam keadaan tidak stabil ketika bermain bola sepak.
“Dia mengalami kesakitan serta-merta, lutut membengkak dan tidak mampu meneruskan permainan. Pemeriksaan MRI kemudian mengesahkan ACLnya koyak sepenuhnya dan memerlukan pembedahan.”
Punca Sebenar Bukan Ketika Bermain
Ramai menganggap kecederaan berlaku semata-mata kerana insiden ketika bermain. Hakikatnya, menurut Dr Ahmad Hisham, punca sebenar sering bermula jauh lebih awal.
Beliau menjelaskan bahawa kelemahan otot di bahagian kaki dan teras badan merupakan faktor utama yang menyebabkan lutut gagal menampung tekanan ketika melakukan aktiviti fizikal.
Otot quadriceps, hamstring, glute, adductor dan betis memainkan peranan penting dalam menstabilkan sendi lutut. Apabila mana-mana kumpulan otot ini lemah, risiko kecederaan meningkat dengan ketara.

“Ramai orang fikir kecederaan berlaku semasa bersukan. Tetapi punca sebenar biasanya ialah kelemahan otot yang berlaku dalam jangka masa panjang.
Kebanyakan orang lebih fokus melatih bahagian atas badan, otot abdomen atau melakukan kardio. Bahagian kaki pula sering diabaikan. Akhirnya lutut yang menanggung akibatnya,” jelas beliau.
Situasi ini sering berlaku dalam kalangan pekerja pejabat yang banyak duduk sepanjang hari atau individu yang hanya bersenam sekali-sekala tanpa program latihan yang konsisten.
Pemanasan Badan 10 Minit Yang Ramai Abaikan
Menurut Dr Ahmad Hisham, langkah pencegahan paling mudah sebenarnya bermula sebelum seseorang melangkah masuk ke gelanggang.
Beliau menekankan kepentingan melakukan pemanasan badan, menguatkan otot kaki dan teras serta melatih keseimbangan badan secara berkala.
“Kuatkan otot kaki dan teras badan. Fokus kepada latihan keseimbangan. Sentiasa lakukan pemanasan badan sebelum bersukan dan penyejukan badan selepas aktiviti. Ia hanya mengambil masa sekitar 10 minit tetapi kebanyakan orang mengabaikannya,” katanya.
Antara latihan yang disarankan termasuk squat, lunges, leg curl serta latihan keseimbangan menggunakan sebelah kaki.
Menurut beliau, latihan sebegini tidak memerlukan peralatan mahal kerana ia boleh dilakukan di rumah menggunakan berat badan sendiri.

Jangan Tunggu Sehingga Terlambat
Salah satu kesilapan paling besar ialah menganggap kecederaan ACL akan pulih sendiri selepas beberapa hari berehat.
Walaupun seseorang masih mampu berjalan selepas ACL koyak, keadaan tersebut sebenarnya boleh menyebabkan kerosakan lebih serius pada struktur lain dalam lutut.
“Anda masih boleh berjalan walaupun ACL koyak. Tetapi tanpa rawatan yang betul, lutut akan menjadi tidak stabil. Lama-kelamaan anda berisiko mengalami kerosakan pada tulang rawan dan meniskus. Ini meningkatkan risiko osteoartritis pada usia muda,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya segera mendapatkan pemeriksaan sekiranya terdengar bunyi ‘pop’ pada lutut atau mengalami bengkak dan kesakitan ketika memijak kaki.
“Jika anda mendengar bunyi ‘pop’ atau lutut menjadi bengkak, tidak stabil atau sakit ketika memijak kaki, jumpalah doktor. Hanya pemeriksaan MRI boleh mengesahkan kecederaan ACL. Jangan tunggu.”
BACA: Perut Buncit Jadi Petanda Bahaya? Dr Shazif Dedah Risiko Lemak Visceral Yang Ramai Abaikan
Pembedahan Bukan Penamat Perjalanan
Bagi kes ACL yang koyak sepenuhnya, pembedahan pembinaan semula ligamen sering menjadi pilihan terbaik.
Namun menurut Dr Ahmad Hisham, proses pemulihan sebenar bermula selepas pembedahan dilakukan.
“Pemulihan bergantung kepada pesakit. Pembedahan mengambil masa sekitar satu hingga satu setengah jam, tetapi proses rehabilitasi boleh mengambil masa berbulan-bulan. Motivasi adalah kunci utama. Tanpa fisioterapi, lutut tidak akan kembali berfungsi sepenuhnya.”
Beliau turut mengingatkan bahawa ramai pesakit melakukan kesilapan dengan menghentikan fisioterapi terlalu awal selepas pembedahan.
“Ada yang merasakan mereka sudah pulih lalu berhenti menjalani rehabilitasi. Ini meningkatkan risiko kecederaan berulang kerana ligamen baharu masih dalam proses penyembuhan.”
Justeru, sebelum kembali aktif menyertai perlawanan futsal hujung minggu atau menyahut cabaran liga komuniti sempena musim bola sepak, pastikan badan benar-benar bersedia.
Kerana dalam dunia sukan, semangat sahaja tidak mencukupi. Otot yang kuat, persediaan yang betul dan disiplin menjaga tubuh adalah pertahanan pertama untuk memastikan anda terus boleh menikmati permainan tanpa perlu berdepan kecederaan serius.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




