Automotif

Komuniti Harley-Davidson Malaysia Cipta Cabaran Rentas Benua, Sasar Rekod Baharu Malaysia Book of Records

Share

Komuniti Harley-Davidson Malaysia sekali lagi membuktikan semangat brotherhood dan pengembaraan tanpa batas apabila tampil dengan tiga ekspedisi motosikal antarabangsa berskala besar merentasi Asia dan Eropah.

Menariknya, ketiga-tiga ekspedisi tersebut bukan sahaja melibatkan komuniti penunggang tempatan daripada pelbagai kelab motosikal, malah turut menyasarkan pengiktirafan rasmi daripada Malaysia Book of Records.

Secara keseluruhan, ketiga-tiga misi tersebut bakal melibatkan perjalanan lebih 49,000 kilometer merentasi pelbagai negara dan laluan mencabar dunia. Ia sekali gus menggambarkan semangat sebenar Harley Owners Group (H.O.G.) yang terkenal dengan budaya pengembaraan, ketahanan mental dan persaudaraan global dalam dunia motosikal.

Ekspedisi ini turut mendapat sokongan penuh daripada Didi Group bersama rangkaian pengedar rasmi Harley-Davidson Malaysia termasuk H.O.G. Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Johor Bahru Chapters.

Menurut pihak penganjur, inisiatif ini membuktikan bagaimana komuniti motosikal tempatan mampu bekerjasama untuk membawa nama Malaysia ke pentas pengembaraan antarabangsa.

Jelajah 49,000 Kilometer Rentas Asia & Eropah

Antara ekspedisi paling mencuri perhatian tentunya Merdeka Ride 2026 yang disifatkan sebagai antara perjalanan motosikal paling ambisius pernah dilakukan komuniti Harley-Davidson tempatan.

Ekspedisi tersebut dianjurkan dan diketuai oleh Shadowfax MC di bawah visi pengasasnya, Dato’ Anand. Perjalanan epik itu bermula pada 24 Mei 2026 dan dijadual berakhir pada 31 Ogos 2026 sempena Hari Kemerdekaan Malaysia.

Sepanjang tempoh 100 hari tersebut, peserta akan merentasi kira-kira 24,700 kilometer melibatkan 25 negara dan 69 wilayah atau negeri merangkumi Asia Tenggara, China, Asia Tengah, Caucasus dan Eropah sebelum akhirnya tiba di London tepat pada Hari Kebangsaan Malaysia.

Ekspedisi ini bukan sekadar perjalanan biasa, tetapi simbol semangat pengembaraan tanpa sempadan yang menjadi identiti komuniti Harley-Davidson global.

Merdeka Ride 2026 Jadi Ekspedisi Paling Bercta-Cita Tinggi

Sementara itu, satu lagi ekspedisi besar bakal menyaksikan ahli Heaven Respect Brotherhood Motorcycle Club (HRB MC) menjelajah kawasan barat daya China menerusi HRB MC 2026 China Southwest Riding Tour.

Konvoi tersebut memulakan perjalanan selepas flag-off rasmi pada 29 April 2026 dan dijangka melibatkan perjalanan sejauh 10,000 kilometer.

Apa yang menjadikan ekspedisi ini cukup menarik ialah misi mereka untuk menjadi kumpulan Harley-Davidson pertama menakluki Huajiang Grand Canyon Bridge yang diiktiraf sebagai jambatan tertinggi dunia.

Laluan ini dijangka menguji ketahanan fizikal dan mental para peserta kerana melibatkan pelbagai bentuk muka bumi serta cuaca ekstrem sepanjang perjalanan.

Tawan Jambatan Tertinggi Dunia & Gunung Kailash

Dalam masa sama, satu lagi kumpulan penunggang pula sedang menjayakan ekspedisi Johor Bahru to Mount Kailash Motorcycle Expedition.

Ekspedisi tersebut melibatkan gabungan penunggang daripada H.O.G. Johor Bahru, Muscle Rider MC, Shadowfax MC dan Jivathma MC. Konvoi itu mula bergerak pada 25 Mei 2026 dan bakal menempuh perjalanan lebih 15,000 kilometer melalui Thailand, Laos, wilayah Yunnan di China dan Tibet sebelum tiba di Gunung Kailash yang terletak pada ketinggian 6,638 meter dari aras laut.

Gunung Kailash sendiri cukup terkenal sebagai lokasi spiritual dan antara destinasi paling mencabar untuk ekspedisi motosikal altitud tinggi. Faktor cuaca, laluan berbahaya dan keadaan altitud tinggi dijangka menjadi cabaran utama sepanjang perjalanan tersebut.

BACA: 10 Perkara Penting Wajib Dilakukan Semasa Aktiviti Hiking Atau Trail Running Untuk Keselamatan Diri

Semangat Brotherhood Harley-Davidson Malaysia Ke Pentas Global

Walaupun setiap ekspedisi dipimpin oleh kelab berbeza, semuanya bergerak di bawah semangat komuniti Harley Owners Group (H.O.G.) yang menyatukan pelbagai komuniti penunggang Harley-Davidson di Malaysia.

Sekiranya ketiga-tiga ekspedisi tersebut berjaya disempurnakan, para penunggang H.O.G. Malaysia bakal mencipta sejarah tersendiri menerusi pengiktirafan rasmi Malaysia Book of Records.

Dalam kenyataan sama, Harley-Davidson turut menegaskan identiti jenama tersebut sebenarnya jauh melangkaui sekadar penghasilan motosikal semata-mata.

“Lebih daripada sekadar membina jentera, kami membawa semangat pengembaraan yang tidak lapuk ditelan zaman. Kebebasan untuk jiwa,” menurut kenyataan dari Harley-Davidson Malaysia.

Jenama ikonik yang diasaskan sejak tahun 1903 itu turut menyatakan visi mereka ialah “Membina legasi dan memimpin industri menerusi inovasi, evolusi dan emosi.”

Selain motosikal premium, Harley-Davidson juga terkenal dengan budaya komuniti global yang cukup kuat melibatkan pengembaraan, gaya hidup dan persaudaraan dalam dunia dua roda.

Sementara itu, Didi Group yang berpangkalan di Petaling Jaya terus memainkan peranan penting sebagai pengimport dan pengedar rasmi Harley-Davidson di Malaysia, Singapura dan Hong Kong.

Selain Harley-Davidson, Didi Group turut membawa pelbagai jenama motosikal premium lain seperti Vespa, Piaggio, Triumph, Royal Enfield, Aprilia dan Moto Guzzi.

Dengan pelbagai ekspedisi berskala antarabangsa seperti ini, komuniti Harley-Davidson Malaysia jelas menunjukkan bahawa budaya touring dan adventure riding tempatan kini semakin berkembang ke tahap lebih besar, lebih berani dan semakin mendapat perhatian di peringkat global.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim