
Selepas melalui pertarungan sengit menentang petarung Lubnan, Ramadan Ondash di pentas The Inner Circle 24 pada 31 Julai lalu, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Jojo Ghazali kini mencatat satu lagi detik penting dalam perjalanan kariernya.
Petarung berusia 19 tahun itu tewas tipis menerusi keputusan berbelah bahagi (split decision) dalam aksi Muay Thai kelas flyweight di Stadium Lumpinee, Bangkok.
Namun, perkembangan terbaharu kali ini bukan berlaku di dalam gelanggang. Jojo menerima Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Ahli Bintang Sarawak (ABS) sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian serta sumbangannya dalam mengharumkan nama Sarawak menerusi sukan Muay Thai.
Pengurniaan tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak yang berlangsung di Astana Negeri Sarawak pada Khamis.
Jojo merupakan antara 154 penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Sarawak pada istiadat berkenaan.

Sarawak Sentiasa Dekat Di Hati
Bagi Jojo, pengiktirafan itu mempunyai nilai cukup besar memandangkan Sarawak merupakan negeri yang banyak membentuk perjalanan awal kariernya sebagai petarung.
Menerusi hantaran di media sosial, Jojo mengangkat ungkapan terkenal Sarawak, ‘Agi idup, agi ngelaban’, sebagai gambaran kepada semangat yang dipegangnya dalam melalui kehidupan dan dunia sukan tempur.
“Di Sarawak kami mempunyai pepatah ‘Agi idup agi ngelaban’ yang bermaksud ‘Selagi saya hidup, selagi itulah saya akan berjuang’ dan saya berpegang teguh pada prinsip itu.
“Kepada bandar yang sentiasa di hati saya, terima kasih atas pengiktirafan ini. Alhamdulillah.
“Saya akan terus berusaha sehabis baik untuk mengharumkan nama tempat ini” tulisnya.

Ungkapan tersebut memang cukup dekat dengan perjalanan seorang atlet seperti Jojo yang sudah melalui kemenangan dan kekalahan ketika membina nama di pentas antarabangsa pada usia muda.
Sempat Bergurau Jadi ‘Khazanah Negara’
Di sebalik detik penuh bermakna itu, Jojo tetap menampilkan personaliti santainya apabila sempat berseloroh mengenai status baharunya selepas menerima pengiktirafan berkenaan.
Dalam satu lagi hantaran, dia mempersoalkan sama ada penerimaan ABS itu kini menjadikannya secara rasmi sebagai sebuah ‘khazanah negara’.

“Secara rasminya sebuah khazanah negara?
“Alhamdulillah. Terima kasih Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan terima kasih Sarawak. Pingat (ABS) Ahli Bintang Sarawak.”
“Dato’ Jojo soon?” katanya berseloroh.
Muay Thai Sebahagian Hidup Sejak Kecil
Walaupun baru berusia 19 tahun, nama Jojo bukan lagi asing dalam arena Muay Thai Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.
Mewakili Rentap Muaythai Gym, Jojo mula berkecimpung dalam sukan berkenaan ketika berusia sekitar 10 tahun sebelum perlahan-lahan membina reputasi menerusi pertandingan tempatan dan antarabangsa.
Minatnya terhadap Muay Thai juga bukan sesuatu yang asing dalam keluarga. Kedua-dua ibu bapanya mempunyai latar belakang dalam sukan tersebut, menyebabkan kehidupan Jojo sejak kecil cukup dekat dengan dunia seni bela diri.
Antara pencapaian yang melonjakkan namanya ialah kejayaan menjuarai Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2022 selepas menewaskan wakil Rusia, Rustam Yunusob.
Daripada kejohanan peringkat remaja, Jojo kemudian mula mencuri perhatian di pentas ONE Championship dengan gaya pertarungan agresif serta kecenderungannya mencari penyudah.
BACA: Ramadan Ondash Tolak Pertarungan Semula Dengan Johan Ghazali
Rentetan beberapa kemenangan membolehkan Jojo memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 bersama ONE Championship, sekali gus membuka peluang lebih besar untuknya bersaing dengan petarung antarabangsa.
ONE Championship sendiri menyenaraikan Jojo sebagai antara bakat muda Malaysia-Amerika yang memiliki gaya agresif dan kadar penyudah tinggi dalam aksi profesionalnya.

je senang
