Ads

JPJ Beri Amaran Keras Tak Akan Sokong Himpunan RXZ Members Jika Membahayakan Orang Awam

RXZ
Foto: Astro AWANI

Program himpunan motosikal seperti RXZ Members terus mendapat sambutan besar dalam kalangan peminat permotoran tempatan. Namun, kemeriahan sesebuah acara tidak seharusnya mengatasi soal keselamatan, lebih-lebih lagi apabila perjalanan berkumpulan melibatkan ribuan peserta dan turut menggunakan jalan raya awam.

Susulan kemalangan serta rungutan yang sering dikaitkan dengan penganjuran acara sedemikian, Jabatan Pengangkutan Jalan akan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap peserta. Sesi libat urus bersama pihak penganjur juga akan diadakan bagi memastikan perjalanan ke lokasi dan pelaksanaan program berlangsung dengan lebih teratur.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli menegaskan bahawa jabatan itu tidak menghalang penganjuran program permotoran. Bagaimanapun, semua peserta perlu mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan motosikal berada dalam keadaan selamat dan menepati spesifikasi teknikal yang ditetapkan.

“Kita tidak menghalang asalkan patuh peraturan. Jika tidak, kita akan mengambil tindakan tanpa kompromi terutama terhadap kesalahan ubah suai kenderaan dan pelanggaran undang-undang,” katanya.

Motosikal Ubah Suai Akan Dikenakan Tindakan

Antara perkara yang akan diberikan perhatian ialah pengubahsuaian motosikal yang tidak mengikut spesifikasi. Kesalahan sebegini bukan sahaja berkaitan penampilan atau bunyi ekzos, tetapi boleh menjejaskan kestabilan, kawalan dan keselamatan sesebuah kenderaan.

Menurut Aedy Fadly, JPJ telah memberikan nasihat kepada penganjur dan peserta agar memastikan motosikal masing-masing berada dalam keadaan selamat sepanjang perjalanan serta ketika program berlangsung.

Peserta yang gagal mematuhi peraturan tidak akan diberikan kelonggaran semata-mata kerana terlibat dalam acara berkumpulan.

Ads
JPJ Beri Amaran Keras Tak Akan Sokong Himpunan RXZ Members Jika Membahayakan Orang Awam
Foto: BERNAMA

“Mana-mana peserta yang tidak patuh, termasuk mengubah suai kenderaan secara tidak mengikut spesifikasi akan dikenakan tindakan tanpa kompromi yang mana itu kita telah mulakan,” katanya.

Bagi siasatan kemalangan yang melibatkan peserta, tanggungjawab tersebut berada di bawah pihak polis. JPJ pula akan mengambil tindakan susulan yang bersesuaian berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengelakkan pertindihan tindakan antara agensi.

Rungutan Pengguna Jalan Raya Turut Diambil Kira

JPJ turut mengambil maklum aduan daripada orang ramai di beberapa negeri yang mendakwa perjalanan peserta menyebabkan kesesakan lalu lintas. Terdapat juga rungutan mengenai segelintir penunggang yang dikatakan menunggang secara melulu dan membahayakan kenderaan lain.

Aedy Fadly berkata, kepentingan pengguna jalan raya secara keseluruhan akan sentiasa menjadi keutamaan jabatan.

“Mereka mengatakan jalan raya sesak dan peserta berada di atas jalan raya dalam keadaan tidak selamat, memandu secara melulu serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Ads

“JPJ menjaga kepentingan awam, bukan kepentingan peserta dan bukan kepentingan penganjur. Jadi kalau ada tindakan yang membahayakan orang awam, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Kenyataan itu memberi isyarat bahawa kebebasan menganjurkan acara permotoran datang bersama tanggungjawab besar. Disiplin beberapa orang peserta boleh mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap seluruh komuniti motosikal.

BACA: Dua Badang Negara Gegarkan Glasgow, Sukan Angkat Berat Malaysia Raih Dua Emas Penuh Bergaya

Penganjuran Masa Depan Mungkin Terjejas

JPJ turut memberi amaran bahawa sokongan terhadap program seumpama itu boleh dipertimbangkan semula sekiranya insiden sama terus berulang.

Ads

“Selepas ini, sekiranya masih berlaku perkara sama, kita tidak akan menyokong program ini untuk diadakan lagi.

“Kita mahu memastikan peserta berhemah di jalan raya dan pengguna jalan raya yang lain tidak marah kepada peserta,” jelasnya.

Himpunan motosikal boleh menjadi ruang terbaik untuk mempertemukan komuniti, menggerakkan ekonomi setempat dan meraikan minat terhadap jentera. Namun, kejayaannya tidak hanya diukur melalui jumlah peserta.

Ia turut bergantung pada sejauh mana setiap penunggang menghormati undang-undang, menjaga keselamatan dan berkongsi jalan raya dengan penuh tanggungjawab.

Sumber: BERNAMA, Kosmo!

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Gentleman semua dah baca MASKULIN? Download dekat je senang

KLIK DI SEENI
Ads
ONDASH

Ramadan Ondash Tolak Pertarungan Semula Dengan Johan Ghazali

Ramadan Ondash menolak pertarungan semula dengan Johan Ghazali dan kini mengalihkan fokus kepada misi memburu gelaran dunia ONE Championship.