Bulan Jun diraikan sebagai Bulan Kesedaran Kesihatan Mental Lelaki di peringkat global. Inilah masa yang paling sesuai untuk kita bercakap terus terang — kesihatan mental bukan isu tabu dan tidak menjadikan anda kurang ‘jantan’ bila mengakui sedang bergelut dengannya.
STATISTIK YANG MEMBUKA MATA
Lelaki tiga kali lebih cenderung untuk membunuh diri berbanding wanita, menurut World Health Organization (WHO).
Di Malaysia, laporan KKM 2022 menunjukkan peningkatan mendadak kes kemurungan dalam kalangan lelaki berumur 30–49 tahun.
70% lelaki mengakui mereka sukar untuk meluahkan masalah emosi kerana takut dianggap lemah.
Jelas, kita bukan bercakap tentang masalah terpencil. Ini realiti yang berlaku depan mata.
Ads
KENAPA LELAKI SUSAH NAK BUKA MULUT?
Lelaki dibesarkan untuk jadi ‘keras’. Dari kecil, kita disuruh tahan sakit, simpan perasaan, dan “jadi lelaki”. Tapi realitinya, bila emosi dikurung, ia boleh jadi bom jangka – meletup dalam bentuk stres melampau, kemurungan, ketagihan atau masalah hubungan.
Sikap “aku okey”, “aku boleh handle” sering menjadi penghalang terbesar kepada pemulihan. Lelaki perlu faham bahawa bercakap adalah kekuatan, bukan kelemahan.
Ads
Gmabar Hiasan
TANDA-TANDA AWAL MASALAH KESIHATAN MENTAL
Jangan tunggu sampai dah ‘burn out’. Kenali signal awal:
Ads
Mudah marah tanpa sebab jelas
Hilang minat terhadap aktiviti kegemaran
Sukar tidur atau tidur berlebihan
Rasa kosong atau tidak berguna
Sakit fizikal tanpa sebab perubatan (seperti sakit kepala, sakit badan)
LANGKAH MASKULIN UNTUK MENGATASI MASALAH INI
Bercakap Dengan Seseorang
Kawan, ahli keluarga atau kaunselor — luahkan perasaan anda. Lelaki yang bijak tahu bila perlu bantuan.
Aktifkan Badan, Tenangkan Minda
Senaman seperti larian, berenang atau angkat berat bukan sahaja bagus untuk fizikal, tapi juga mengurangkan hormon stres (kortisol) dalam badan.
Rehat Yang Berkualiti
Tidur yang cukup mampu reset emosi. Elakkan skrin sebelum tidur dan praktikkan ‘sleep hygiene’.
Kurangkan Alkohol & Gula
Dua benda ini boleh ganggu keseimbangan hormon dan menjejaskan mood jangka panjang.
Cari Hobi Yang Menenangkan
Menulis jurnal, hiking, main muzik atau memasak — apa sahaja yang buat anda rasa ‘lega’.
JANGAN JADI WIRA DALAM SENYAP
Kesihatan mental bukan isu eksklusif untuk wanita. Sebagai lelaki moden, kita perlu keluar dari bayang-bayang stigma dan berani jaga emosi sendiri. Kerana lelaki sejati bukan yang simpan derita, tapi yang berani menghadapinya.
Ingat, menjaga kesihatan mental juga satu bentuk kekuatan. Dan ia bermula dengan satu langkah kecil — mengakui bahawa anda juga manusia.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Seiring bertambahnya usia, kebanyakan orang mula menghadapi cabaran dalam mengekalkan ketajaman ingatan dan kejelasan minda. Kehilangan ingatan dan kesukaran dalam kognisi adalah sebahagian daripada proses penuaan yang normal, tetapi terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan untuk melatih minda agar tetap cergas dan mengurangkan risiko menjadi pelupa.
Membaca buku, artikel, atau bahan bacaan lain merangsang minda dan meningkatkan pengetahuan. Aktiviti ini membantu mengekalkan fungsi kognitif dengan merangsang otak untuk berfikir secara kritis dan analitis. Menulis, sama ada menulis jurnal, cerita pendek, atau artikel, juga boleh membantu melatih minda. Ia memerlukan pemikiran yang mendalam dan kemampuan untuk menyusun idea dengan jelas, sekaligus membantu anda untuk tidak menjadi seorang yang pelupa.
Permainan seperti catur, teka-teki silang kata, Sudoku, dan permainan memori adalah cara yang hebat untuk melatih otak. Permainan ini memerlukan penggunaan logik, strategi, dan pemikiran kritikal, yang semuanya baik untuk kesihatan mental. Dengan kerap bermain permainan minda, otak akan tetap aktif dan tajam.
Mempelajari sesuatu yang baru, seperti bahasa asing, alat muzik, atau kemahiran teknikal, dapat membantu menjaga otak aktif. Proses pembelajaran merangsang neuron dan mencipta sambungan baru dalam otak, yang penting untuk menjaga ketajaman mental. Selain itu, mempelajari kemahiran baru juga dapat memberikan rasa pencapaian dan kepuasan diri.
Latihan fizikal bukan sahaja baik untuk tubuh tetapi juga untuk minda. Senaman membantu meningkatkan aliran darah ke otak dan merangsang pengeluaran bahan kimia yang meningkatkan kesihatan otak. Aktiviti fizikal seperti berjalan, berenang, atau yoga dapat membantu mengurangkan stres dan meningkatkan fungsi kognitif.
Kegiatan sosial dan interaksi dengan orang lain adalah penting untuk kesihatan mental. Berbual dengan rakan, ahli keluarga, atau menyertai kelab atau kumpulan sosial dapat membantu menjaga minda aktif. Interaksi sosial merangsang otak untuk berfikir dan bertindak balas, serta meningkatkan mood dan mengurangkan risiko kemurungan.
Pemakanan juga memainkan peranan penting dalam kesihatan otak. Makanan yang kaya dengan antioksidan, vitamin, dan asid lemak omega-3, seperti ikan berlemak, beri, kacang, dan sayuran hijau, dapat membantu menjaga kesihatan otak. Minum cukup air dan mengelakkan makanan yang tinggi lemak tepu dan gula juga penting untuk fungsi otak yang optimum.
Meditasi, yoga, dan teknik bertenang lain dapat membantu mengurangkan stres dan meningkatkan fokus serta konsentrasi. Dengan mengamalkan meditasi secara konsisten, otak dapat belajar untuk beristirahat dan mengatur emosi dengan lebih baik. Ini penting untuk menjaga keseimbangan mental dan mengurangkan risiko penurunan kognitif.
Menjaga minda tetap cergas dan mengurangkan risiko menjadi pelupa di usia tua memerlukan usaha berterusan. Melalui aktiviti seperti membaca, bermain permainan minda, belajar kemahiran baru, bersenam, berinteraksi sosial, menjaga pemakanan yang sihat, dan mengamalkan meditasi, kita dapat membantu melindungi fungsi kognitif dan menikmati kehidupan yang lebih aktif dan memuaskan. Oleh itu, adalah penting untuk memulakan langkah-langkah ini seawal mungkin dan menjadikannya sebahagian daripada rutin harian.
Lelaki selalu bangga dengan satu benda yang kadang kadang memakan diri iaitu tahan sakit. Batuk lama, lenguh badan, dada rasa sempit sikit, semuanya kita letak bawah label biasa. Kita terus kerja, terus drive, terus hidup seperti tak ada apa. Tapi sebenarnya ada masalah pada badan yang terselindung.
Masalahnya, badan bukan mesin yang boleh dipaksa tanpa henti. Banyak penyakit serius bermula perlahan dan senyap, tanpa simptom yang jelas. Bila signal makin kuat, selalunya ia datang bersama kos yang lebih mahal, masa rawatan yang lebih panjang dan risiko yang lebih tinggi.
Sebab itu pemeriksaan awal dan imbasan kesihatan atau scan bukan lagi isu untuk orang sakit sahaja.
Ia ialah langkah pencegahan yang membantu lelaki kenal risiko lebih awal dan bertindak sebelum terlambat. Ikuti apa kata Dr Shaun Darren Aeria, Pakar Perunding Radiologi di Columbia Asia Hospital Batu Kawan, untuk faham scan mana yang penting, bila patut buat, dan apa tanda bahaya yang lelaki tak boleh kompromi.
MASKULIN: Ramai lelaki ada satu habit yang susah nak buang. Bila sakit sikit, kita buat tak tahu. Bila badan bagi signal pelik, kita anggap biasa. Tapi realitinya, banyak penyakit serius bermula senyap. Jadi Dr Shaun, kenapa lelaki patut ambil isu scan kesihatan ni lebih serius?
DR SHAUN: Sebab ramai lelaki tunggu sampai simptom jadi teruk baru nak bertindak. Sedangkan banyak penyakit penting, termasuk kanser prostat, aneurysm abdomen dan kanser paru paru awal, boleh berlaku tanpa simptom. Bila kita buat scan awal, kita boleh kesan masalah sebelum ia menjadi besar dan merbahaya.
MASKULIN: Jadi kalau nak bagi satu analogi paling mudah, macam mana Dr Shaun terangkan kepada lelaki yang masih degil?
DR SHAUN: Anggap ini macam lampu “check engine” badan anda sebelum perjalanan jauh balik kampung. Bila lampu menyala, anda takkan terus redah jalan jauh tanpa periksa. Badan pun sama. Bila ada tanda tertentu, anda tak boleh buat main.
MASKULIN: Okay, kita masuk part yang paling penting. Apa tanda bahaya yang lelaki wajib scan segera, bukan tunggu esok?
DR SHAUN: Kalau anda rasa sakit dada tiba tiba yang kuat dan mencengkam, atau anda sesak nafas tanpa sebab yang jelas, itu mungkin tanda masalah jantung. Satu lagi, sakit kepala teruk secara mengejut, terutama yang paling teruk pernah anda rasa, itu boleh jadi petunjuk serius seperti pendarahan dalam otak.
MASKULIN: Ada juga kes yang nampak macam remeh, tapi sebenarnya berbahaya?
DR SHAUN: Ya. Lemah atau kebas sebelah badan contohnya, itu boleh jadi strok. Gunakan konsep Act F.A.S.T, muka jatuh, lengan lemah, pertuturan tidak jelas, dan masa untuk hubungi kecemasan.
MASKULIN: Ramai lelaki akan diam bila melibatkan isu bawah pinggang. Tapi kita kena cakap juga. Apa simptom yang patut buat lelaki terus pergi check?
DR SHAUN: Darah dalam air kencing, najis atau air mani. Itu bukan benda untuk tunggu. Selain itu, turun berat badan tanpa sebab, berpeluh malam, atau sakit perut berpanjangan juga antara tanda yang tak boleh dianggap biasa.
MASKULIN: Sekarang ni ramai lelaki ada mindset, aku sihat, aku tak ada simptom. Jadi kenapa scan masih relevan?
DR SHAUN: Sebab penyakit awal kadang kadang memang tak bagi simptom. Itu sebabnya imaging penting. Imbasan bertindak macam radar menara kawalan trafik udara lapangan terbang. Ia boleh nampak masalah ketika ia masih kecil.
MASKULIN: Boleh bagi contoh supaya orang lebih faham?
DR SHAUN: CT scan boleh kesan nodul kecil di paru paru sebelum ia jadi agresif. Ultrasound boleh kesan aneurysm abdomen sebelum ia pecah. MRI prostat pula boleh kesan perubahan awal walaupun belum ada simptom kencing. Pengesanan awal bukan saja selamatkan nyawa, malah elakkan pembedahan besar dan kos rawatan yang tinggi.
MASKULIN: Kalau ikut umur, bila masa sesuai lelaki mula fikir tentang scan berkala?
DR SHAUN: Tak ada guideline yang sama untuk semua lelaki, tapi sebagai rule of thumb, umur 20 hingga 30 tahun biasanya scan dibuat bila ada simptom kecuali jika ada risiko genetik atau sejarah keluarga. Umur 40 tahun pula patut mula berbincang baseline checks kalau ada faktor risiko seperti darah tinggi, kolesterol tinggi, merokok atau sejarah keluarga kanser dan penyakit jantung. Umur 50 tahun ke atas, preventive scanning lebih relevan walaupun anda rasa sihat.
MASKULIN: Bila umur dah masuk fasa lebih matang, scan apa yang biasanya doktor akan cadangkan untuk lelaki?
DR SHAUN: Antara yang biasa ialah Prostate MRI, low dose chest CT untuk perokok atau bekas perokok berumur lebih 50 tahun, abdominal ultrasound untuk aneurysm dan organ dalaman, cardiac CT atau echocardiogram untuk jantung, dan DEXA bone density scan. Ramai tak sedar osteoporosis bukan masalah wanita saja, lelaki pun boleh alami kehilangan ketumpatan tulang.
MASKULIN: Ramai juga risau, kalau scan ni kena buat selalu ke?
DR SHAUN: Kekerapan scan bergantung pada profil kesihatan. Doktor screening sepatutnya susun pelan ikut risiko. Sebagai gambaran, prostate MRI boleh jadi setiap satu hingga dua tahun jika risiko tinggi, low dose CT biasanya setiap tahun untuk yang layak, abdominal aorta ultrasound mungkin sekali seumur hidup untuk lelaki 65 hingga 75 yang pernah merokok, dan scan jantung ikut saranan berdasarkan tekanan darah, kolesterol dan sejarah keluarga.
MASKULIN: Satu lagi isu besar. Lelaki takut radiasi. Selamat ke sebenarnya?
DR SHAUN: Scan secara umum selamat, malah saya selalu cakap ia lebih selamat berbanding banyak aktiviti harian seperti memandu kereta atau melintas jalan. CT scan memang ada radiasi, tapi manfaatnya besar bila scan diperlukan untuk diagnosis tepat. MRI pula tiada radiasi, cuma ada yang rasa bising atau claustrophobic. Ultrasound paling mudah sebab selamat dan tidak sakit.
MASKULIN: Ada orang takut sebab takut jumpa penyakit. Macam mana Dr Shaun jawab benda ni?
DR SHAUN: Ini halangan paling besar. Ramai lelaki fikir kalau tak ada simptom, maknanya tak ada penyakit. Itu jauh dari kebenaran. Elak scan sebab takut berita buruk sama macam anda abaikan bumbung bocor sebab takut kos baiki. Kalau dibiarkan, ia akan jadi lebih teruk dan kos akan jadi lebih mahal.
MASKULIN: Last sekali, apa ayat paling tepat untuk lelaki yang selalu cakap aku ok je?
DR SHAUN: Tindakan paling lelaki bukan tahan sakit. Tindakan paling bijak ialah buat pemeriksaan awal sebelum terlambat.
Penutupnya mudah. Anda tak perlu jadi hypochondriac atau paranoid tentang kesihatan. Tetapi anda juga tak perlu tunggu badan “pancit” baru nak bertindak.
Scan yang dibuat pada masa yang betul boleh jadi perbezaan antara rawatan awal yang mudah, dengan masalah besar yang merosakkan hidup. Jika badan mula bagi lampu check engine, berhenti sekejap, periksa dan jaga diri betul betul.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Musim durian sudah kembali. Bau menyengat mula memenuhi tepi jalan, promosi kaw-kaw bersepah dan ‘hantu durian’ memang susah duduk diam. Nak IOI, Musang King atau Blackthorn, sebut saja, semua ada.
Namun di sebalik kenikmatan raja buah ini, ramai lelaki sebenarnya tak sedar bahawa sakit saraf akibat durian boleh berlaku, terutama jika dimakan berlebihan atau pada waktu yang salah.
Menurut doktor perubatan, Dr Nik Ariff, antara aduan paling kerap diterimanya setiap kali musim buah ini adalah rasa kebas pada tangan dan kaki, sakit mencucuk serta denyutan yang menyerupai sakit saraf.
“Musim durian je ramai mengadu kebas tangan dan kaki, sakit mencucuk macam sakit saraf,” jelasnya.
Durian mempunyai kandungan gula dan indeks glisemik (GI) yang tinggi berbanding buah lain. Lonjakan gula secara mendadak boleh mengiritasi saraf, terutama bagi individu yang menghidap pra-diabetes atau diabetes.
Saraf yang sensitif akan bertindak balas dengan simptom seperti kebas, rasa mencucuk serta sensasi berdenyut atau panas. Inilah antara punca utama sakit saraf yang sering dipandang remeh.
Pengambilan durian secara berlebihan boleh mencetuskan keradangan sistemik. Keadaan ini memberi tekanan kepada saraf dan memburukkan lagi masalah saraf sedia ada.
Ringkasnya, jika seseorang memang mempunyai isu saraf sebelum ini, durian boleh menjadi ‘trigger’ yang menyebabkan simptom bertambah teruk.
Kandungan gula tinggi juga boleh menjejaskan aliran darah mikro. Apabila saraf tidak menerima oksigen dan nutrien mencukupi, simptom sakit saraf lebih mudah berlaku.
Antara tanda yang biasa dialami termasuk kebas tangan dan kaki, badan terasa panas serta sensasi seperti tercucuk.
Lelaki yang menghidap kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi atau masalah buah pinggang lebih berisiko mengalami sakit saraf jika makan durian secara berlebihan.
Dalam sesetengah kes, ubat-ubatan untuk penyakit ini juga boleh meningkatkan sensitiviti saraf, sekali gus memburukkan simptom.
Ini antara punca paling dipandang remeh. Menurut Dr Nik Ariff, masalah utama bukan pada durian semata-mata, tetapi cara dan waktu pengambilan.
“Masalah utama bukan durian, tapi makan lewat malam, ataupun digabungkan dengan air manis atau alkohol. Semua ini meningkatkan tekanan metabolisme ke atas saraf,” jelasnya.
Makan durian pada lewat malam memaksa badan bekerja ketika sistem sepatutnya berehat, sekali gus memberi beban besar kepada saraf dan jantung.
Pakar nutrisi, Dr Hafiz Sulaiman, menjelaskan bahawa gabungan karbohidrat, gula, lemak dan serat tinggi dalam durian menjadikannya sukar dihadam, terutamanya pada waktu malam.
“Sulfur yang tinggi boleh menghasilkan gas. Bila sistem penghadaman sudah perlahan, makanan akan menapai, menghasilkan angin, perut penuh dan asid naik ke dada. Jika terus baring, risiko refluks semakin tinggi,” katanya.
Durian bukan musuh. Masalah sebenar ialah kuantiti dan masa pengambilan.
Sebagai lelaki, menjaga kesihatan saraf sama penting dengan menjaga otot dan stamina. Sakit saraf boleh dielakkan jika dinikmati secara sederhana dan berhemah.
Durian boleh dinikmati, tetapi jangan ikut nafsu sampai tubuh sendiri yang ‘bayar harga’. Lelaki yang berfikir panjang bukan sekadar tahu menikmati hidup, tetapi tahu bila perlu berhenti.
Servis kereta sebelum balik kampung sangat penting bagi memastikan perjalanan raya lebih selamat. Ikuti checklist pemeriksaan kereta ini sebelum memulakan perjalanan jauh.