
Tindakan berani seorang pempengaruh media sosial membawa sebuah kereta ke laut untuk tujuan penggambaran akhirnya mengundang padah apabila dia bersama beberapa individu lain ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Terengganu, semalam.
Operasi Tangkapan di Perairan Pulau Bidong
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang, berkata penahanan dilakukan menerusi Operasi Iman pada jam 6 petang, kira-kira 16 batu nautika barat laut Kuala Terengganu berhampiran Pulau Bidong.
Menurut beliau, pempengaruh terbabit menggunakan sebuah platform khas yang ditarik dengan bot penumpang bagi meletakkan kereta di atas laut.
Bagaimanapun, platform itu dibina tanpa peralatan keselamatan yang sesuai dan jelas melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO).

Risiko Keselamatan dan Bot Tanpa Lesen
Hamiludin menegaskan, tindakan tersebut bukan sahaja berbahaya kepada kru dan penumpang, malah turut mengancam keselamatan pengguna perairan lain.
Dalam operasi sama, pihak Maritim turut menahan sebuah lagi bot yang mengiringi penggambaran berkenaan kerana beroperasi tanpa lesen sah daripada Jabatan Laut.
Kru, Penumpang dan Nakhoda Ditahan
Secara keseluruhan, 12 individu warga tempatan berusia antara 21 hingga 32 tahun ditahan.
Mereka terdiri daripada enam kru termasuk nakhoda serta enam penumpang.
“Bot bersama kru dan penumpang telah dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu sekitar jam 2 pagi tadi untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana beberapa kesalahan termasuk melanggar syarat sah lesen, beroperasi tanpa lesen sah serta melakukan aktiviti penundaan tanpa kebenaran.
Maritim Tegas Jaga Keselamatan Perairan

Mengulas lanjut, Hamiludin menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim.
“Maritim Malaysia serius memastikan keselamatan perairan negara, khususnya di Terengganu, terus terpelihara. Walaupun kami menyokong kreativiti anak muda serta aktiviti pelancongan, ia mesti dilaksanakan mengikut undang-undang demi keselamatan nyawa dan kelestarian sektor maritim negara,” ujarnya.
BACA LAGI : 10 Hak Pengguna Jalan Raya Yang Rakyat Malaysia Perlu Tahu
Saluran Maklumat untuk Orang Awam
Maritim Malaysia menyeru orang awam agar turut sama memainkan peranan dalam menjaga keselamatan perairan negara, khususnya di sekitar Terengganu.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat mengenai aktiviti jenayah maritim, pelanggaran undang-undang di laut, atau sebarang kegiatan mencurigakan yang boleh mengancam keselamatan, masyarakat diminta segera menyalurkannya kepada pihak berkuasa.
Laporan boleh dibuat melalui talian kecemasan 999 atau terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-6224357, yang beroperasi 24 jam sehari.
Sumber: Berita Harian
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang









