
Bila cuaca panas memang nikmat kalau dapat tidur menghadap kipas. Lebih-lebih lagi bila buka kipas dengan kelajuan yang maksimum, boleh buat tidur makin lena.
Tapi awas! Jika anda tidur menghadap kipas maka anda harus menghentikannya sekarang kerana perbuatan ini sebenarnya boleh merbahayakan diri.
Menurut The Sleep Advisor, tidur menghadap kipas yang terbuka untuk membuatkan bilik lebih sejuk dan segar boleh mengundang debu dan habuk. Ia tidak bagus lebih-lebih lagi jika anda mengalami alergi, asma atau demam.
Cuba periksa kipas di bilik anda. Jika ia mengumpul habuk pada bilah kipas, zarah-zarah tersebut mudah terbang melalui udara setiap kali anda menghidupkannya.
1. Gangguan pada pernafasan
Kipas angin berfungsi untuk menggerakkan udara tanpa dijamin udara yang dihasilkan adalah udara yang bersih atau sebaliknya. Masalah akan menjadi lebih teruk jika bilah kipas angin anda tidak dicuci dan dipenuhi dengan habuk. Ini secara tidak langsung memberi potensi udara yang tidak bersih disedut ke dalam salur pernafasan sepanjang anda tidur. Apabila habuk, kuman atau sebagainya disebarkan, ini boleh mengganggu penafasan terutamanya bagi pesakit asma atau anda yang mengalami batuk.
2. Penyakit bell palsy
Ia merupakan penyakit kelumpuhan di bahagian wajah di mana akan terasa sukar untuk senyum dan ketawa. Jika setiap malam wajah anda tertumpu pada kipas, ini akan menyebabkan keadaan saraf wajah menegang kerana menerima suhu yang sejuk sepanjang malam berbanding tubuh-tubuh yang lain.
3. Tubuh kekurangan oksigen
Angin yang terhasil daripada putaran bilah kipas yang dihadapkan ke wajah akan menghalang proses pernafasan yang normal. Didapati jumlah gas oksigen berkurangan bahkan gas karbon dioksida pula akan meningkat kesan daripada putaran pengudaraan tidak baik di sekitar wajah.
4. Kulit menjadi kering
Menurut kajian, tubuh akan mengalami kekeringan disebabkan udara sejuk menyerap air dalam tubuh. Jika setiap malam anda tidur menghadap kipas, kelembapan tubuh akan menurun dan mendorong untuk menjadi hipotermia. Dengan keadaan ruang yang terlalu sejuk juga memberi kesan yang sama pada kulit. Lantas apabila anda terlalu lama menggunakan kipas angin yang menghadap ke wajah menyebabkan efek kekurangan air terjadi pada kulit muka.
Tip menggunakan kipas angin secara sihat
1. Pastikan anda sentiasa bersihkan bilah-bilah kipas untuk pengudaraan yang lebih bersih tanpa habuk.
2. Jangan gunakan kipas angin di dalam ruangan yang tertutup atau bilik yang tidak memiliki sistem pengudaraan udara yang baik.
3. Jangan hadapkan kipas angin tepat pada wajah anda kerana ia akan sangat mempengaruhi jumlah oksigen dan karbon dioksida yang ada di sekitar wajah.
4. Jangan halakan kipas angin pada satu arah sahaja, sebaliknya biarkan kipas angin itu berpusing ke kiri dan ke kanan.
5. Jangan gunakan tahap kelajuan yang maksimum tetapi cukup sekadar menggunakan kelajuan sederhana.
8 Sebab Kenapa Anda Harus Tonton Filem XX Ray 3? Ini Perkongsian Movie Addict!

Minggu lalu, filem ikonik XX Ray 3 telah menemui penonton. Terdahulu filem terbaharu sutradara, Aziz M. Osman ini mendapat sedikit kecaman oleh mereka yang terlalu mahukan kesempurnaan.
Segelintir penonton tersebut sering membanding-bandingkan karya tempatan dengan luar negara yang umumnya mengetahui beberapa filem luar sememangnya memiliki bajet serta kepakaran yang lebih tinggi.
Dan itulah yang berjaya melepasi untuk memasuki pasaran pawagam di seluruh dunia biar pun pada masa sama, ada juga beberapa filem ‘sampah’ dari luar negara yang turut menerima kecaman daripada rakyat mereka dan tidak dibawa ke luar negara.
Namun begitu menerusi entri ini, Maskulin tertarik dengan review santai daripada Facebook Movie Addict Malaysia (MAM) yang menggambarkan secara umum mengapa XX Ray 3 harus ditonton :
8 Sebab Kenapa Anda Harus Tonton Filem XX Ray 3
XX RAY 3 berkisar mengenai misi penyelamatan dunia dari krisis pemanasan global oleh sekumpulan anak muda dengan dibantu oleh ‘the old master himself’, Amir Hamzah dalam memastikan kesejahteraan penduduk bumi. Filem ini bukan sahaja telah lama dinantikan peminat franchais XX Ray, malah peminat fiksyen sains tempatan secara amnya. Setiap karya tidak dapat lari dari kelemahan dan kekurangan. Namun di sini kami senaraikan 8 sebab kenapa anda harus tonton XX RAY 3 di pawagam:
1. Misi selamatkan dunia
Tak main lah selamatkan tebusan di atas pulau atau selamatkan puteri di atas gunung. Abang Aziz pergi ‘all out’, dan jadikan bumi sebagai objektif utama. Berapa kerap anda tonton hero-hero tempatan dalam misi menyelamatkan dunia? Jarang-jarang kan?
Dihidangkan dengan krisis yang mampu mengganggu gugat kesejahteraan penduduk bumi, ini adalah misi ’22 years in the making’, sehinggakan ‘old timer’ Amir Hamzah terpanggil untuk bekerjasama dengan genius generasi baru seperti Rayyan dan Sam.
2. Babak ‘first contact’ dengan makhluk asing dan kaitannya dengan kumpulan rock lagenda, Wings
Di awal filem ini, anda bakal dihidangkan dengan ‘gorengan’ gitar oleh Sam. Gorengan gitar lagu Sejati dari kumpulan rock lagenda, Wings betul-betul dimainkan di hadapan UFO. Babak ini pasti mengingatkan kita pada filem Close Encounter For The Third Kind.
‘First contact’ bersama makhluk asing kebiasaannya adalah ‘memorable’, seperti di dalam filem The Day the Earth Stood Still, E.T. mahupun Arrival. Pastinya cara Sam berkomunikasi dengan makhlus asing ini sangat unik dan menimbulkan keterujaan buat penonton.
3. Rujukan budaya pop
Sekian banyak ‘easter eggs’ atau ‘homage’ yang ditampilkan atau dituturkan oleh watak-watak di dalam filem ini. Antaranya Star Wars, X-Men, Harry Potter, Back To The Future, Transformers serta banyak lagi.
Percayakah anda Hang Tuah sebenarnya peminat Harry Potter? Tak percaya? Anda tonton sendiri pengakuan abang Tuah yang melucukan dalam filem ini.
4. Gandingan pelakon baru dan lama
Walau dibarisi dengan ramai pelakon-pelakon muda seperti Izzue Islam, Adam John dan Nonny Nadirah, filem ini turut menampilkan pelakon-pelakon ‘otai’ seperti Saiful Apek, Datuk Rahim Razali, Jalaluddin Hassan dan Razak Ahmad.
Biarpun peranan pelakon-pelakon otai ini tidak besar, kekuatan lakonan mereka jelas terasa dan tidak membayangi pelakon-pelakon muda. Adam John mewakili barisan pelokan muda menampilkan beberapa ‘punchline’ yang melucukan, sekaligus memberi ‘comic relief’ dalam situasi-situasi yang tegang.
5. Dibikin khas untuk peminat tegar francais XX Ray yang datang dengan ‘merchandise’ eksklusif
Sangat jarang filem tempatan mengeluarkan merchandise filem tersebut, apatah lagi menghasilkan replika props yang digunakan untuk dimiliki oleh peminat.
XX RAY 3 menampilkan bukan sahaja t-shirt atau poster untuk dimiliki, malah ia turut menampilkan 3 merchandise unik seperti figura aksi, set VHS eksklusif serta replika prop helmet XX Ray pada skala 1:1 yang boleh dipakai oleh pemiliknya. Now you can be part of the movie too!
6. Penceritaan skala besar dengan pengembaraan di beberapa lokasi menarik
Mengagumi kecantikan Jordan, menikmati keropok lekor di Terengganu, meneroka kebudayaan bandar bersejarah Melaka, filem XX RAY 3 akan membawa anda menyelusuri tempat-tempat menarik ini.
Malah, lokasi pengambaran di Jordan pasti akan mengingatkan anda pada filem arahan Michael Bay, Transformers 2 kerana filem XX RAY 3 berkongsi lokasi perfileman yang sama.
7. Mengangkat kebudayaan Melayu
Walaupun ini filem fiksyen sains, pengarah sama sekali tidak mengabaikan dari mengangkat kebudayaan melayu di layar skrin. Siapa sangka di sebalik kecanggihan teknologi masakini, ‘earth last defend’ sebenarnya adalah sebuah senjata klasik pahlawan melayu yang tersimpan di dalam muzium.
Babak akhir yang menampilkan gandingan dua ‘superhero tua’ beraksi sambil diiringi lagu Mentera Semerah Padi bakal memberi rasa ‘goosebump’ buat penonton. Babak tersebut mengingatkan kita kepada babak sewaktu Thor mendarat di Wakanda dalam filem Infinity Wars.
8. Penampilan istimewa
Seperti filem Cinematic Marvel, penghujung kredit filem XX RAY 3 juga menampilkan penampilan istimewa dari watak filem XX Ray sebelum ini yang tak dijangka. Bagaikan Nick Fury dalam filem Iron Man, watak ini muncul sambil memberi mesej seolah-olah akan ada sambungan atau ‘sekuel’ selepas ini.
Adakah cubaan Rayyan dan Sam menyelamatkan dunia telah membuatkan mereka menjadi sebahagian dari ‘universe’ yang besar?
Ayuh beramai-ramai turun ke pawagam berdekatan untuk menonton filem sains fiksyen arahan Aziz M Osman ini. XX RAY 3 sedang hangat menggegarkan pawagam seluruh Malaysia dan Brunei sejak 24 Januari lepas. Apa tunggu lagi, ayuh kita tangkap UFO.
“Setiap Saga Ada Sambungan”
Adakah anda sudah menonton filem XX Ray 3 ini? Apa pula komen anda?
Merawat Alergi & Periodontitis, 7 Khasiat Madu Buat Lelaki

Sarang lebah adalah hasil daripada lebah madu yang hidup dalam sarang mereka. Ia menghasilkan kompleks sel berbentuk heksagonal daripada lilin lebah. Di dalam struktur ini adalah penyimpanan madu mentah dan debunga.
Tambahan pula, komponen tambahan yang sering anda dapati di dalam sarang lebah adalah propolis atau lem lebah, yang digunakan lebah untuk membaiki kawasan yang rosak.
Lilin yang membentuk sarang lebah mengandungi asid lemak rantaian yang sangat panjang, bersama dengan ester rantaian panjang (alkohol).
Madu yang disimpan di dalam sarang lebah adalah madu yang paling tulen dan lilin yang dihasilkan daripada madu mempunyai nilai pemakanan dan manfaat kesihatan.
1. Melindungi hati
Alkohol yang terdapat dalam sarang lebah mempunyai kesan antioksidan yang membantu melindungi hati anda. Untuk mengujinya, penyelidik menjalankan kajian menggunakan campuran alkohol lebah untuk menilai keselamatan dan keberkesanan pada orang yang mempunyai hati berlemak. Peserta mengambil penyediaan alkohol lebah selama 24 minggu dan pada akhir kajian, penyelidik mendapati bahawa ia membantu menormalkan fungsi hati dan memperbaiki simptom hati berlemak. Kajian berkenaan diterbitkan dalam jurnal Perubatan Dalaman Korea pada Julai 2013.
2. Manfaat metabolisme glukosa
Glukosa sangat penting untuk kesihatan anda seperti tubuh, terutamanya otak anda bergantung kepada tenaga. Alkohol lilin yang terdapat dalam sarang lebah menggalakkan metabolisme glukosa yang sihat. Dalam kajian hati berlemak, alkohol lilin dalam sarang lebah mengurangkan dengan ketara paras insulin dan penanda untuk ketahanan insulin pada peserta. Rintangan insulin boleh menyebabkan diabetes jenis-2 dan masalah lain.
3. Merawat periodontitis
Manfaat pertama yang berkaitan dengan memakan sarang lebah adalah berasal daripada penggunaannya dalam rawatan periodontitis atau penyakit gusi. Menurut penyelidikan yang dilakukan oleh penyelidik India, sifat anti-radang dan antioksidannya membantu mencegah hakisan tisu periodontal.

4. Merawat bronkitis
Makan sarang lebah juga bermanfaat untuk merawat bronkitis kronik dan akut. Menurut kajian Paten AS, ester daripada lebah dan propolis membantu mengurangkan keradangan bronkial.
5. Merawat alergi
Satu lagi manfaat penting memakan sarang lebah adalah berkaitan dengan rawatan alergi. Para saintis Turki mengaitkan penggunaan propolis yang terdapat dalam sarang lebah mempunyai kesan terhadap anti-alergi pada histologi hidung dan simptom rhinitis alahan dalam ujiannya.
6. Merawat diarrhea
Pengambilan sarang lebah juga boleh membantu merawat masalah diarrhea atau cirit-birit. Menurut penyelidikan yang dijalankan oleh saintis Arab Saudi, Probiotik semulajadi, probiotik dan zinc wujud dalam madu mentah dan komponennya berkesan untuk memerangi bakteria yang paling sering dikaitkan dengan cirit-birit.
7. Menggalakkan tidur yang lebih baik
Walaupun ia mungkin mengejutkan, menurut Dr. Ron Fessenden, madu mentah yang dihasilkan dalam sarang lebah membantu menggalakkan tidur yang lebih baik. Kajiannya menunjukkan bahawa madu mentah, yang boleh diakses dengan memakan sarang lebah, meningkatkan tidur kerana ia adalah keseimbangan gula yang tepat untuk hati anda. Ini kerana ia membantu menghasilkan hormon yang diperlukan untuk mencapai tidur yang lebih baik.
OLEH : FARAH AZIZ
SUMBER : (https://hellodoktor.com/)
Sebagai Anak, Perlukah Hutang Arwah Bapa Dilangsaikan? Mufti Wilayah Beri Penjelasan

Setiap kali menyertai ibadah pengebumian, sebelum mayat dibawa ke tanah perkuburan, kita pasti akan mendengar suara waris si mati memohon agar dihalalkan segala hutang yang pernah diambil oleh bapanya.
Timbul persoalan disini sebagai anak adakah kita diwajibkan untuk melangsaikan segala hutang yang pernah dibuat oleh orang tua kita semasa hidup. Selain itu, timbul pula persoalan bagaimana jika warisnya tidak berkemampuan untuk melangsaikan hutang tersebut.
BACA: Ketahui Kebaikan Solat Sunat Tahiyatul Masjid Terutamanya Pada Hari Jumaat
Untuk kemusykilan ini, ia telah dijawab oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Ikuti penjelasannya dibawah:
Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Ayah saya ada berhutang banyak dengan orang. Dan setahu saya roh orang yang berhutang akan tergantung sehingga dia langsaikan hutang. Dalam isu ini, bagaimana penyelesesaian sedangkan saya tiada duit untuk langsaikan hutang ayah saya?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Dalam isu ini, kami mulakan dengan hadis Nabi SAW sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
نَفْسُ الْمُؤمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
Maksudnya: “Jiwa orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut).”
Riwayat Ibnu Majah (2413), al-Tirmizi (1079)
dan al-Baihaqi (6891)
Imam al-Suyuti berkata: “Maksud hadis ini bahawa jiwa atau roh orang yang beriman akan terhalang dari kedudukannya yang mulia.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/193 dan Mir’at al-Mafatih, 8/152)
Justeru, menjawab persoalan di atas, hendaklah dilangsaikan hutang terlebih dahulu. Adapun anak yang mampu untuk melangsaikan hutang ayahnya, maka ia termasuk dari berbakti dan berbuat baik serta ihsan kepada ibu bapanya. Sudah pasti pahalanya cukup besar. Rasulullah SAW pernah mengkiaskan isu berkenaan ibadat yang ditinggalkan oleh ibu sahabat dengan hutang yang wajib dilangsaikan seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا فَقَالَ ” لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكَ دَيْنٌ أَكُنْتَ قَاضِيَهُ عَنْهَا ” . قَالَ نَعَمْ . قَالَ ” فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى ”
Maksudnya: Bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi SAW, lalu berkata: Wahai Rasulullah, Sesungguhnya ibuku telah meninggal, dan dia mempunyai puasa (yang belum diganti) selama sebulan, apakah aku perlu tunaikan untuknya? Lalu baginda berkata: “sekiranya ibumu mempunyai hutang, apa kau akan bayar hutang untuknya?” Lelaki itu berkata: “Ya”. Maka berkata Nabi SAW: “Hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan”
Riwayat Muslim (1148)
Kami mengambil kesempatan di sini untuk menoktahkan beberapa perkara berkaitan hutang:
- Jangan berhutang kecuali amat memerlukan. Elakkan hutang menjadi hobi atau kebiasaan seperti nasihat sahabat Nabi SAW yang bernama Uqbah ibn Amir R.A, antara lain katanya: Jangan kamu berhutang sekalipun kamu terpaksa pakai kain bulu.”
- Jika perlu berhutang, maka berhutanglah pada kadar yang minimum serta dalam kadar kemampuan untuk melangsaikannya.
- Hendaklah menulis hutang yang dilakukannya berserta saksi sebagaimana irsyad daripada nas Ilahi:
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu
(Surah al-Baqarah: 282)
Ibn Kathir menerangkan, “Ayat ini merupakan panduan daripada Allah SWT kepada hambaNya yang mukmin untuk menulis atau merekod sekiranya bermuamalah dengan cara bertangguh (berhutang). (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 1/411) Imam al-Sa’di menyatakan ayat ini mengandungi hukum yang besar dan bermanfaat dari aktiviti merekod hutang bagi mengelakkan mudharat yang lebih besar. (Rujuk Tafsir al-Sa’di, 1/118). Imam al-Maraghi menyebut, suruhan seperti ini lebih kepada menyuruh hambanya yang mukmin untuk menjaga hutang piutang mereka merangkumi akad pinjaman dan salam.” (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 1/551)
- Hendaklah berniat dengan sungguh-sungguh untuk melangsaikannya dengan secepat mungkin. Daripada Maimunah binti al-Harith, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ اسْتَدَانَ دَيْنًا يَعْلَمُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ مِنْهُ أَنَّهُ يُرِيدُ أَدَاءَهُ أَدَّاهُ اللَّهُ عَنْهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang berhutang dan Allah tahu bahawa dia ingin menunai dan melangsaikannya, nescaya Allah memudahkan baginya.”
Riwayat Ahmad (25840)
Mafhum daripada hadis ini menunjukkan kehendak untuk membayar hutang adalah diberi pertolongan oleh Allah berdasarkan niat yang baik. Bahkan dengan kehendaknya jua, kadang-kadang sekalipun berlaku halangan, tetapi tetap disampaikan oleh Allah berkenaan dengan bayaran tersebut. Dalam sebuah hadith yang masyhur, daripada Abu Hurairah R.A, daripada Rasulullah SAW bahawa beliau pernah mengisahkan:
أَنَّهُ ذَكَرَ رَجُلًا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ سَأَلَ بَعْضَ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنْ يُسْلِفَهُ أَلْفَ دِينَارٍ فَقَالَ ائْتِنِي بِالشُّهَدَاءِ أُشْهِدُهُمْ فَقَالَ كَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا قَالَ فَأْتِنِي بِالْكَفِيلِ قَالَ كَفَى بِاللَّهِ كَفِيلًا قَالَ صَدَقْتَ فَدَفَعَهَا إِلَيْهِ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَخَرَجَ فِي الْبَحْرِ فَقَضَى حَاجَتَهُ ثُمَّ الْتَمَسَ مَرْكَبًا يَرْكَبُهَا يَقْدَمُ عَلَيْهِ لِلْأَجَلِ الَّذِي أَجَّلَهُ فَلَمْ يَجِدْ مَرْكَبًا فَأَخَذَ خَشَبَةً فَنَقَرَهَا فَأَدْخَلَ فِيهَا أَلْفَ دِينَارٍ وَصَحِيفَةً مِنْهُ إِلَى صَاحِبِهِ ثُمَّ زَجَّجَ مَوْضِعَهَا ثُمَّ أَتَى بِهَا إِلَى الْبَحْرِ فَقَالَ اللَّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنِّي كُنْتُ تَسَلَّفْتُ فُلَانًا أَلْفَ دِينَارٍ فَسَأَلَنِي كَفِيلَا فَقُلْتُ كَفَى بِاللَّهِ كَفِيلًا فَرَضِيَ بِكَ وَسَأَلَنِي شَهِيدًا فَقُلْتُ كَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا فَرَضِيَ بِكَ وَأَنِّي جَهَدْتُ أَنْ أَجِدَ مَرْكَبًا أَبْعَثُ إِلَيْهِ الَّذِي لَهُ فَلَمْ أَقْدِرْ وَإِنِّي أَسْتَوْدِعُكَهَا فَرَمَى بِهَا فِي الْبَحْرِ حَتَّى وَلَجَتْ فِيهِ ثُمَّ انْصَرَفَ وَهُوَ فِي ذَلِكَ يَلْتَمِسُ مَرْكَبًا يَخْرُجُ إِلَى بَلَدِهِ فَخَرَجَ الرَّجُلُ الَّذِي كَانَ أَسْلَفَهُ يَنْظُرُ لَعَلَّ مَرْكَبًا قَدْ جَاءَ بِمَالِهِ فَإِذَا بِالْخَشَبَةِ الَّتِي فِيهَا الْمَالُ فَأَخَذَهَا لِأَهْلِهِ حَطَبًا فَلَمَّا نَشَرَهَا وَجَدَ الْمَالَ وَالصَّحِيفَةَ ثُمَّ قَدِمَ الَّذِي كَانَ أَسْلَفَهُ فَأَتَى بِالْأَلْفِ دِينَارٍ فَقَالَ وَاللَّهِ مَا زِلْتُ جَاهِدًا فِي طَلَبِ مَرْكَبٍ لِآتِيَكَ بِمَالِكَ فَمَا وَجَدْتُ مَرْكَبًا قَبْلَ الَّذِي أَتَيْتُ فِيهِ قَالَ هَلْ كُنْتَ بَعَثْتَ إِلَيَّ بِشَيْءٍ قَالَ أُخْبِرُكَ أَنِّي لَمْ أَجِدْ مَرْكَبًا قَبْلَ الَّذِي جِئْتُ فِيهِ قَالَ فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ أَدَّى عَنْكَ الَّذِي بَعَثْتَ فِي الْخَشَبَةِ فَانْصَرِفْ بِالْأَلْفِ الدِّينَارِ رَاشِدًا
Maksudnya: Bahawa terdapat seorang daripada Bani Israil yang meminjam wang seribu dinar kepada seorang Bani Israil. Orang yang meminjamkan berkata, “Datangkanlah saksi-saksi! Aku ingin mempersaksikan peminjaman ini kepada mereka.” Peminjam berkata, “Cukuplah Allah sebagai saksinya.” Orang yang meminjamkan berkata lagi, “Datangkanlah seorang penjamin.” Peminjam berkata, “Cukuplah Allah sebagai penjamin.” Orang yang meminjamkan berkata, “Kamu benar.”
Kemudian dia memberikan wang itu dalam tempoh tertentu. Kemudian orang yang meminjam wang itu pergi ke laut untuk memenuhi hajatnya. Dia pun mencari perahu untuk dinaikinya bagi menghantar wang pinjamannya yang sudah sampai tempoh pembayarannya. Namun dia tidak mendapatinya. Kemudian dia mengambil kayu dan membuat lubang padanya. Lalu dia memasukkan ke dalamnya wang sebanyak seribu dinar bersama secarik tulisan yang ditujukan kepada pemilik wang. Kemudian dia melapisinya agar tidak terkena air. Lalu dia membawa kayu tersebut ke laut.
Dia berkata, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa aku telah meminjam wang seribu dinar kepada si fulan. Dia meminta penjamin daripadaku, kemudian aku katakan bahawa cukuplah Allah sebagai penjamin, dan dia pun rela. Dia memintaku mendatangkan saksi, lalu aku katakan bahawa cukuplah Allah sebagai saksi, dan dia pun rela. Sesungguhnya aku telah berusaha untuk mendapatkan perahu yang akan aku gunakan untuk menghantarkan wangku kepadanya, namun aku tidak mendapatkannya. Kini, kutitipkan wang itu kepada-Mu.” Kemudian dia melemparkan kayu itu hingga tenggelam. Dia pun pergi. Walaupun demikian, dia tetap berusaha mencari perahu yang menuju ke negerinya.
Orang yang meminjamkan wang pergi untuk menanti, barangkali ada perahu datang membawa piutangnya. Tiba-tiba dia menemui kayu yang berisi wang itu. Dia membawanya pulang sebagai kayu api untuk isterinya. Apabila dia membelahnya, dia menemui sejumlah wang dan secarik tulisan pesanan.
Sementara itu, si peminjam pun datang membawa seribu dinar. Dia berkata, “Demi Allah, sebelum aku datang sekarang, aku sentiasa berusaha untuk mencari perahu bagi menghantarkan wangmu kepadamu, namun aku tidak mendapat satu perahu pun sebelum aku tiba dengan menaiki perahu yang aku tumpangi ini.” Orang yang meminjamkan berkata, “Apakah kamu mengirimkan sesuatu kepadaku?” Peminjam berkata, “Aku telah sampaikan kepadamu bahawa aku tidak menemukan perahu, sebelum aku mendapatkannya sekarang ini?” Orang yang meminjamkan berkata, “Sesungguhnya Allah telah menghantarkan pinjamanmu yang kau letak dalam kayu. Maka gunakanlah wangmu yang seribu dinar itu dengan baik, maka bawalah kembali seribu dinarmu itu.”
Riwayat al-Bukhari (2291)
BACA: Hari Jumaat Adalah Hari Lelaki Mudah Buang Lemak, Ini Kebaikan Jalan kaki Ke Masjid
- Sentiasa berdoa kepada Allah untuk dimudahkan membayar hutang. Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya: “Rasulullah SAW telah memasuki masjid. Tiba-tiba terdapat seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana. Beliau bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan waktu solat?” Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!” Rasulullah menjawab: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya, Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.” Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Maka Baginda bersabda: “Ucapkanlah pada waktu pagi dan petang bacaan ini:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.”
Riwayat Abu Daud (4/353)
Semoga Allah selamatkan kita daripada sifat berhutang dan memudahkan untuk kita melangsaikan hutang. Amin.