Ads

Dari Hilang Penglihatan Ke Garisan Penamat Maraton, Kisah Adry Dan Ammar Inspirasi Pelari Malaysia

adry

Bagi kebanyakan pelari, menamatkan larian maraton sejauh 42 kilometer sudah dianggap satu pencapaian luar biasa. Namun bagi Adry Fazmi, cabaran itu membawa makna yang jauh lebih besar.

Sebagai seorang individu kurang upaya penglihatan, setiap langkah yang diambil ketika berlari memerlukan keyakinan penuh terhadap insan yang berada di sisinya. Dan insan itu ialah sahabat baiknya sejak 15 tahun lalu, Ammar Naim.

Dari Hilang Penglihatan Ke Garisan Penamat Maraton, Kisah Adry Dan Ammar Inspirasi Pelari Malaysia

Tahun lalu, pasangan ini mencuri perhatian rakyat Malaysia selepas berjaya menamatkan larian separuh maraton bersama-sama dalam satu kisah persahabatan, kepercayaan dan ketabahan yang tular di media sosial.

Kini mereka bersedia untuk melangkah lebih jauh apabila bakal menyertai kategori maraton penuh di SCORE Marathon 2026 by AIA Vitality yang akan berlangsung di Putrajaya pada 18 dan 19 Julai ini.

Bermula Selepas Insiden Mengubah Kehidupan

Perjalanan Adry dalam dunia larian bukanlah sesuatu yang dirancang sejak awal.

Menurut lelaki berusia 28 tahun itu, dia hanya mula berlari pada penghujung tahun 2024 selepas melalui satu insiden yang mengubah kehidupannya dan menyebabkan pergerakannya menjadi terhad.

Dari Hilang Penglihatan Ke Garisan Penamat Maraton, Kisah Adry Dan Ammar Inspirasi Pelari Malaysia

“Saya mula berlari pada Disember 2024, kira-kira lapan bulan selepas insiden yang berlaku kepada saya.

“Selepas kejadian itu, pergerakan saya agak terbatas. Malah ketika menggunakan basikal statik sekalipun, kaki saya masih terasa lemah,” katanya.

Ketika berdepan cabaran tersebut, satu perbualan bersama Ammar akhirnya membuka jalan baharu dalam hidupnya.

“Satu hari saya berkongsi perkara itu dengan Ammar dan dia terus berkata, apa kata kita cuba berlari?

“Saya mahu membina semula kekuatan diri dan motivasi saya datang daripada insan yang saya sayang iaitu ibu, keluarga, tunang saya Alia serta dua sahabat baik saya, Ammar dan Aida,” katanya.

Persahabatan Yang Menjadi Kekuatan

Bagi Ammar pula, dia tidak mengambil masa lama untuk menyokong hasrat sahabatnya itu.

“Apabila Adry mula menyatakan minat untuk berlari, saya langsung tidak teragak-agak untuk membawanya menyertai sukan ini dan terus berkata, jom kita mulakan,” katanya.

Ads

Hanya dua bulan selepas mula berlatih, mereka berjaya menamatkan perlumbaan 10 kilometer pertama bersama-sama.

Bagi Adry, pengalaman berlari bersama orang-orang terdekat menjadikan proses tersebut lebih mudah untuk diharungi.

“Berlari bersama tunang saya Alia, dua sahabat baik saya Ammar dan Aida, ia langsung tidak terasa seperti satu cabaran. Ia terasa seperti sukan berpasukan,” katanya.

Dari Hilang Penglihatan Ke Garisan Penamat Maraton, Kisah Adry Dan Ammar Inspirasi Pelari Malaysia

Namun perjalanan mereka bukan sentiasa lancar.

“Latihan tidak selalu berjalan sempurna. Ada masanya kami tersadung atau terjatuh bersama-sama sambil ketawa sepanjang jalan.

“Pengalaman itu mengajar saya untuk lebih peka dan berkomunikasi dengan lebih baik, tetapi kami tetap ketawa setiap kali ia berlaku,” kata Ammar.

Dari Hilang Penglihatan Ke Garisan Penamat Maraton, Kisah Adry Dan Ammar Inspirasi Pelari Malaysia

Adry turut mengakui bahawa setiap kesukaran yang dilalui bersama menjadikan perjalanan mereka lebih bermakna.

Ads

“Jatuh bersama-sama menjadikan larian itu lebih bermakna. Walaupun saya takut atau penat, kehadiran Ammar sentiasa memberi motivasi untuk saya terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Dari Separuh Maraton Ke Cabaran 42 Kilometer

Enam bulan selepas mula berlari, mereka berjaya menamatkan SCORE Marathon kategori separuh maraton sejauh 21 kilometer pada edisi lalu.

Lebih mengagumkan, mereka melepasi garisan penamat hanya 47 saat sebelum had masa rasmi ditutup.

“Berlari tanpa penglihatan untuk jarak sebegitu jauh memerlukan kepercayaan sepenuhnya kepada orang di sebelah kita. Dan saya bersyukur kerana orang itu ialah sahabat baik saya,” kata Adry.

Kini, mereka bersedia untuk menghadapi cabaran yang jauh lebih besar.

Dari Hilang Penglihatan Ke Garisan Penamat Maraton, Kisah Adry Dan Ammar Inspirasi Pelari Malaysia

Menurut Adry, keputusan untuk menyertai maraton penuh bukan sekadar mengejar pencapaian peribadi.

“Sebab utama kami mahu mengambil cabaran 42 kilometer ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang blind running dan memberi inspirasi kepada orang lain, khususnya golongan orang kurang upaya.

Ads

“Ia juga merupakan satu janji antara saya dan Ammar bahawa suatu hari nanti kami akan menamatkan maraton penuh bersama-sama.

“Pada masa sama, kami mahu mengetengahkan kepentingan kesihatan mental kerana berlari sejauh 42 kilometer bukan sekadar cabaran fizikal, tetapi turut menguji kekuatan mental seseorang.

“Secara peribadi, saya mahu menunjukkan kepada orang ramai bahawa walaupun mempunyai kekurangan dari segi penglihatan, saya masih boleh menjadi sebahagian daripada satu peratus populasi dunia yang berjaya menamatkan larian maraton,” katanya.

BACA: 5 Indikasi Menunjukkan Anda Bersedia Sertai HYROX

Inspirasi Tentang Keberanian Dan Harapan

Bagi Ammar, sahabatnya itu merupakan antara individu paling berani yang pernah dikenalinya.

“Sejujurnya, selepas semua yang telah dilalui Adry, dia masih mempunyai keberanian yang luar biasa. Dia masih mampu tersenyum. Dia masih mampu ketawa.

“Jika saya berada di tempatnya, saya tidak pasti saya mampu menghadapinya seperti mana dia lakukan. Pada saya, dia adalah insan paling berani yang pernah saya kenali,” katanya.

Kisah Adry dan Ammar kini menjadi salah satu daripada 10 kisah inspirasi yang dipilih menerusi kempen 10 Heroes, 10 Stories, One Shared Purpose sempena SCORE Marathon 2026 by AIA Vitality.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan, kisah mereka menggambarkan semangat sebenar yang ingin dibawa oleh acara tersebut.

“Persahabatan, ketabahan dan semangat juang mereka mengingatkan kita bahawa apabila manusia disatukan menerusi sukan, sesuatu yang luar biasa boleh berlaku,” katanya.

Dalam dunia yang sering mengukur kemampuan berdasarkan kekuatan fizikal, kisah Adry dan Ammar membuktikan bahawa kepercayaan, persahabatan dan keberanian mampu membawa seseorang melangkaui segala batasan yang dianggap mustahil.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Gentleman semua dah baca MASKULIN? Download dekat je senang

KLIK DI SEENI
Ads
Astro Kem Badminton

Lebih 1,800 Bakat Muda Sertai Astro Kem Badminton 2026, Terus Perkasa...

Lebih 1,800 pemain muda sertai Astro Kem Badminton 2026! Program pembangunan akar umbi ini bukan sahaja mencungkil bakat, malah membina keyakinan, disiplin dan semangat juang generasi masa depan.