
Malaysia negara nombor dua tertinggi miliki kenderaan di Asia. Malaysia tersenarai antara negara dengan kadar pemilikan kenderaan per kapita tertinggi di Asia, dengan sebanyak 535 kenderaan bagi setiap 1,000 penduduk, menurut data yang dikeluarkan oleh Seasia.co pada tahun 2023.
Malaysia Negara Nombor 2 Tertinggi Miliki Kenderaan Di Asia
Angka ini menempatkan Malaysia di kedudukan kedua selepas Jepun dalam aspek pemilikan kenderaan di rantau Asia.
Tinjauan oleh Rakuten Insight pada tahun 2024 turut menyokong dapatan ini, apabila kira-kira 73 peratus daripada responden di Malaysia menyatakan bahawa mereka memiliki kereta sendiri, menonjolkan budaya pemilikan kenderaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.
Statistik dari portal data.gov.my sehingga 28 Februari lalu menunjukkan sebanyak 113,136 kenderaan persendirian telah didaftarkan sepanjang tahun ini. Daripada jumlah itu, Perodua menyumbang sebanyak 54,627 unit, diikuti oleh Proton (20,756 unit), Toyota (15,407 unit) dan Honda (10,866 unit).
Menurut Prof Madya Dr Law Teik Hua, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), peningkatan ketara bilangan kenderaan di jalan raya berpunca daripada pelbagai faktor yang saling berkait. Antaranya ialah harga petrol yang masih berada pada tahap mampu milik dan kemudahan memiliki kenderaan yang semakin tinggi.
Beliau menambah bahawa keupayaan pengeluar kereta tempatan menawarkan harga lebih kompetitif berbanding jenama antarabangsa turut menjadikan kereta lebih mudah dibeli oleh rakyat, sekali gus menyumbang kepada pertambahan kenderaan peribadi di jalan raya.
Namun begitu, infrastruktur jalan raya yang sedia ada sering kali gagal menampung pertambahan ini, terutamanya apabila jalan yang sama perlu digunakan oleh motosikal, lori dan kereta serentak. Keadaan ini menjurus kepada aliran trafik yang tidak efisien, terutama sekali pada waktu kemuncak.
Dr Law turut mengaitkan kawasan seperti Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Melaka sebagai lokasi yang kerap berdepan kesesakan teruk. Faktor utamanya adalah tumpuan aktiviti ekonomi yang tinggi serta peningkatan kepadatan penduduk di kawasan ini. Infrastruktur yang tidak berkembang seiring dengan pertumbuhan ini menyebabkan kewujudan bottleneck yang memperburuk kesesakan.
Salah satu penyebab utama rakyat masih bergantung kepada kenderaan sendiri ialah kelemahan sistem pengangkutan awam negara, yang bukan sahaja terhad dari segi liputan tetapi juga kurang efisien.
BACA: Tayar Kereta Bengkak, Jangan Pandang Remeh, Boleh Undang Bahaya!
Keadaan ini membuatkan ramai lebih selesa memilih kenderaan sendiri sebagai pengangkutan utama, terutamanya apabila pengangkutan awam tidak dapat menghubungkan destinasi harian mereka secara langsung atau efisien. Tambahan pula, aktiviti harian dan pekerjaan banyak tertumpu di bandar utama, mendorong pergerakan yang seragam dan memburukkan kesesakan pada waktu puncak.
Bagi mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian, beliau mencadangkan agar sistem pengangkutan awam diperkasa dengan liputan yang lebih meluas dan perkhidmatan lebih cekap, termasuk perkhidmatan bas, MRT, LRT serta pengangkutan alternatif lain.
Dalam masa yang sama, pembesaran kapasiti rangkaian jalan raya dan penyelesaian terhadap lokasi bottleneck perlu diberi perhatian untuk memperbaiki aliran trafik di bandar-bandar utama.
Dr Law turut menyarankan pelaksanaan program perkongsian kenderaan (car pool) sebagai salah satu kaedah untuk mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya, di samping memberi manfaat ekonomi kepada pengguna.
Tambah beliau lagi, penggunaan sistem lampu isyarat pintar boleh membantu meningkatkan kelancaran trafik dengan mengatur masa isyarat mengikut pola trafik semasa, sekali gus mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan.
Akhir sekali, beliau menekankan keperluan untuk membangunkan kawasan di luar bandar secara seimbang dan mampan. Dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan serta kemudahan infrastruktur di kawasan tersebut, tekanan terhadap trafik di bandar utama seperti Lembah Klang dapat dikurangkan.
Sumber: Harian Metro
BACA: Cara Berkesan Hilangkan Bau Hapak Dalam Kereta
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI