
Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan dua wajah berbeza dalam hala tuju mobiliti generasi baharunya menerusi pratonton all-new electric Mercedes-Benz GLC dan all-new Mercedes-Benz CLA 200 AMG Line.
Satu hadir sebagai SUV elektrik sepenuhnya dengan seni bina 800 volt dan jarak sehingga 616km, manakala satu lagi menawarkan trenkuasa petrol berelektrifikasi yang dipasang secara tempatan di Pekan, Pahang. Walaupun berbeza pendekatan, kedua-duanya berkongsi fokus yang sama terhadap kecekapan, teknologi digital dan pengalaman pemanduan yang lebih pintar.
GLC Kini Masuk Era Elektrik Sepenuhnya
GLC merupakan antara model terpenting Mercedes-Benz di peringkat global, dan versi baharu ini dibangunkan menggunakan seni bina khusus untuk kenderaan elektrik.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif & Presiden Mercedes-Benz Cars Malaysia merangkap Ketua Wilayah, Mercedes-Benz Cars Asia Tenggara, Martin Schulz, transformasi tersebut masih mengekalkan identiti yang sudah dikenali pelanggan.

“GLC telah lama mempunyai tempat istimewa dalam kalangan pelanggan kami, dan GLC elektrik serba baharu membuka lembaran baharu yang menarik untuk model yang begitu disayangi ini.
“Dengan reka bentuk yang diberikan nafas baharu, teknologi termaju dan dinamik pemanduan yang berkuasa, ia menawarkan pengalaman yang terasa progresif namun pada masa sama tetap memberikan rasa familiar, mencerminkan perasaan ‘Welcome Home’ yang begitu sinonim dengan Mercedes-Benz.”

GLC 300 4MATIC electric menghasilkan 310kW atau 421hp dan 800Nm, dengan pecutan 0 hingga 100km/j dalam 4.7 saat. Bateri 85kWh menawarkan jarak WLTP antara 523 hingga 616km.
Seni bina 800 voltnya menyokong pengecasan pantas DC sehingga 320kW, dengan 10 hingga 80 peratus mengambil kira-kira 22 minit. Dalam keadaan sesuai, sehingga 255km jarak boleh ditambah dalam tempoh hanya 10 minit.

Ketua Pegawai Operasi Mercedes-Benz Cars Malaysia, Kevin Barbian pula berkata, “GLC elektrik serba baharu menghimpunkan segala yang dihargai pelanggan kami dalam sebuah Mercedes-Benz.
“Ruang dalaman yang luas dan mewah, MBUX HYPERSCREEN yang intuitif serta ciri digital diperibadikan memberikan pengalaman yang lancar, manakala seni bina 800 volt termaju dan keupayaan pengecasan pantas menjadikan pemanduan elektrik lebih mudah dan praktikal.
“Ia direka bukan sekadar untuk mengagumkan, tetapi untuk disepadukan secara semula jadi dalam kehidupan harian pelanggan kami.”
Skrin 39.1 Inci, AI & Ruang Lebih Besar
Salah satu elemen paling menonjol ialah MBUX HYPERSCREEN 39.1 inci, paparan terbesar Mercedes-Benz setakat ini. Sistem generasi keempat MBUX pula mengintegrasikan AI daripada Microsoft dan Google menerusi MBUX Virtual Assistant.
Jarak roda GLC turut dipanjangkan kepada 2,972mm. Ruang bagasi belakang menawarkan 570 liter, meningkat kepada 1,740 liter apabila kerusi dilipat, selain ruang frunk tambahan 128 liter.
Dua varian ditawarkan untuk tempahan awal:
- GLC 300 4MATIC electric AVANTGARDE: anggaran dari RM389,000
- GLC 300 4MATIC electric AMG Line Plus: anggaran dari RM399,000
100 pelanggan pertama yang membuat pratempahan turut menerima pas ke acara eksklusif Mercedes-AMG F1 Party.
CLA 200 AMG Line Kekal Dengan Enjin, Tetapi Lebih Elektrik
Jika GLC membawa Mercedes-Benz sepenuhnya ke arah EV, CLA 200 AMG Line pula menawarkan pilihan kepada mereka yang masih mahukan enjin pembakaran dalaman tetapi dengan bantuan elektrifikasi.
Model yang akan dipasang secara tempatan di Pekan, Pahang itu menggunakan enjin 1.5 liter bersama transmisi dual-clutch lapan kelajuan 8G-eDCT yang mengintegrasikan motor elektrik. Ia menghasilkan output sistem 184hp dan 330Nm, mencatat 0 hingga 100km/j dalam 8.0 saat serta kelajuan maksimum 232km/j.

Pada kelajuan bandar dan apabila permintaan kuasa kurang daripada 22kW, CLA boleh bergerak menggunakan kuasa elektrik sahaja. Ia juga mampu melakukan electric sailing sehingga sekitar 100km/j dan memulihkan sehingga 25kW tenaga menerusi sistem regeneratif dalam kesemua lapan gear.
Martin Schulz berkata, “Mercedes-Benz CLA 200 AMG Line serba baharu mencerminkan komitmen kami untuk memberikan pelanggan di Malaysia kebebasan memilih trenkuasa yang paling sesuai dengan keperluan mereka.
“Sebagai model pemasangan tempatan, ia menggabungkan karakter CLA yang tersendiri dengan kecekapan tinggi, teknologi pintar dan tahap keselesaan yang lebih baik, sekali gus melengkapi CLA elektrik serba baharu dalam portfolio kenderaan kompak kami yang paling maju setakat ini.”

Kevin Barbian pula berkata, “Mercedes-Benz CLA 200 AMG Line serba baharu menawarkan keseimbangan ideal antara reka bentuk ekspresif dengan pemanduan harian yang mudah.
“Gril radiator bercahaya memberikan penampilan tersendiri, manakala keupayaan memandu menggunakan kuasa elektrik pada kelajuan bandar, meluncur dengan cekap serta mendapatkan semula tenaga dalam kesemua lapan gear memberikan pengalaman pemanduan yang lancar dan sangat efisien.”
Teknologi Digital Hampir Setanding EV
Walaupun masih menggunakan enjin petrol, CLA mendapat teknologi digital yang hampir sama dengan versi elektrik.
MB.OS dan MBUX generasi keempat menyokong AI daripada Microsoft dan Google, manakala MBUX Superscreen menggabungkan paparan pemandu 10.25 inci, skrin tengah 14 inci dan skrin penumpang hadapan 14 inci.
BACA: Insiden HYROX Beijing Cetus Perubahan Peraturan, Penganjur Tegas Lindungi Kebajikan Atlet
CLA 200 AMG Line ditawarkan untuk pratempahan pada anggaran harga bermula RM275,000, dengan 100 pelanggan pertama turut menerima pas Mercedes-AMG F1 Party.
Kehadiran kedua-dua model ini menunjukkan Mercedes-Benz tidak hanya bergantung kepada satu bentuk elektrifikasi. GLC membawa keupayaan EV sepenuhnya untuk pengguna SUV premium, manakala CLA memberikan laluan peralihan kepada mereka yang masih mahukan enjin pembakaran dengan bantuan elektrik serta teknologi digital generasi terkini.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
