Ads

Minuman Tenaga Punca Strok, Lelaki Sihat Lumpuh Separuh Selepas Minum 8 Tin Sehari

Tabiat mengambil lapan tin minuman tenaga setiap hari dipercayai menjadi punca seorang lelaki berusia 54 tahun dari Sherwood, Nottingham, England mengalami strok sehingga lumpuh separa. Apa yang lebih mengejutkan, lelaki berkenaan sebelum ini disifatkan sebagai sihat, aktif dan tidak mempunyai masalah kesihatan serius.

Menurut sumber segalanya berubah apabila dia tiba-tiba mengalami kelemahan dan kebas pada sebelah kiri badan. Keadaan itu disusuli kesukaran berjalan, bercakap serta menelan simptom klasik strok yang tidak boleh dipandang ringan.

Minuman Tenaga Punca Strok, Lelaki Sihat Lumpuh Separuh Selepas Minum 8 Tin Sehari
Foto : hellodoktor

Menyedari keadaan semakin meruncing, keluarganya segera membawanya ke klinik strok berhampiran untuk rawatan kecemasan.

Tekanan Darah Cecah Paras Kritikal

Pemeriksaan awal mendapati tekanan darah lelaki tersebut mencecah paras sangat berbahaya iaitu 254/150 mmHg, jauh melebihi bacaan normal 120/80 mmHg.

“Dia kelihatan sihat secara fizikal, tetapi tekanan darahnya terlalu tinggi. Inilah sebabnya hipertensi digelar pembunuh senyap,” jelas pakar perubatan dari Nottingham University Hospitals NHS Trust, Dr. Sunil Munshi.

Keadaan ini menunjukkan bahawa seseorang boleh kelihatan sihat secara luaran, namun menyimpan risiko kesihatan serius akibat gaya hidup yang tidak disedari.

Strok Serang Bahagian Otak Penting

Hasil imbasan lanjut mendapati lelaki tersebut mengalami strok pada bahagian thalamus dalam otak iaitu kawasan penting yang mengawal keseimbangan, pergerakan dan fungsi deria.

Ini menjelaskan mengapa beliau mengalami masalah koordinasi, kelemahan anggota badan serta gangguan pergerakan selepas insiden tersebut.

Minuman Tenaga Punca Strok, Lelaki Sihat Lumpuh Separuh Selepas Minum 8 Tin Sehari
gambar hiasan

Beliau diberikan rawatan intensif termasuk lima jenis ubat bagi menurunkan tekanan darah, yang akhirnya berjaya diturunkan ke paras sekitar 170 mmHg.

Ads

Namun selepas dibenarkan pulang, tekanan darahnya kembali melonjak sehingga 220 mmHg walaupun mengambil ubat secara konsisten, sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan doktor.

Punca Sebenar Akhirnya Terbongkar

Selepas beberapa siri ujian gagal mengenal pasti punca sebenar, barulah lelaki tersebut mendedahkan tabiat hariannya dengan mengambil minuman tenaga sebanyak lapan tin sehari, dua tin pada empat waktu berbeza.

Setiap tin mengandungi kira-kira 160 mg kafein. Ini bermakna jumlah kafein yang diambilnya mencecah antara 1,200 hingga 1,300 mg sehari.

Angka ini jauh melebihi had maksimum yang disyorkan di United Kingdom dan Amerika Syarikat, iaitu sekitar 400 mg kafein sehari.

Ads

Menariknya, hanya beberapa minggu selepas beliau berhenti sepenuhnya daripada mengambil minuman tenaga, tekanan darahnya kembali ke paras normal tanpa perubahan besar pada rawatan lain.

Minuman Tenaga Punca Strok, Lelaki Sihat Lumpuh Separuh Selepas Minum 8 Tin Sehari

Kesan Kekal Yang Terpaksa Ditanggung

Walaupun kini berada dalam keadaan lebih stabil, lelaki tersebut masih menanggung kesan strok termasuk kebas berpanjangan pada tangan, kaki dan jari sebelah kiri.

Ia menjadi peringatan bahawa kesan strok bukan sahaja mengancam nyawa, malah boleh meninggalkan kecacatan kekal walaupun puncanya telah dihentikan.

Ads

Bukan Kafein Sahaja Yang Berbahaya

Menurut Dr. Munshi, bahaya minuman tenaga bukan terletak pada kafein semata-mata. Gabungan bahan lain seperti taurina, glukosa, ginseng dan guarana turut menyumbang kepada peningkatan tekanan darah, kerosakan saluran darah serta risiko pembentukan darah beku.

Malah, minuman tenaga juga dikaitkan dengan aritmia jantung dan kerosakan tisu salur darah, terutama jika diambil secara berlebihan atau berpanjangan.

Lebih membimbangkan, kes sebegini bukan terpencil. Ramai pesakit muda turut dikesan mengalami masalah jantung dan strok akibat pengambilan minuman tenaga, terutamanya apabila dicampur dengan bahan terlarang lain.

Maskulin Alert: Jangan Jadikan Tenaga Segera Sebagai Senjata Makan Tuan

Sebagai lelaki, keupayaan untuk bekerja keras dan bertahan lama sering dibanggakan. Namun kes ini membuktikan bahawa tenaga segera datang dengan risiko tersembunyi.

Minuman tenaga mungkin memberi lonjakan sementara, tetapi kesannya terhadap jantung, otak dan tekanan darah boleh memusnahkan hidup dalam sekelip mata.

Ingat, lelaki sejati bukan yang memaksa tubuh bekerja tanpa henti tetapi yang tahu menjaga kesihatan sebelum terlambat.

BACA LAGI : Trend Koktail Jellyball Cheese Tular Di TikTok: Coach Tareq Dedah Bahaya Minuman Viral Tinggi Kalori

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Gentleman semua dah baca MASKULIN? Download dekat je senang

KLIK DI SEENI
Ads

Dr Mohammed Taufiq Johari Menteri Belia & Sukan, Simbol Kepimpinan Lelaki...

Dr Mohammed Taufiq Johari dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan termuda pada usia 29 tahun, simbol kebangkitan kepimpinan lelaki generasi baharu Malaysia.