
Pasaran telefon pintar premium kini menerima kehadiran pemain baharu apabila Oppo Find X9 Ultra secara rasmi diperkenalkan. Seperti yang dijangka, fokus utama peranti ini terletak pada keupayaan kameranya yang luar biasa, sekali gus mengukuhkan lagi reputasi siri Find X sebagai antara peranti fotografi terbaik di pasaran.
Dengan kolaborasi bersama jenama legenda fotografi Hasselblad, Oppo Find X9 Ultra tampil dengan sistem kamera empat lensa yang bukan sahaja berkuasa, malah memperkenalkan beberapa teknologi baharu yang boleh dianggap sebagai ‘industry-first’.
Dari segi rekaan, peranti ini menampilkan estetika premium dengan gabungan kaca di bahagian hadapan, bingkai aluminium serta kemasan belakang menggunakan eco-leather yang memberikan sentuhan mewah dan lebih selesa dipegang.
Peranti ini hadir dalam dua pilihan warna iaitu Canyon Orange dan Tundra Umber. Skrinnya pula bersaiz 6.8 inci QHD LTPO AMOLED dengan kadar segar semula 144Hz.
Sekali gus menawarkan pengalaman visual yang sangat lancar dan tajam, sama ada untuk penggunaan harian mahupun hiburan multimedia.
Dari segi prestasi, peranti ini dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5, menjadikannya antara telefon pintar paling berkuasa dalam kelas flagship.
Apa yang benar-benar membezakan Oppo Find X9 Ultra adalah sistem kameranya yang canggih.
Ia dilengkapi empat kamera utama yang ditala oleh Hasselblad, termasuk sensor utama 200MP dengan aperture f/1.5 dan OIS menggunakan sensor Sony LYTIA-901 bersaiz besar.
Turut disertakan ialah kamera telefoto 200MP dengan zoom optikal 3x, yang menurut Oppo hampir sembilan kali lebih besar berbanding sensor 10MP 3x pada beberapa model pesaing.
Lebih menarik, terdapat juga kamera telefoto 10x beresolusi 50MP — satu pencapaian yang dianggap sebagai yang pertama dalam industri telefon pintar.
Sistem ini dilengkapkan lagi dengan kamera ultra-wide 50MP serta kamera true colour untuk memastikan ketepatan warna yang lebih natural. Kamera hadapan 50MP pula memenuhi keperluan penggemar selfie berkualiti tinggi.
Sebagai tambahan, Oppo turut menawarkan aksesori Hasselblad 300mm Explorer Teleconverter untuk hasil fotografi telefoto yang lebih profesional.
Dari segi rakaman video, Oppo Find X9 Ultra menampilkan keupayaan yang sangat mengagumkan.
Ia mampu merakam video pada resolusi 4K sehingga 120fps, atau 4K 60fps dengan sokongan Dolby Vision pada semua kamera belakang.
Peranti ini juga boleh merakam video pada resolusi 8K 30fps menggunakan teknologi O-Log 2, menjadikannya sesuai untuk pencipta kandungan profesional.
Menyokong semua keupayaan ini ialah bateri silikon-karbon berkapasiti 7,025mAh yang menawarkan jangka hayat penggunaan lebih lama.
Ia turut menyokong pengecasan pantas 100W melalui teknologi SuperVOOC serta pengecasan tanpa wayar 50W menggunakan AirVOOC.
Oppo Find X9 Ultra hadir dengan ColorOS 16 berasaskan Android 16, yang memperkenalkan pelbagai ciri berasaskan kecerdasan buatan.
Antara ciri menarik termasuk Live Space, AI Mind Pilot, AI Bill Manager serta AI Menu Translation yang memudahkan pengguna dalam pelbagai situasi harian.
Selain itu, Oppo turut mengumumkan sokongan pemindahan fail ke peranti Apple melalui Quick Share dalam masa terdekat, satu langkah yang merapatkan jurang antara ekosistem Android dan iOS.
Di Malaysia, Oppo membuka tempoh pra-tempahan sehingga 7 Mei 2026 dengan pelbagai tawaran menarik kepada pengguna awal.
Varian tertinggi yang ditawarkan ialah 16GB RAM dengan storan 1TB pada harga RM6,799, lengkap dengan tawaran naik taraf storan percuma bernilai RM1,000. Sementara itu, varian 12GB RAM dengan 512GB storan turut diumumkan dan bakal menyusul dalam masa terdekat.
BACA: Era Baharu Apple, Tim Cook Undurkan Diri Sebagai CEO, John Ternus Ambil Alih
Untuk pra-tempahan, pengguna hanya perlu membuat bayaran deposit sebanyak RM200 dan berpeluang menikmati pelbagai insentif tambahan seperti pelan perlindungan skrin selama setahun pada harga promosi RM99 berbanding harga asal RM399.
Selain itu, pengguna juga akan menerima pelbagai kelebihan melalui aplikasi My OPPO termasuk baucar Hasselblad Kit bernilai RM700, perlindungan lensa percuma serta jaminan tambahan selama setahun.
Dengan gabungan teknologi kamera bertaraf profesional, prestasi kelas flagship dan pelbagai ciri inovatif, Oppo Find X9 Ultra jelas menyasarkan pengguna yang mahukan pengalaman premium dalam satu peranti.
Dalam pasaran yang semakin kompetitif, Oppo dilihat berani mempertaruhkan identiti mereka melalui kekuatan kamera — dan model ini menjadi bukti bahawa telefon pintar kini semakin menghampiri tahap kamera profesional.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.