Jika Allahyarham Datuk Sudirman masih ada, mungkin beliau dilantik menjadi senator di Dewan Negara demi memperjuangkan pelbagai isu seni dan rakyat, demikian kata Datuk Aznil Nawawi

Memetik laporan Astro Awani, Aznil mengagumi bagaimana segenap lapisan masyarakat masih mengenali dan mengagumi karya Sudirman meskipun sudah 32 tahun meninggal dunia.

Tambahnya, Allahyarham yang menjuarai Bintang RTM pada 11 Ogos 1976 itu telah mengubah pandangan masyarakat terhadap penggiat seni apabila menampilkan penanda aras baharu.

“Pada usia saya 14 tahun, sukar untuk digambarkan rasa kagum terhadap kejayaan arwah yang ketika itu adalah mahasiswa jurusan undang-undang di Universiti Malaya. Zaman itu, dunia seni dianggap sebagai bidang kerjaya yang hanya menghimpunkan mereka yang gagal dalam persekolahan,” kata Aznil.

Pak Nil Anggap Legasi Sudirman Wajar Diteruskan

Oleh itu, sejak itu beliau tidak teragak-agak lagi untuk menjadikan arwah Sudirman sebagai idola untuk dicontohi, tetapi bukan untuk ditiru secara keseluruhan.

Tiga Kualiti Utama Sudirman

“Saya menjadikan arwah idola berdasarkan tiga kualiti utamanya iaitu memiliki pencapaian pendidikan, keterbukaan fikiran dan komitmen tertinggi dalam setiap tugas yang diamanahkan.

“Sebab itulah kesemua karya arwah tiada satupun yang bersifat sambil lewa, lantaran dalam dirinya terhimpun tiga keunggulan iaitu eksklusiviti, komitmen dan profesionalisme yang mendahului zaman”, kata Aznil lagi.

Selain itu, Aznil berpendapat legasi Sudirman begitu wajar diteruskan oleh generasi muda dalam mengharungi era media sosial yang serba mencabar kini.

“Pada zaman ini kita perlu melakukan setiap sesuatu dengan bertunjangkan ilmu. Sesudah itu baharulah kita boleh berbicara soal keterbukaan fikiran dan penjanaan komitmen tinggi dalam setiap aspek kehidupan seharian.

Pak Nil Anggap Legasi Sudirman Wajar Diteruskan

“Itulah yang saya pelajari daripada arwah Sudirman, yang juga pernah mengidolakan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee semasa hayatnya.”

Pesannya, sudah menjadi lumrah setiap yang baik pasti akan terus diteladani mereka yang pada sebarang zaman.

Aznil berkata demikian ketika memenuhi undangan Program dialog bersama Pengacara No1 Malaysia yang diadakan sempena Pameran Memperingati Sudirman: Penghibur Legenda Warisan Melayu, anjuran Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM, dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia.

Sumber: Astro Awani

BACA: David Copperfield Dituduh Lakukan Salah Laku Seksual Terhadap 16 Wanita

Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.

KLIK DI SEENI