
Pengharaman vape di Malaysia kini bukan lagi sekadar wacana awam atau cadangan dasar. Kerajaan berada di landasan tetap untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan vape di seluruh negara, dengan isyarat jelas yang dihantar oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Langkah ini tidak lagi bersifat kiasan atau amaran awal, sebaliknya mencerminkan satu keputusan dasar yang hanya menunggu masa untuk dimuktamadkan melalui proses Kabinet dan penguatkuasaan undang-undang.
Sasaran Pengharaman Vape Menjelang 2026
Menurut laporan Berita Harian, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, menegaskan bahawa sasaran pengharaman vape di Malaysia dijangka direalisasikan selewat-lewatnya menjelang hujung tahun 2026.

Malah, kenyataan beliau cukup jelas dan tidak berselindung.
“Istilah sekarang ini bukan ‘jika’ kita haramkan vape, tetapi ‘bila’ kita akan haramkannya.”
Kenyataan ini mengesahkan satu perkara penting yang kerajaan sudah membuat keputusan secara prinsip. Soalnya kini hanyalah proses, masa dan mekanisme penguatkuasaan yang sedang diperincikan.
Kertas Cadangan Akan Dibentang Semula ke Kabinet
KKM turut mengesahkan bahawa kertas cadangan pengharaman penuh vape akan dibawa semula ke mesyuarat Kabinet pada awal tahun depan. Langkah ini merupakan kesinambungan kepada komitmen kerajaan untuk menamatkan kekeliruan status vape yang selama ini berlegar antara kawalan longgar dan penguatkuasaan separuh masak.
Walaupun tidak sempat dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet terbaharu, Dr. Dzulkefly menegaskan bahawa perkara tersebut kekal sebagai keutamaan dan akan dipertimbangkan semula dalam masa terdekat.
Bagi industri dan pengguna, ini bukan lagi spekulasi namun ini adalah countdown yang nyata ke arah pengharaman vape di Malaysia.
Vape Bukan Lagi Isu Gaya Hidup, Tetapi Isu Kesihatan Mental
Antara faktor utama yang mendorong keputusan tegas ini ialah perubahan membimbangkan terhadap kandungan cecair vape di pasaran. Jika suatu ketika dahulu vape dikaitkan dengan nikotin semata-mata, landskap hari ini jauh lebih berisiko dan gelap.
Menurut Dr. Dzulkefly, KKM menerima terlalu banyak laporan kebejatan melibatkan penggunaan vape, termasuk kes psikosis akibat pengambilan bahan terlarang seperti kanabis sintetik melalui peranti vape.
Malah, terdapat kes pesakit dirujuk ke Hospital Permai akibat gangguan mental serius yang berpunca secara langsung daripada penggunaan vape.
Ini bukan lagi isu paru-paru atau ketagihan nikotin semata-mata. Ini adalah isu otak, emosi dan kestabilan mental masyarakat.

Lelaki Muda & Vape: Masa Untuk Berfikir Panjang
Hakikatnya, pengguna vape terbesar di Malaysia datang daripada golongan lelaki muda, pelajar, pekerja, penghantar makanan, atlet amatur serta profesional muda. Vape bukan sekadar tabiat, malah telah menjadi simbol gaya hidup dan identiti sosial.
Namun apabila risiko kesihatan mula melibatkan psikosis, ketagihan melampau dan pendedahan kepada bahan terlarang, naratif bahawa vape adalah “lebih selamat daripada rokok” sudah tidak lagi relevan.
Bagi lelaki yang mengaitkan vape dengan imej maskulin, kekuatan sebenar bukan pada asap yang dihembus, tetapi pada keberanian membuat keputusan yang betul demi kesihatan jangka panjang.
2026 Semakin Hampir
Pengharaman vape di Malaysia kini bukan lagi khabar angin atau tekanan kumpulan tertentu. Ia adalah perancangan dasar yang sedang bergerak melalui saluran rasmi kerajaan.
Sama ada pengguna bersedia atau tidak, perubahan ini bakal berlaku. Persoalannya kini hanyalah satu adakah masyarakat, khususnya golongan lelaki muda, masih mahu bergantung kepada trend sementara, atau sudah bersedia meninggalkan tabiat yang jelas membawa lebih banyak mudarat daripada manfaat?
Kerajaan sudah memberi isyarat. Pilihan seterusnya terletak di tangan kita.
BACA LAGI : Nak Kena Stroke, Hisap La Vape!
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang

