
Demam Formula 1 bukan lagi terhad kepada apa yang berlaku di atas litar. Menjelang Grand Prix Singapura 2026, PUMA membawa budaya motorsport lebih dekat dengan dunia fesyen menerusi dua jersi edisi eksklusif Asia Tenggara yang menampilkan identiti Scuderia Ferrari dan McLaren Mastercard F1 Team.
Diperkenalkan sebagai Scuderia Ferrari SEA Edition Jersey dan McLaren Mastercard F1 Team SEA Edition Jersey, koleksi edisi terhad ini mengambil inspirasi daripada populariti jersi bola sepak dalam fesyen kontemporari, sebelum menggabungkannya dengan budaya motorsport dan warisan reka bentuk Asia Tenggara.


Bagi lelaki yang sukakan gaya sporty tetapi tidak mahu kelihatan seperti baru keluar dari paddock, pendekatan ini menjadikan jersi tersebut lebih mudah dibawa sebagai sebahagian daripada gaya harian.
Motif Batik Malaysia Antara Inspirasi Utama
Apa yang membuatkan koleksi ini berbeza ialah bagaimana PUMA memasukkan elemen budaya rantau ini ke dalam bahasa visual dunia F1.
Rekaannya mengambil inspirasi daripada seni bina Sino-Portugis dengan pengaruh Art Deco yang dapat ditemui di beberapa bahagian Asia Tenggara.
PUMA kemudian mengembangkan idea tersebut dengan mengambil elemen daripada pelbagai kraf tradisional termasuk batik Indonesia, tenunan Mudmee Thailand, tekstil broked Vietnam, corak batik Malaysia, tenunan tradisional Filipina serta jubin Peranakan.
Hasilnya bukan sekadar jersi yang menampal logo pasukan perlumbaan, tetapi satu interpretasi moden terhadap identiti serantau melalui siluet fesyen sukan.
Konsep keseluruhan koleksi turut membawa tema “Cultural Engine: Unity in Motion”, yang meraikan semangat perpaduan, kepantasan kemajuan serta denyut budaya Asia Tenggara.
Ferrari Dengan Sentuhan Peranakan
Untuk peminat Prancing Horse, Scuderia Ferrari SEA Edition Jersey hadir dalam dua pilihan warna, Club Red dan Shoji.
Jersi itu menampilkan corak tona menyeluruh yang mendapat inspirasi daripada warisan Peranakan, disempurnakan dengan motif bunga yang lebih terperinci.

Model berkenaan mula diperkenalkan di Singapura, Malaysia dan Indonesia pada 1 Ogos 2026 sebelum diperluaskan ke Thailand, Vietnam dan Filipina pada 15 Ogos.
Daripada visual koleksi, Club Red masih mengekalkan DNA warna ikonik Ferrari tetapi motif yang digunakan memberikan karakter berbeza daripada jersi pasukan konvensional.


McLaren Pula Bawa Batik Dalam Gaya Lebih Urban
McLaren Mastercard F1 Team SEA Edition Jersey mengambil pendekatan yang lebih berani.
Ditawarkan dalam warna Espresso Brown dan Black, rekaannya menggunakan grafik bertindih berinspirasikan teknik patchwork batik sebelum dipadankan dengan sentuhan warna jingga papaya yang begitu sinonim dengan McLaren.

Gabungan tersebut menghasilkan penampilan yang terasa lebih dekat dengan streetwear tanpa kehilangan identiti sebuah pasukan Formula 1.
Model McLaren mula diperkenalkan di Singapura pada 4 Ogos sebelum tiba di Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina mulai 15 Ogos 2026.

Motorsport Kini Sebahagian Daripada Gaya Harian
Koleksi ini juga mencerminkan perubahan cara peminat menunjukkan sokongan terhadap sukan kegemaran mereka.
Jika dahulu barangan pasukan banyak dipakai ketika perlumbaan atau acara tertentu, kini jersi motorsport boleh digandingkan dengan seluar cargo, denim, kasut sneaker atau potongan oversized untuk menjadi sebahagian daripada gaya harian.
Lebih menarik apabila reka bentuknya membawa elemen budaya yang cukup dekat dengan rantau ini.
BACA: New Era Masuki Dunia Larian, Perkenal Koleksi RUNNER ERA Untuk Pelari Aktif
Kedua-dua jersi berharga RM299 dan boleh didapati menerusi laman rasmi PUMA serta butik PUMA terpilih.
Dengan Formula 1 dan fesyen semakin rapat dalam budaya popular, koleksi ini menunjukkan bahawa identiti seorang peminat motorsport hari ini tidak lagi perlu ditunjukkan menerusi topi pasukan atau jaket perlumbaan semata-mata. Kadangkala, sehelai jersi dengan sentuhan batik pun sudah cukup untuk membawa semangat litar ke jalanan.

je senang
