
Fenomena yang berlaku setiap kali Proton memperkenalkan model baharu bukan lagi sesuatu yang mengejutkan, tetapi angka kali ini benar-benar luar biasa.
Hanya lima hari selepas harga anggaran diumumkan, Saga Serba Baharu mencatat 10,000 tempahan sekali gus mencerminkan betapa kuatnya hubungan emosional rakyat Malaysia dengan sedan ikonik negara ini.
Lebih mengagumkan, jumlah tempahan tersebut bersamaan satu tempahan setiap 43 saat sejak dibuka pada 10 November.
Ia adalah bukti bahawa jenama kebanggaan Malaysia ini masih menjadi pilihan utama apabila berbicara tentang nilai, kepraktisan dan kejuruteraan automotif yang semakin matang.
Menurut Proton, permintaan menggalakkan ini bukan sekadar angka tetapi lambang kepercayaan rakyat terhadap evolusi terbaru Saga Serba Baharu.
Model generasi baharu ini dibina di atas Advanced Modular Architecture (AMA), disesuaikan dengan kepakaran R&D Proton yang semakin kukuh dan pemilikan penuh terhadap harta intelek rekaan.
“Saga Serba Baharu bukan sekadar sebuah kereta, ia adalah simbol kemajuan negara yang diolah semula untuk generasi baharu. Pencapaian 10,000 tempahan hanya dalam lima hari amat kami hargai,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa.
Beliau turut menambah bahawa kilang Proton di Tanjong Malim kini meningkatkan kapasiti pengeluaran agar penyerahan kereta dapat diteruskan sebaik sahaja pelancaran rasmi berlangsung.
Saga Serba Baharu menampilkan pakej yang jauh lebih matang melalui enjin i-GT 1.5L serba baharu bersama CVT yang lebih lancar dan jimat bahan api.
Ciri keselamatan turut diperkasa dengan sembilan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) serta enam beg udara untuk perlindungan optimum.
Bahagian kabin pula menerima transformasi besar, antaranya paparan skrin berkembar 16 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Proton turut menyuntik identiti lokal melalui perincian berinspirasi sulaman songket sebagai penghargaan terhadap warisan budaya Malaysia.
Walaupun membawa lonjakan teknologi, Saga Serba Baharu tetap mengekalkan nilai hebat untuk wang. Harga indikatif antara RM40,000 hingga RM50,000 meletakkannya sebagai sedan paling bernilai dalam kelasnya.
Untuk meraikan sambutan awal yang begitu menggalakkan, Proton menjalankan siri jelajah Ikonik Together Gather
di beberapa lokasi tumpuan rakyat.Bermula di Tapak Urban Street Dining KLCC dan Tebing Johor, siri ini akan diteruskan ke Pulau Pinang dan Kuantan dari 21 hingga 23 November.
Pendekatan ini bukan sekadar mempamerkan model baharu tetapi menghubungkan kembali Saga Serba Baharu dengan komuniti yang membesarkannya sebagai ikon nasional.
Aktiviti interaktif, muzik, makanan dan hadiah menarik menjadikan acara ini sebagai pengalaman gaya hidup penuh mesra dan inklusif.
BACA: PROTON Saga Serba Baharu, Kehebatan Kejuruteraan Malaysia Menggegar Dunia
Dengan 10,000 tempahan pertama telah direkodkan, Proton menawarkan promosi eksklusif kepada 10,000 pelanggan berikutnya. Tawaran sah sehingga hari pelancaran rasmi dengan pendaftaran lengkap selewat-lewatnya pada 31 Disember 2025 dan merangkumi:
*Tertakluk pada terma dan syarat.
Saga Serba Baharu hadir bukan sekadar sebagai sedan mampu milik tetapi sebagai simbol evolusi industri automotif negara.
Dengan sambutan yang begitu menggalakkan dalam masa singkat, model ini membuktikan bahawa Proton terus menginspirasi hubungan, kebanggaan dan keyakinan dalam kalangan pemandu Malaysia.
Untuk maklumat lanjut atau membuat tempahan, kunjungi wakil jualan Proton berhampiran dan ikuti Proton Cars Official di media sosial untuk perkembangan terkini dan promosi baharu.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.