
Musim durian sudah kembali. Bau menyengat mula memenuhi tepi jalan, promosi kaw-kaw bersepah dan ‘hantu durian’ memang susah duduk diam. Nak IOI, Musang King atau Blackthorn, sebut saja, semua ada.
Namun di sebalik kenikmatan raja buah ini, ramai lelaki sebenarnya tak sedar bahawa sakit saraf akibat durian boleh berlaku, terutama jika dimakan berlebihan atau pada waktu yang salah.

Menurut doktor perubatan, Dr Nik Ariff, antara aduan paling kerap diterimanya setiap kali musim buah ini adalah rasa kebas pada tangan dan kaki, sakit mencucuk serta denyutan yang menyerupai sakit saraf.
“Musim durian je ramai mengadu kebas tangan dan kaki, sakit mencucuk macam sakit saraf,” jelasnya.
Kenapa Durian Boleh Cetuskan Sakit Saraf?
1. Kandungan Gula Yang Tinggi
Durian mempunyai kandungan gula dan indeks glisemik (GI) yang tinggi berbanding buah lain. Lonjakan gula secara mendadak boleh mengiritasi saraf, terutama bagi individu yang menghidap pra-diabetes atau diabetes.
Saraf yang sensitif akan bertindak balas dengan simptom seperti kebas, rasa mencucuk serta sensasi berdenyut atau panas. Inilah antara punca utama sakit saraf yang sering dipandang remeh.
2. Respon Keradangan Dalam Badan
Pengambilan durian secara berlebihan boleh mencetuskan keradangan sistemik. Keadaan ini memberi tekanan kepada saraf dan memburukkan lagi masalah saraf sedia ada.
Ringkasnya, jika seseorang memang mempunyai isu saraf sebelum ini, durian boleh menjadi ‘trigger’ yang menyebabkan simptom bertambah teruk.

3. Aliran Darah Mikro Terganggu
Kandungan gula tinggi juga boleh menjejaskan aliran darah mikro. Apabila saraf tidak menerima oksigen dan nutrien mencukupi, simptom sakit saraf lebih mudah berlaku.
Antara tanda yang biasa dialami termasuk kebas tangan dan kaki, badan terasa panas serta sensasi seperti tercucuk.
4. Penyakit Sedia Ada & Kesan Ubat
Lelaki yang menghidap kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi atau masalah buah pinggang lebih berisiko mengalami sakit saraf jika makan durian secara berlebihan.
Dalam sesetengah kes, ubat-ubatan untuk penyakit ini juga boleh meningkatkan sensitiviti saraf, sekali gus memburukkan simptom.
5. Waktu Makan Yang Tidak Sesuai
Ini antara punca paling dipandang remeh. Menurut Dr Nik Ariff, masalah utama bukan pada durian semata-mata, tetapi cara dan waktu pengambilan.
“Masalah utama bukan durian, tapi makan lewat malam, ataupun digabungkan dengan air manis atau alkohol. Semua ini meningkatkan tekanan metabolisme ke atas saraf,” jelasnya.
Makan durian pada lewat malam memaksa badan bekerja ketika sistem sepatutnya berehat, sekali gus memberi beban besar kepada saraf dan jantung.
@drnikariff Musim durian bukan sekadar panas badan. Ramai tak sedar sugar spike dan proses radang boleh cetuskan sakit saraf, kebas dan rasa mencucuk terutama jika ada diabetes atau prediabetes #durian #sakitsaraf #kebastangan ♬ Mozart Minuet with violin(815356) – 松本一策
Sakit Dada Lepas Makan Durian Tengah Malam?
Pakar nutrisi, Dr Hafiz Sulaiman, menjelaskan bahawa gabungan karbohidrat, gula, lemak dan serat tinggi dalam durian menjadikannya sukar dihadam, terutamanya pada waktu malam.
“Sulfur yang tinggi boleh menghasilkan gas. Bila sistem penghadaman sudah perlahan, makanan akan menapai, menghasilkan angin, perut penuh dan asid naik ke dada. Jika terus baring, risiko refluks semakin tinggi,” katanya.
Cara Lelaki Elak Sakit Saraf
Durian bukan musuh. Masalah sebenar ialah kuantiti dan masa pengambilan.
- Hadkan kepada satu hingga dua ulas sahaja sekali makan
- Elakkan makan durian lewat malam
- Jangan gabungkan dengan alkohol atau air manis
- Minum air kosong secukupnya
- Jumpa doktor jika kebas atau sakit berpanjangan
Kesimpulan Maskulin
Sebagai lelaki, menjaga kesihatan saraf sama penting dengan menjaga otot dan stamina. Sakit saraf boleh dielakkan jika dinikmati secara sederhana dan berhemah.
Durian boleh dinikmati, tetapi jangan ikut nafsu sampai tubuh sendiri yang ‘bayar harga’. Lelaki yang berfikir panjang bukan sekadar tahu menikmati hidup, tetapi tahu bila perlu berhenti.
BACA LAGI : Tiga Golongan Kena Hadkan Makan Durian, Pakar Jelaskan Bahayanya
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




