Nak badan yang tegap dan otot yang padu bukan sekadar angkat beban di gim. Walaupun kau dah pecah peluh berjam-jam, hasilnya takkan gempak kalau bab makan kau main-main. Senang cerita, nak nampak sado, kena jaga pemakanan, bukan semata-mata bergantung pada senaman.
Dalam bab diet, protein adalah kunci utama. Sumber protein boleh didapati dengan mudah dari makanan harian seperti ikan, telur, ayam, daging, dan produk tenusu. Tapi, bagi kau yang memang aktif bersukan atau kaki gim, pastinya sudah familiar dengan protein bar snek popular yang bukan saja mudah, tapi juga penuh dengan nutrisi dan protein.
Protein bar memang snek yang semakin popular untuk tambah dalam diet harian, terutama bagi yang aktif dan nak jaga badan. Sama ada nak jadikannya sebagai alternatif snek sihat atau sumber tenaga lepas workout, protein bar dah jadi bahagian penting dalam dunia kecergasan.
Biasanya, protein bar ni memang kaya dengan protein, lebih tinggi dari kandungan lemak dan karbohidrat. Ia memang direka khas untuk dimakan lepas bersenam, waktu badan dah kehabisan glukosa dan perlukan protein untuk bantu proses pemulihan otot.
Selain itu, protein bar juga sesuai sebagai snek sihat ketika tengah sibuk, sebab ramai anggap ia pilihan yang lebih baik daripada coklat atau snek-snek biasa. Tambahan pula, ia boleh jadi cara mudah untuk tambah pengambilan protein harian anda.
Tapi, jangan lupa untuk periksa kandungan kalori dan gula. Kadang-kadang, protein dari makanan semula jadi macam daging tanpa lemak, ayam, telur, kacang, dan bijirin mungkin pilihan yang lebih baik dan lebih sihat.
BOLEH TINGKATKAN BERAT BADAN?
Bila bercakap pasal makanan, mesti topik berat badan tak boleh lari. Dalam bab turun atau naik berat, memang banyak mitos yang berlegar-legar, sampai kadang-kadang susah nak bezakan antara fakta dengan fiksyen.
Ads
Sebenarnya, anda hanya akan tambah berat badan kalau makan lebih banyak kalori daripada yang badan bakar setiap hari. Jadi, satu benda yang perlu diingat ialah protein bar hanya akan menyebabkan berat naik jika ia menambah jumlah kalori harian anda melebihi apa yang sepatutnya.
Walaupun protein bar boleh jadi snek sihat, jika pengambilan tidak dikawal atau jumlah kalori tidak diperhatikan, ia juga boleh menjadi penyebab berat badan meningkat. Jadi, kawal pengambilan dengan bijak!
Oleh itu, salah satu perkara penting yang perlu anda lakukan ialah sentiasa semak label ketika membeli protein bar.
Ads
Ini bukan sahaja untuk memeriksa jumlah kalori, tetapi juga kandungan gula. Apa yang mungkin anda anggap sebagai snek yang sihat dan tidak bersalah sebenarnya boleh mengandungi lebih daripada 300 kalori dengan mudah.
MEMILIH PROTEIN BAR TERBAIK
Mungkin anda tertanya-tanya bagaimana cara untuk memilih protein bar yang betul-betul sesuai. Langkah pertama adalah memahami tujuan anda mengambilnya.
Jika anda fokus kepada kecergasan atau penurunan berat badan, penting untuk menetapkan matlamat yang jelas. Dengan matlamat yang tepat, anda boleh memantau perkembangan dan fokus pada usaha anda. Sebaik sahaja matlamat itu jelas, anda akan lebih mudah menentukan jenis protein bar yang sesuai untuk anda.
Ads
Terdapat beberapa jenis protein bar di pasaran. Ada yang dirumus khas untuk meningkatkan jisim otot bagi mereka yang ingin ‘bulking’. Bar jenis ini mengandungi karbohidrat dan kalori yang tinggi selain protein, sesuai untuk mereka yang mengamalkan diet kalori tinggi.
Di sisi lain, ada juga protein bar yang lebih ringan, direka untuk mereka yang sedang dalam fasa menurunkan berat badan. Protein bar ini biasanya rendah karbohidrat dan kalori tetapi tetap tinggi kandungan protein, menjadikannya pilihan ideal untuk mengawal berat badan.
Satu lagi faktor penting yang perlu diambil kira ialah rasa dan tekstur. Sesetengah protein bar agak padat dan kenyal, manakala ada juga yang lebih lazat dengan tekstur seperti bar coklat konvensional yang lebih memanjakan selera.
Semoga panduan ini dapat membantu anda membuat pilihan yang lebih baik di masa hadapan!
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Mula membabitkan diri dalam dunia permotoran ketika usia enam tahun dengan penggunaan Go-Kart sebagai hobi pada peringkat awal, anak muda kelahiran Kuala Lumpur ini, Jazeman Jaafar terus memburu impian untuk bergelar pelumba Formula Satu (F1).
Hasrat ini bukanlah sekadar omongan kosong apabila Jazeman membuktikan potensi dirinya melalui beberapa kejohanan yang disertai pada ketika itu sehinggalah kini bergelar pelumba McLaren GT untuk Blancpain Endurance Series Formula Renault 3.5.
Jazeman yang ditemui Sisipan Maskulin baru-baru ini turut berkongsi pengalaman dilaluinya pada peringkat awal sehinggalah sampai ke tahap ini.
PEMBABITAN AWAL
Mula berlumba ketika berumur enam tahun dengan penggunaan Go-Kart. Pada mulanya, ia sebagai hobi dan kemudian saya memenangi kejohanan di Malaysia, Asia dan Eropah sebelum menyertai perlumbaan Formula Renault Asia dan mendapat tempat ketiga, diikuti sebagai juara Formula BMW Asia.
Saya berpindah ke Eropah dan berlumba untuk British Formula 3 dan menang tempat kedua kesuluruhan. Kemudian saya berlumba Formula Renault 3.5 di bawah Petronas Talent Development Program bertanding dengan pemandu lain untuk memenangi Monaco Grand Prix.
Saya juga bergiat dalam perkembangan dengan Mercedes AMG Petronas pada 2011-2015 dan membuat sesi ujian enam kali di Silverstone dan Portugal. Tahun lepas, saya meraih kemenangan di tempat kedua dalam Blancpain Endurance Series sebagai pencapaian terbaru bersama Mercedes AMG dan kini saya menjadi pelumba McLaren GT untuk Blancpain Endurance Series.
CABARAN TERBESAR
Menyerlah ketika beraksi di Kejuaraan British Formula 3, Jazeman meniti musim cemerlang selepas beraksi dalam Kejuaraan Formula Renault untuk muncul juara dalam perlumbaan di litar teknikal di Monaco 2015.
Jazeman anggap pentas Blancpain ini adalah satu cabaran baru buatnya, sebagai persediaannya untuk menjadi Formula Satu pada suatu hari nanti.
”Impian F1 saya belum tamat. Saya masih muda dan masih mempunyai ruang untuk terus belajar, saya menyertai program GT untuk menjadi pelumba yang lebih lengkap,” katanya.
MENTOR
“Pelumba legenda F1 sepanjang zaman, Ayrton Senna dari Brazil adalah mentor saya, beliau bermula dari bawah membabitkan diri melalui sukan go kart pada umur empat tahun dan memenangi Formula 3 Championship pada 1983 sebelum memulakan karier F1 setahun kemudian,” ujarnya.
KENANGAN DILALUI
Dalam karier pengalaman pahit dan manis sememangnya tidak lari, begitu juga Jazeman yang menganggap memenangi Monaco Grand Prix 2015 adalah kenangan manis dalam kerjayanya.
“Namun dinafikan gelaran kejuaraan British F3 Championship dengan perbezaan satu mata memberi banyak pengajaran dan pengalaman buat saya,” jelasnya turut menggemari aktiviti berbasikal dan mengembara.
ERTI KEJAYAAN
Selepas segala titik peluh, usaha dan dedikasi saya beri, kejayaan itu adalah segalanya. Terutamanya apabila lagu Negaraku berkumandang di Podium.
KAEDAH SENAMAN
Saya berlatih banyak dengan high intensity dan Crossfit 3 atau 4 kali seminggu. Pada hari lain pula, saya lakukan senaman cardio seperti berlari, berenang dan lain lain.
HARAPAN MASA DEPAN
Tekad untuk terus bertanding dan memenangi Le Mans 24 Hours dan juga World Endurance Championship.
–tamat—
PROFIL RINGKAS
Nama Penuh : Jazeman Firhan Jaafar
Tarikh Lahir : 13 November 1992
Pasukan terkini : Pelumba McLaren GT
Bilangan adik beradik : Anak bongsu dari tiga adik beradik.
Limau purut amat popular digunakan dalam masakan Kemboja, Melayu, Myanmar dan Indonesia. Daunnya boleh digunakan dalam keadaan segar mahupun setelah dikeringkan. Selama berkurun lamanya, daun limau purut telah digunakan sebagai bahan mengawet makanan dan menjadikannya lebih membuka selera.
Perkongsian Ibrisam Wossali di facebooknya yang melakukan sendiri skrub limau purut di rumah boleh kita cuba. Senang dan sangat menjimatkan kos. Hanya ambil daun limau purut dibelakang rumah sahaja. Katanya lagi, dia dan keluarganya sering mencuba malah dah lama cuba petua skrub limau purut ni.
“Saya ada tanam pokok limau purut dan selalu berbuah. Maka tak jadi masalah untuk mendapatkan buah limau purut. Skrub limau purut ni boleh gantikan syampu kepala juga. Bukan saja sihat, malah rambut dan badan akan berbau haruman limau purut,” begitu katanya.
Cara Membuatnya:
Kelebihan Daun Limau Purut
Jangan kata limau purut sahaja baik untuk mencantikkan rambut. Daunnya pun tak kurang hebat. Selain digunakan sebagai penyedap beberapa jenis menu popular seperti tomyam dan masak paprik, sebenarnya ada banyak kegunaan lain yang cukup menarik. Antara kelebihan daun limau purut adalah:
Hiris halus daun limau purut dan letakkan disetiap ruang rumah terutama bahagian dapur. Selain buat udara lebih segar, bau busuk pun hilang.
Hiris halus daun limau purut bersama daun pandan. Nak lebih segar tambahkan sedikit kelopak mawar dan renjiskan air mawar. Nak gunakan minyak wangi biasa pun dialu-alukan. Letakkanlah di dalam bilik tidur atau dalam kereta. Wangi sentiasa.
Nak putihkan gigi pun boleh. Kisar sedikit garam dan daun limau purut ke dalam lesung batu , tumbuk halus dan jadikan pes. Pes campuran kedua-dua bahan ini boleh digunakan sebagai bahan pemutih gigi dan menghilangkan bau mulut.
Anda juga boleh menghiris daun limau purut dan dicampur sedikit perahan limau purut sebagai bahan mandi wap untuk membuang toksin dan mewangikan tubuh anda.
Daun limau purut turut berfungsi sebagai penambah selera makan. Jika demam atau kurang selera makan, tambahkan sedikit daun limau purut untuk membangkitkan selera dan menambah semangat diri anda.
sumber: petuaibu
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Tak dapat dinafikan masalah sakit lutut adalah perkara yang sangat ditakuti oleh mereka yang aktif berlari.
Jadi tidak hairanlah mengapa kondisi sakit lutut ini juga diberi gelaran ‘Runner’s Knee’.
Bagi pelari aktif kecederaan lutut yang serius merupakan satu mimpi ngeri buat mereka. Apabila kecederaan lutut berlaku, larian pastinya tidak dapat dilakukan. Lebih parah jika ia menjadi semakin teruk dan memerlukan rawatan atau pembedahan.
Aktiviti larian merupakan salah satu bentuk senaman yang memberikan tekanan atau impak kepada lutut. Jadi tidak hairanlah ada pakar berpendapat bahawa larian merupakan aktviti yang dianggap ‘high-injury sport’.
Namun adakah benar jika kita melabel secara melulu mengatakan aktiviti larian bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kecederaan seperti itu?
Sebenarnya terdapat beberapa tip, teknik atau cara larian yang boleh anda lakukan yang boleh mengurangkan tekanan terhadap lutut. Ingin tahu bagaimana anda boleh melakukan lariand engan lebih ‘mesra lutut’?
Ingat setiap kali kaki mendarat di hadapan badan, anda meletakkan sedikit ‘brek’ dan kejutan yang terus ke lutut. Jadi pastikan kaki sentiasa mendapat dalam keadaan midfoot stride.
Semasa melakukan larian anda juga perlu manjaga cara setiap langkahan larian atau stride. Jangan sesekali melangkah terlalu jauh daripada badan anda. Setiap kali mendaratkan kaki pastikan poin itu tidak melepas kedudukan lutut. Dan amalkan tabiat untuk lutut berpusing secara rearward bukannya jauh ke hadapan.
Apabila kaki mendarat di hadapan lutut ini akan meletakkan kondisi anda seperti mahu berhenti. Lalu memberikan impak kepada lutut.
Ya, benar. Melakukan larian dengan stride yang besar dan mengangkat lutut yang tinggi hanya untuk pelari pecut. Sebagai pelari kasual anda perlu pastikan lutut sentiasa tendah dan setiap langkah pastikan lutut ‘float’ di belakang anda. Fikirkan ritma ‘knees down, knees up’.
Ramai pelari suka melakukan tabiat over stride dan meluruskan lutut dan kaki ketika mendarat. Ini hanya memberikan impak yang sangat besar kepada lutut. Jadi elakkan melakukan perkara tersebut dan jangan luruskan lutut ketika melakukan setiap langkahan.
Ketika melakukan larian pastikan kaki anda berada lurus ke arah larian. Dalam erti kata lain pastikan kaki betul-betul mendarat dengan lurus. Ini bagi mengelakkan lutut daripada terpusing ketika mendarat yang secara tak langsung boleh mendatangkan kecederaa.
Setiap kali melakukan larian pastikan poin mendarat berada di hadapan anda. Kedudukan kaki memainkan perana penting bagi memberikan pengalaman larian yang lebih selesa dan juga efisien.
Semoga perkongsian kali ini mampu memberikan anda larian yang lebih berkualiti dan mantap! Jangan lupa subscribe YouTube MASKULIN untuk video menarik seperti di bawah ya!
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Memilih jam tangan larian bukan sekadar soal jenama atau rupa. GPS, bateri, data latihan dan keselesaan memainkan peranan penting untuk membantu anda menjadi pelari yang lebih baik.