
Musim durian tiba lagi, dan bagi ramai lelaki Maskulin, inilah waktu paling dinanti untuk ‘melantak’ buah berduri yang digelar raja segala buah ini. Namun, dalam keghairahan menikmati keenakannya, ada peringatan penting daripada pakar kesihatan bahawa bukan semua orang boleh makan durian sepuas hati.
Menurut Dr. Safiya Amaran, Pakar Kesihatan Perubatan Awam, terdapat tiga golongan lelaki yang perlu hadkan pengambilan durian, demi menjaga kesihatan dan mengelakkan risiko komplikasi serius. Beliau menasihatkan agar individu ini mengambil satu hingga dua ulas sahaja bagi setiap hidangan.

1. Lelaki Berusia 50 Tahun Ke Atas
Semakin meningkat usia, semakin perlahan kadar metabolisme badan. Fungsi organ seperti jantung, buah pinggang dan pankreas juga tidak lagi setegas waktu muda. Maka, pengambilan makanan tinggi gula dan kalori seperti durian perlu dikawal.
“Lelaki berusia 50 tahun ke atas perlu lebih berhati-hati kerana sistem badan mereka tidak setangguh dahulu,” jelas Dr. Safiya.
Jika anda dalam kategori ini, jangan jadikan durian sebagai snek harian. Kawal nafsu makan, dan seimbangkan dengan aktiviti fizikal secara konsisten.
2. Perokok Tegar
Ramai lelaki Maskulin masih lagi bergelut untuk tinggalkan tabiat merokok. Tapi tahukah anda, gabungan durian dan rokok boleh jadi kombinasi berbahaya?
Durian mempunyai sifat ‘menghangatkan’ badan, dan bila digabung dengan bahan toksik daripada rokok, ia boleh menyebabkan tekanan pada jantung dan salur darah.
“Perokok tegar berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi seperti strok atau serangan jantung jika makan durian secara berlebihan,” tegas Dr. Safiya.
Tip Maskulin:
Kalau anda belum berhenti merokok, hadkan pengambilan durian. Lebih baik, berhenti merokok terus dan nikmati hidup sihat yang lebih berkualiti.
3. Penghidap Penyakit Kronik
Antara penyakit kronik yang biasa menyerang lelaki termasuklah diabetes, darah tinggi, kolesterol tinggi dan sakit jantung. Buat golongan ini, makan durian tanpa had adalah seperti bermain dengan api.
Walaupun durian mempunyai Indeks Glisemik (GI) yang rendah (sekitar 49) kerana tinggi serat, kandungan gula dan kalorinya tetap tinggi antara 130 hingga 253 kcal untuk 155 gram.
Menurut Dr. Safiya, makan durian secara berlebihan boleh melonjakkan paras gula dalam darah dan memberi tekanan kepada jantung, sekali gus meningkatkan risiko angin ahmar (stroke).
Sihat itu satu aset. Makan durian bukan salah, tapi makan secara berlebihan tanpa ambil kira faktor kesihatan diri boleh jadi padah. Sebagai lelaki moden, kita kena kenal tubuh sendiri dan bijak buat pilihan.
Jika anda tergolong dalam mana-mana tiga golongan yang disebut tadi – berusia lebih 50 tahun, perokok tegar, atau ada penyakit kronik – dengarlah nasihat pakar. Hadkan kepada satu atau dua ulas sahaja, dan elakkan gabungan durian dengan minuman manis, berkafein atau makanan berlemak lain.
BACA LAGI : Penjual Durian Ini Tolak Duit, Hadiahkan Musang King Pada Budak-Budak
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang










