
Toyota Vios Hybrid kini rasmi dilancarkan di Malaysia oleh UMW Toyota Motor (UMWT), menandakan satu langkah besar dalam era elektrifikasi automotif negara.
Pelancaran ini turut memperkenalkan pemasangan bateri hibrid secara tempatan di fasiliti Bukit Raja, mengukuhkan komitmen Toyota terhadap mobiliti lestari dan mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia.
Menurut UMWT, Toyota Vios Hybrid menggabungkan model sedan segmen B yang terkenal dengan teknologi hibrid Toyota yang telah terbukti di peringkat global.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K. menegaskan bahawa pelancaran ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan mobiliti elektrifikasi lebih inklusif dan mampu milik.
“Sebagai model hibrid paling mampu milik kami, Vios Hybrid mencerminkan pendekatan Best in Town Toyota dengan membawa teknologi canggih ke dalam sebuah kereta yang sudah lama dipercayai rakyat Malaysia,” katanya.

Teknologi Hibrid Masuk Arus Perdana
Dibina berasaskan reputasi Vios sebagai sedan segmen B paling laris, Toyota Vios Hybrid kini mengintegrasikan sistem Hybrid Electric Toyota ke dalam model yang mesra pengguna. Ia direka bagi memudahkan peralihan ke pemanduan elektrifikasi tanpa perlu mengubah gaya hidup atau menambah infrastruktur pengecasan.
Pelancaran ini turut menyokong strategi Multipathway Toyota dalam menawarkan pelbagai solusi mobiliti hijau untuk Malaysia.
UMWT mengumumkan pelaburan strategik dalam pemasangan bateri hibrid di Bukit Raja. Fasiliti tersebut berupaya menghasilkan sehingga 30,000 unit bateri setahun, dengan 97% komponennya dipasang secara tempatan.

Langkah ini bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon daripada logistik import, tetapi juga meningkatkan fleksibiliti pengeluaran dan membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam sektor elektrifikasi automotif.
Setiap bateri menjalani ujian prestasi automatik dan pemeriksaan kualiti menyeluruh bagi memastikan piawaian global Toyota dari segi Quality, Durability, Reliability sentiasa dipatuhi.
Prestasi Efisien dan Pemanduan Harian
Toyota Vios Hybrid dikuasakan oleh enjin petrol 1.5 liter bersama motor elektrik serta bateri lithium-ion kompak. Gabungan ini menghasilkan output 111 PS dengan penggunaan bahan api sekitar 3.6L per 100km (NEDC). Motor elektriknya menawarkan 80 PS dan 141 Nm tork untuk pecutan lebih responsif.
Sistem hibrid pintar ini menggunakan regenerative braking untuk mengecas bateri secara automatik tanpa memerlukan soket pengecasan luaran, menjadikannya pilihan praktikal bagi pengguna bandar.

Kabin Toyota Vios Hybrid tampil moden dengan sistem Display Audio 10.1 inci, paparan Multi-Information Display 7 inci, serta kemasan premium. Pencahayaan ambient dan susun atur ergonomik menambah keselesaan pemanduan harian.
Vios Hybrid GR Sport: Gaya dan Prestasi
Bagi mereka yang mencari pengalaman lebih sporty, varian Vios Hybrid GR Sport hadir dengan talaan suspensi khas Gazoo Racing, reka bentuk aerodinamik agresif, serta kemasan dalaman mewah seperti tempat duduk Leather Suede dan stereng GR berjenama.
Toyota Vios Hybrid dilengkapi Toyota Safety Sense termasuk Pre-Collision System, Lane Keep Control, Adaptive Cruise Control, Blind Spot Monitor dan Auto High Beam. Model ini juga menerima penarafan keselamatan 5 bintang ASEAN NCAP.


Toyota Vios Hybrid ditawarkan pada harga bermula RM103,900, manakala Vios Hybrid GR Sport bermula RM109,900. Setiap pembelian disertakan jaminan 5 tahun tanpa had perbatuan serta jaminan sistem hibrid 8 tahun yang meliputi bateri, inverter dan unit pengurusan kuasa.
BACA: 5 Perkara Perlu Dilakukan Bila Lampu ‘Check Engine’ Menyala
Mobiliti Lestari
Pelancaran Toyota Vios Hybrid bukan sekadar pengenalan model baharu, tetapi simbol peralihan Malaysia ke arah mobiliti lestari. Dengan pemasangan bateri tempatan dan teknologi hibrid canggih, ia menjadi pilihan terbaik bagi mereka yang ingin menikmati prestasi efisien tanpa berkompromi terhadap gaya dan kebolehpercayaan.
Dengan reputasi Vios yang kukuh serta teknologi hibrid Toyota yang terbukti, era sedan harian yang lebih hijau dan efisien kini bermula.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




