Nak Elak Baju Putih Pudar & Kuning, Ini 7 Cara Membasuh Yang Anda Kena Ikut!

186

Penjagaan dan cara basuh baju putih memang sukar terutamanya ketika hendak membasuh. Jika silap basuh baju putih boleh buat ia cepat pudar dan kuning. Ada cara membasuh yang anda kena ikut jika nak baju putih kekal seperti baru.

Bagi anda yang minat baju putih, pastikan ikut 7 cara ini masa nak basuh agar baju putih anda tak rosak, pudar dan kekuningan walaupun sudah bertahun anda pakai.

1. Asingkan baju putih daripada baju berwarna

Baju putih sangat mudah terkena lunturan baju warna lain jika ia direndamkan dalam satu baldi. Sebelum proses mencuci baju, asingkan baju putih dengan baju berwarna terlebih dahulu. Jika disekalikan, bimbang baju putih akan terkena tompokan warna baju lain, selain boleh mengakibatkan baju putih nampak seperti kusam.

2. Rendam baju putih mengikut material

Bukan setakat baju berwarna, anda juga harus asingkan setiap baju putih mengikut material kainnya sebelum mencuci. Baju putih yang diperbuat daripada linen dan kapas boleh dibasuh bersama. Begitu juga dengan material acetates boleh digabungkan bersama material acrylics. Manakala baju putih daripada material berbulu tidak boleh dicampurkan dengan mana-mana material

3. Rendam baju putih dalam air suam

Sebelum mula mencuci, periksa label baju putih korang sama ada ia boleh dicuci dengan air panas atau tidak. Jika boleh, rendamkan baju putih dalam air suam kerana ia merupakan setting terbaik untuk membasuh pakaian berwarna putih. Kemudian boleh anda mencuci baju putih tersebut dengan sabun seperti biasa.

4. Gantikan agen pemutih dengan baking soda, cuka atau lemon

Penggunaan agen pemutih memang cepat menghilangkan kekotoran namun jika kerap digunakan boleh membuatkan lama-kelamaan baju putih jadi kekuningan. Untuk menggantikannya, anda boleh guna bahan semula jadi seperti baking soda. Gunakan setengah cawan baking soda bersama campuran sabun basuh. Cuka putih dan jus lemon juga boleh membantu. Tuang ½ cawan jus lemon dan 1 cawan cuka putih ke dalam baldi atau mesin basuh. Kemudian jemur di bawah cahaya matahari yang sederhana bagi mengembalikan warna putih pada pakaian.

5. Elak cuci dengan air sejuk

Untuk mencuci baju putih, anda kena pastikan suhu air yang digunakan bersesuaian. Elak mencuci baju putih dengan air sejuk kerana kandungan mineral dalam air sejuk boleh memudahkan kekotoran melekat pada pakaian.

6. Bersihkan kekotoran dalam mesin basuh

Kebersihan mesin cuci juga perlu diperhatikan. Kotoran-kotoran yang tertinggal dari cucian sebelumnya boleh memudarkan pakaian. Ada cara mudah untuk membersihkannya. Caranya, isi mesin basuh dengan air seperti anda nak mencuci baju biasa. Tambahkan satu cawan baking soda ke dalam air dan tekan pengatur waktu untuk beberapa minit sehingga mesin basuh siap dibersihkan.

7. Elak jemur di bawah matahari terik

Elak menggantung baju putih di bawah matahari terik. Cara ini boleh menyebabkan warna baju putih anda cepat nampak kusam dan pudar. Sebaiknya jemur di kawasan yang berbumbung.

Tinggalkan Komen