
Volvo Car Malaysia memperluaskan rangkaian kenderaan elektriknya menerusi pelancaran Volvo EX30 Cross Country, model Cross Country elektrik sepenuhnya pertama jenama itu yang menggabungkan karakter SUV bandar dengan keupayaan lebih yakin untuk meneroka laluan mencabar.
Dipasang secara tempatan, EX30 Cross Country diperkenalkan pada harga bermula RM218,888 tanpa insurans, selain menawarkan pakej istimewa untuk 100 tempahan terawal.
Kehadiran model ini turut membawa kesinambungan kepada legasi Cross Country Volvo yang bermula sejak 1997, apabila model pertama dalam keluarga tersebut dibangunkan untuk berdepan keadaan cuaca dan jalan raya Scandinavia yang mencabar.

Dari Bandar Ke Laluan Lebih Mencabar
Pengarah Urusan Volvo Cars Malaysia dan Thailand, Chris Wailes, melihat karakter EX30 Cross Country sebagai sesuatu yang sesuai dengan gaya hidup rakyat Malaysia yang boleh beralih daripada rutin bandar kepada percutian alam semula jadi dalam tempoh singkat.

“Pepatah bahawa ‘hidup ini penuh dengan pengembaraan’ sangat tepat apabila kita menggambarkan kehidupan di Malaysia kerana negara ini mempunyai antara hutan hujan tertua di rantau ini yang hanya beberapa jam perjalanan dari bangunan tertinggi di dunia.
“Daripada percutian hujung minggu hingga pengembaraan di bandar, EX30 Cross Country bukan sekadar sebuah kereta, tetapi sebuah pengalaman lengkap buat mereka yang mahukan kebebasan untuk meneroka dan keyakinan untuk pergi ke mana sahaja,” katanya.

Berbanding EX30 biasa, varian Cross Country tampil dengan beberapa penambahbaikan khusus untuk pemanduan di permukaan lebih mencabar.
Ia menggunakan sistem Twin Motor All-Wheel Drive yang menghasilkan 428 hp dan 543 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 3.7 saat.
Pelarasan pada perisian stereng turut dilakukan bagi menawarkan tindak balas dan kawalan lebih baik, terutama ketika melalui selekoh sempit.
Ground Clearance Lebih Tinggi 19mm
EX30 Cross Country juga mempunyai jarak kelegaan tanah 19mm lebih tinggi berbanding EX30 standard.
Ia digandingkan dengan rekaan casis yang dipertingkat serta rim 19 inci lima jejari yang direka untuk membantu menyerap gangguan permukaan jalan dan memberikan kestabilan lebih baik di laluan tidak rata.

Dari segi kuasa elektrik, model ini menggunakan pek bateri 69kWh NMC dengan jarak perjalanan sehingga 437km berdasarkan kitaran WLTP.
Pengecasan daripada 10 hingga 80 peratus boleh dilakukan dalam kira-kira 27 minit menggunakan pengecas pantas DC 175kW, bergantung kepada faktor seperti suhu, keadaan bateri dan peralatan pengecasan.
Rekaan Lebih Lasak, Identiti Cross Country Lebih Jelas
Dari sudut penampilan, EX30 Cross Country masih mengekalkan bahasa rekaan minimalis Scandinavia tetapi diberikan karakter lebih lasak.
Antara perbezaannya termasuk kemasan hitam kusam dan Vapour Grey, skid plate Vapour Grey berkilat rendah, bampar bawah hitam matte serta sambungan pada bahagian gerbang roda.

Identiti Cross Country turut ditampilkan menerusi plak nama pada tiang C dan logo CC timbul di bahagian belakang.
Bahagian kabin pula menampilkan upholsteri Nordico, tekstil tenunan berwarna arang, panel dekorasi denim serta kemasan biru pada corong pendingin hawa.
Volvo turut menggunakan bahan semula guna dan bahan yang dihasilkan secara lebih bertanggungjawab, termasuk tekstil denim kitar semula dan upholsteri Nordico berasaskan bahan bio.
Google Services, Harman Kardon & Ruang Bagasi 718 Liter
Sistem infotainmen EX30 Cross Country menggunakan skrin tengah 12.3 inci dengan Google Services terbina dalam termasuk Google Assistant, Google Maps dan aplikasi melalui Google Play Store.
Ia turut dilengkapi sistem audio premium Harman Kardon serta sambungan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto.

Ruang simpanan belakang menawarkan kapasiti 318 liter ketika semua kerusi digunakan dan boleh meningkat kepada 718 liter apabila kerusi baris kedua dilipat.
Pembeli juga boleh memilih aksesori tambahan termasuk mud flap, load carrier, rak basikal dan roof basket mengikut keperluan gaya hidup masing-masing.


RM12,000 Rebat Untuk 100 Tempahan Terawal
EX30 Cross Country ditawarkan dalam tiga warna iaitu Crystal White, Vapour Grey dan Cloud Blue.
Bagi 100 tempahan pertama, Volvo Car Malaysia menawarkan rebat tunai RM12,000, selain Volvo Wallbox bernilai RM3,990, Load Carrier bernilai RM2,098 dan Roof Basket bernilai RM3,680.
Dalam masa sama, Volvo turut mengumumkan harga baharu bagi EX30 Ultra MY27, kini bermula RM198,888 tanpa insurans. Model tersebut ditawarkan dalam empat warna termasuk Onyx Black.
Pelancaran EX30 Cross Country turut menandakan pengenalan Digital Service Booking (DSB) di Malaysia, membolehkan pelanggan menetapkan janji temu servis menerusi laman web Volvo Car Malaysia atau aplikasi Volvo Cars. Perkhidmatan itu kini tersedia di pusat servis sah sekitar Lembah Klang sebelum diperluaskan ke kawasan lain.
Dengan kombinasi prestasi dua motor, jarak perjalanan sehingga 437km dan karakter lebih lasak, EX30 Cross Country membawa pendekatan berbeza dalam segmen EV kompak premium — bukan sekadar untuk bergerak dalam bandar, tetapi untuk mereka yang mahu meneruskan perjalanan apabila jalan berturap mula berakhir.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
