Ads

Dari Aktiviti Solo Ke Gerakan Komuniti, Run Club Ubah Wajah Budaya Larian Malaysia

LARIAN

Jika suatu ketika dahulu larian sering dikaitkan dengan aktiviti bersendirian, sekadar menyarung kasut dan menghabiskan beberapa kilometer mengikut kemampuan sendiri, landskap itu kini sudah banyak berubah.

Di Malaysia, khususnya di kawasan bandar seperti Lembah Klang, budaya larian berkembang menjadi satu fenomena sosial. Run club tidak lagi sekadar tempat berkumpul untuk berlatih, tetapi sudah menjadi ruang membina persahabatan, jaringan sosial, identiti gaya hidup dan rasa kebersamaan.

Sempena Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026, MASKULIN berpeluang mendapatkan pandangan beberapa wakil kelab larian sekitar Lembah Klang, termasuk ASICS Running Club, Kelana Jaya Run Club, Crewni RC, Mont Kiara Running Club dan Sungai Buloh Running Crew mengenai perubahan budaya larian yang semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dari Aktiviti Solo Ke Gerakan Komuniti, Run Club Ubah Wajah Budaya Larian Malaysia
Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon yang cukup dinantikan saban tahun dan dianggap ‘Hari Raya’ buat komuniti larian

Daripada sesuatu yang pernah dianggap sukan individual, larian kini bergerak sebagai satu komuniti dengan nilainya tersendiri.

Kesedaran Kesihatan Jadi Antara Pencetus Utama

Kapten ASICS Running Club, Mohd Faiz Othman, melihat peningkatan kesedaran mengenai kesihatan sebagai antara faktor utama mengapa semakin ramai rakyat Malaysia mula berlari.

Menurutnya, perubahan itu semakin jelas terutama selepas pandemik apabila masyarakat menjadi lebih sedar tentang pentingnya pergerakan, kecergasan serta penjagaan kesihatan fizikal dan mental.

“Selepas pandemik, ramai yang mula menyedari kepentingan untuk bergerak dan menjaga kesihatan fizikal serta mental. Larian juga antara sukan yang paling mudah diakses kerana apa yang diperlukan hanyalah sepasang kasut dan kemahuan untuk bermula,” katanya.

Namun, kemudahan untuk memulakan bukan satu-satunya faktor.

Dari Aktiviti Solo Ke Gerakan Komuniti, Run Club Ubah Wajah Budaya Larian Malaysia
Nas dari Asics Running Club Malaysia

Media sosial turut memainkan peranan besar dalam membawa budaya larian lebih dekat kepada khalayak. Kandungan mengenai latihan, perlumbaan dan pencapaian peribadi menjadikan perjalanan seorang pelari lebih mudah dilihat serta dikongsi.

Bagi Faiz, apabila orang ramai melihat individu lain menikmati proses berlari, menyertai perlumbaan dan berkembang bersama komuniti, ia secara semula jadi mencetuskan keinginan untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman sama.

Bila Berlari Sendirian Tidak Lagi Cukup

Hakikatnya, larian tetap boleh dilakukan seorang diri. Namun sifatnya yang berulang juga boleh menyebabkan seseorang hilang motivasi jika tiada sistem sokongan.

Asyraf Jebat dari Crewni RC melihat perkara itu sebagai antara sebab mengapa komuniti larian berkembang begitu pantas.

“Tidak dinafikan larian merupakan aktiviti yang boleh dilakukan secara individu, tetapi ia juga sebuah sukan yang berulang. Ada masanya ia boleh menjadi monoton dan seseorang secara semula jadi akan mencari sistem sokongan untuk kekal bermotivasi dan konsisten,” jelasnya.

Dari Aktiviti Solo Ke Gerakan Komuniti, Run Club Ubah Wajah Budaya Larian Malaysia
Asyraf Jebat dari Crewni RC

Menurut Asyraf, banyak komuniti bermula dengan tujuan yang cukup ringkas iaitu mahu berlatih bersama dan menjadikan sesi larian lebih menyeronokkan.

Ads

Daripada kumpulan kecil yang berlatih bersama, hubungan antara pelari berkembang sehingga akhirnya membentuk budaya yang lebih besar.

Apa yang bermula sebagai teman untuk menyelesaikan easy run atau latihan hujung minggu akhirnya menjadi kelompok yang saling menyokong ketika mengejar sasaran jarak, personal best mahupun perlumbaan besar seperti KLSCM.

Bukan Lagi Sekadar Kelab Untuk Training

Peranan run club hari ini juga dilihat semakin melangkaui aspek latihan.

Menurut pengasas Kelana Jaya Run Club, Syed Shahzli, komuniti seperti itu kini menjadi ruang untuk individu bertemu dan berkongsi pengalaman melalui matlamat yang sama.

“Run club hari ini bukan lagi hanya tentang latihan. Ia sudah menjadi komuniti yang menghubungkan orang ramai melalui sasaran dan pengalaman bersama.

“Selain kecergasan, ia turut menyediakan ruang untuk networking, sokongan, kesejahteraan mental dan gaya hidup yang lebih sihat,” katanya.

Dari Aktiviti Solo Ke Gerakan Komuniti, Run Club Ubah Wajah Budaya Larian Malaysia
Syed Shahzli (tengah) bersama krew, Kelana Jaya Run Club

Dalam suasana kehidupan bandar yang serba pantas, run club turut menawarkan sesuatu yang semakin sukar diperoleh iaitu rasa untuk menjadi sebahagian daripada sebuah komuniti.

Tidak hairanlah ada individu yang pada mulanya datang sekadar mahu berlari, tetapi akhirnya kekal kerana persahabatan yang terbina sepanjang perjalanan.

Ads

Bagaimana Larian Jadi ‘Cool’?

Perubahan paling ketara mungkin dapat dilihat dalam kalangan generasi muda bandar.

Running gear semakin mendapat perhatian, acara larian menjadi sebahagian daripada kalendar sosial dan hujung minggu pula dipenuhi aktiviti seperti coffee run, shakeout run, shoe trial serta pelbagai acara kolaborasi.

Syed melihat faktor aksesibiliti sebagai kekuatan terbesar sukan ini.

“Larian sangat mudah untuk dimulakan. Ia tidak memerlukan keahlian seperti gim.

“Sekarang hampir setiap jenama mahu terlibat dengan budaya larian. Daripada kafe yang menganjurkan coffee run sehingga jenama sukan menawarkan sesi percubaan kasut. Sudah tentu orang ramai tidak mahu terlepas peluang menyertainya,” jelasnya.

Pandangan itu turut dikongsi Khairul Aminus Kamaruddin dari Mont Kiara Running Club (MKRC).

Baginya, larian hari ini membawa imej gaya hidup yang sihat dan seimbang, selain mencerminkan disiplin, peningkatan diri, ketahanan serta konsistensi.

“Budaya larian sendiri sudah berkembang. Sekarang terdapat perlumbaan yang menarik, pakaian larian yang bergaya, pertemuan sosial, pengembaraan trail dan destination marathon. Media sosial pula menguatkan lagi semua perkara ini.

Ads

“Bagi ramai anak muda bandar, menjadi sebahagian daripada run club seperti MKRC bukan semata-mata tentang kecergasan, tetapi juga tentang menjadi sebahagian daripada komuniti yang positif dan aktif. Itu yang membuatkan larian terasa moden, dekat dan ‘cool’,” katanya.

Banyak Kelab, Tapi Matlamatnya Sama

Dengan semakin banyak komuniti baharu muncul, persaingan antara run club juga tidak dapat dielakkan.

Namun bagi Al-Hafiz dari Sungai Buloh Running Crew, persaingan itu tidak semestinya bersifat negatif.

Menurutnya, komuniti larian Malaysia secara umumnya berjaya mengekalkan budaya yang positif dan saling menyokong.

Dari Aktiviti Solo Ke Gerakan Komuniti, Run Club Ubah Wajah Budaya Larian Malaysia
Kapten Sungai Buloh Running Club, Al-Hafiz

“Banyak run club bekerjasama melalui sesi latihan bersama, acara dan inisiatif komuniti dengan memberi tumpuan kepada matlamat bersama dan bukannya perbezaan.

“Persaingan yang sihat juga boleh memberikan manfaat kerana ia menggalakkan kelab untuk menjadi lebih kreatif, memperbaiki apa yang mereka tawarkan dan kekal dengan objektif masing-masing,” jelasnya.

BACA: KLSCM Bukan Sekadar Maraton, Tapi Titik Pertemuan Komuniti Larian Malaysia – Rainer Biemans, Pengarah Projek KLSCM

Apa pun nama kelab, warna jersi atau kawasan latihan, matlamat akhirnya masih sama iaitu membawa lebih ramai orang untuk bergerak, menjaga kesihatan dan terus terlibat dalam sukan.

Fenomena run club yang berkembang hari ini menunjukkan bahawa larian di Malaysia sedang melalui perubahan yang menarik.

Ia masih tentang kilometer, pace dan garisan penamat. Tetapi semakin jelas, apa yang membuatkan ramai terus kembali bukan sekadar keinginan untuk menjadi lebih pantas.

Kadangkala, sebab paling kuat untuk terus berlari ialah mengetahui ada sekumpulan manusia yang akan berlari bersama anda.

Dengan Kerjasama: KLSCM (Dirigo Events)

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Gentleman semua dah baca MASKULIN? Download dekat je senang

KLIK DI SEENI
Ads