
Lelaki Moden Dan Cabaran Rohani
Dalam dunia yang semakin sibuk dan kompetitif, ramai lelaki hari ini fokus kepada kerjaya, tanggungjawab dan pencapaian diri. Namun dalam mengejar semua itu, aspek rohani sering terpinggir tanpa sedar. Bulan Rejab hadir sebagai peringatan bahawa kekuatan sebenar seorang lelaki bukan hanya terletak pada fizikal dan mental, tetapi juga pada hubungan dengan Allah SWT.
Rejab merupakan salah satu daripada empat bulan haram yang dimuliakan dalam Islam. Sejak dahulu, para ulama mengingatkan umat Islam agar memperbanyakkan amalan ibadah umum seperti zikir, doa dan selawat, lebih-lebih lagi apabila tiba zikir Jumaat terakhir bulan Rejab yang sering dianggap sebagai waktu terbaik untuk bermuhasabah diri.

Amalan Ringkas, Fokus Dan Praktikal
Menariknya, Jumaat terakhir dalam bulan Rejab sering dihidupkan oleh sebahagian ulama dan orang-orang soleh dengan amalan zikir yang sangat ringkas, namun penuh makna, khususnya ketika menunaikan solat Jumaat.
Menurut perkongsian di laman Facebook UstazlahOfficial, antara zikir Jumaat terakhir bulan Rejab yang diamalkan ialah bacaan:
“Ahmad Rasulullah, Muhammad Rasulullah”
Maksudnya: Ahmad utusan Allah, Muhammad utusan Allah.
Zikir ini dianjurkan dibaca sebanyak 35 kali, khususnya ketika khatib duduk di antara dua khutbah solat Jumaat pada Jumaat terakhir bulan Rejab.
Tiada pergerakan tambahan. Tiada bacaan panjang. Hanya zikir ringkas yang boleh dilakukan dalam hati, sesuai dengan situasi solat Jumaat dan adab di masjid satu bentuk disiplin rohani yang sangat sesuai dengan sifat lelaki.
Berzikir Ketika Khatib Duduk: Apa Kata Ulama?
Ramai jemaah mungkin beranggapan bahawa sepenuhnya perlu berdiam diri ketika khatib duduk di antara dua khutbah. Namun menurut penjelasan ulama, antaranya Imam al-Nawawi, berzikir atau berdoa secara perlahan dalam hati tidak termasuk dalam larangan, selagi tidak mengganggu tumpuan khutbah dan jemaah lain.
Atas sebab itu, zikir Jumaat terakhir bulan Rejab ini disarankan dibaca secara senyap, penuh penghayatan dan disiplin selari dengan sifat seorang lelaki Muslim yang tenang, terkawal dan beradab dalam ibadah.

Kenapa Nama Ahmad Dan Muhammad?
Nama Ahmad dan Muhammad adalah antara nama utama Rasulullah SAW yang disebut dalam al-Quran. Dalam Surah as-Saff ayat 6, Allah SWT menyebut bahawa Nabi Isa AS telah mengkhabarkan tentang kedatangan seorang rasul selepasnya yang bernama Ahmad.
Nama Muhammad pula disebut dalam beberapa surah lain seperti Surah Muhammad dan Surah al-Fath. Menyebut nama-nama ini merupakan satu bentuk pengagungan dan pengiktirafan terhadap kepimpinan Rasulullah SAW, tokoh agung yang menjadi contoh terbaik dalam aspek kepimpinan, ketegasan, akhlak dan tanggungjawab sebagai seorang lelaki.
Amalan Kelebihan, Bukan Kewajipan
Penting untuk difahami bahawa zikir Jumaat terakhir bulan Rejab ini tergolong dalam fadhā’il al-a‘māl, iaitu amalan kelebihan. Ia bukan ibadah wajib dan tidak disandarkan kepada hadis sahih yang khusus, namun termasuk dalam zikir yang dibenarkan secara umum dalam syariat Islam.
Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitab Lata’if al-Ma‘arif menjelaskan bahawa bulan Rejab tidak mempunyai ibadah khusus, tetapi umat Islam sangat digalakkan memperbanyakkan amalan kebaikan kerana ia termasuk dalam bulan yang dimuliakan Allah SWT.
Penutup: Kekuatan Lelaki Bermula Dari Dalam
Selagi sesuatu amalan itu tidak bercanggah dengan syariat, tidak dianggap sebagai wajib, dan dilakukan dengan niat mendekatkan diri kepada Allah, maka ia dibenarkan dan digalakkan.
Bagi seorang lelaki, kekuatan rohani sering dibina melalui disiplin amalan kecil yang konsisten. Jika diberi peluang bertemu Jumaat terakhir bulan Rejab, mengambil beberapa saat untuk menghidupkan zikir Jumaat terakhir bulan Rejab ini mungkin kelihatan remeh, tetapi kesannya besar terhadap ketenangan jiwa.
Kerana lelaki yang benar-benar kuat bukan sekadar mampu mengawal dunia di sekelilingnya, tetapi juga mampu mengawal dan menenangkan jiwanya sendiri.
BACA LAGI : 7 Zikir Mudah, Perbanyakkan Amalan Ini Di Bulan Puasa Bagi Melimpahkan Rezeki
Sumber : Ustazlah Official, Mufti Wilayah Persekutuan
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




