
Buli dalam kalangan remaja jarang bermula dengan pengakuan terus terang seperti, “Saya sedang dibuli.” Sebaliknya, perubahan kecil pada tingkah laku, emosi dan rutin harian sering menjadi petanda awal yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa, guru serta individu terdekat.
Isu ini semakin membimbangkan apabila 5,681 kes buli dilaporkan di sekolah seluruh Malaysia antara Januari hingga Ogos 2026, merangkumi buli fizikal, lisan, bukan lisan dan siber. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengakui angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana sebahagian kes berkemungkinan tidak dilaporkan.
UNICEF sendiri menegaskan bahawa buli bukan sekadar “fasa biasa” zaman persekolahan. Dalam satu kenyataan, badan itu mengingatkan bahawa “No child should ever fear for their safety when going to school.”
Jadi, apakah petanda yang perlu diberi perhatian?
1. Tiba-Tiba Takut Atau Enggan Ke Sekolah
Remaja yang sebelum ini tidak mempunyai masalah ke sekolah tetapi mula mencari alasan untuk ponteng, kerap meminta pulang awal atau kelihatan cemas menjelang waktu persekolahan mungkin sedang berdepan tekanan tertentu.
UNICEF menyenaraikan ketakutan untuk pergi ke sekolah, ketidakhadiran serta kecenderungan mahu berada dekat dengan orang dewasa sebagai antara petanda yang boleh dikaitkan dengan pengalaman buli.
Ia tidak semestinya membuktikan seseorang sedang dibuli, tetapi perubahan mendadak seperti ini wajar ditanya dengan lebih berhati-hati.
2. Lebih Pendiam, Menjauhkan Diri & Hilang Selera Makan
Ada mangsa yang tidak menunjukkan kecederaan fizikal tetapi berubah dari segi emosi.
Mereka mungkin lebih banyak mengurung diri, kurang bercakap, hilang minat terhadap aktiviti kegemaran atau menjauhkan diri daripada keluarga dan rakan.
Contoh terbaharu dapat dilihat dalam kes seorang pelajar Tingkatan Tiga di Shah Alam pada Ogos lalu yang mendakwa dibuli dan dipukul.
Selain kecederaan pada leher dan tengkuk, mangsa dilaporkan mengalami trauma sehingga banyak menghabiskan masa di dalam bilik, kurang selera makan serta semakin kurang bercakap. Siasatan polis berhubung kejadian itu masih dijalankan ketika laporan diterbitkan.
UNICEF turut menyenaraikan perubahan emosi, pengasingan sosial serta perubahan tabiat makan sebagai antara tanda tekanan dalam kalangan remaja.
3. Kecederaan Atau Barang Peribadi Rosak Tanpa Penjelasan Jelas
Lebam, luka, calar atau kecederaan yang kerap berlaku tetapi diberikan alasan yang tidak konsisten perlu diberi perhatian.
Begitu juga jika pakaian, telefon, beg atau barangan peribadi sering hilang atau rosak tanpa sebab yang munasabah.
Menurut UNICEF, kecederaan yang tidak dapat dijelaskan, barang peribadi yang musnah serta kekerapan meminta wang boleh menjadi antara petunjuk buli fizikal atau pemerasan.
Namun elakkan terus menuduh atau memaksa remaja memberikan jawapan. Pendekatan yang terlalu agresif boleh membuatkan mereka semakin takut untuk berkongsi.
4. Prestasi Pelajaran Merosot & Sukar Fokus
Tekanan akibat buli boleh mengikuti mangsa hingga ke dalam kelas.
Remaja mungkin mula sukar memberi perhatian, hilang motivasi belajar, prestasi akademik merosot atau kerap kelihatan letih akibat tidur yang terganggu.
UNICEF menyatakan tekanan dalam kalangan remaja boleh hadir dalam bentuk masalah konsentrasi, gangguan tidur, mimpi buruk, sakit kepala serta sakit perut berulang.
Dalam konteks ini, kemerosotan akademik tidak semestinya berpunca daripada sikap malas. Kadangkala ia merupakan manifestasi kepada masalah yang jauh lebih besar.
5. Perubahan Mendadak Selepas Menggunakan Telefon
Buli hari ini tidak berhenti apabila loceng sekolah berbunyi.
Mangsa buli siber boleh terus menerima ejekan, ancaman, penyebaran khabar angin atau penghinaan menerusi aplikasi mesej dan media sosial.
Antara petandanya ialah remaja kelihatan sangat tertekan selepas menggunakan telefon, tiba-tiba merahsiakan aktiviti dalam talian, meninggalkan kumpulan rakan atau menunjukkan perubahan emosi setiap kali notifikasi diterima.
UNICEF menjelaskan bahawa buli siber boleh meningkatkan rasa malu, tidak berdaya, keresahan dan pengasingan sosial kerana kandungan yang disebarkan boleh dilihat oleh ramai orang serta sukar dikawal oleh mangsa.
Jangan Tunggu Sampai Keadaan Menjadi Parah
Jika seorang remaja menunjukkan tanda-tanda tersebut, langkah pertama bukanlah terus mencari siapa pesalah.
Dengar dahulu dengan tenang. Beri ruang untuk mereka bercerita tanpa menyalahkan, memperlekehkan atau menganggap pengalaman itu perkara kecil.
Simpan bukti jika melibatkan buli siber dan maklumkan kepada sekolah atau pihak berkaitan jika keselamatan mereka terancam.
Jika remaja mula bercakap tentang mencederakan diri, kematian atau menunjukkan kemurungan serius, dapatkan bantuan profesional dengan segera. Talian HEAL 15555 yang dikendalikan Kementerian Kesihatan Malaysia menyediakan sokongan psikososial dan intervensi awal krisis kesihatan mental.
BACA: 5 Sebab Peminat F1 Sangat Suka Terhadap Litar Antarabangsa Sepang
Dalam isu buli, petanda awal mungkin kelihatan kecil.
Tetapi bagi seorang remaja yang sedang menghadapinya setiap hari, tindakan seorang dewasa yang benar-benar memerhati dan sudi mendengar boleh membawa perbezaan yang sangat besar.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
