
Sebagai pemandu tidak dapat dinafian kita memang sangat jarang perhatikan asap ekzos yang keluar. Apa tidaknya kita yang memandu kenderaan sendiri memang tidak akan nampak asap keluar dari ekzos di belakang.
Melainkan asap itu betul-betul tebal dan ketika kenderaan tidak bergerak barulah kita perasan. Di sinilah anda perlu sentiasa panaskan enjin dan perhatikan warna asap yang keluar dari ekzos. Apabila ia mengeluarkan sebarang warna ia mungkin petanda kereta bermasalah.
Tapi tahukah anda setiap warna asap keluar dari ekzos membawa petanda kerosakan berbeza? Berikut MASKULIN kongsikan apa makna di sebalik warna asap ekzos.
ASAP PUTIH
Asap putih merupakan warna yang sering kita lihat keluar dari ekzos. Jika ia keluar selama beberapa saat selepas anda hidupkan enjin, itu merupakan perkara biasa kerana itu mungkin proses pemeluwapan. Akan tetapi jika asap putih cukup tebal yang keluar anda harus berikan perhatian.
Ini kerana itu merupakan antara petanda minyak pelincir memasuki kebuk pembakaran serta berlakunya kerosakan pada enjin kenderaan anda. Kemunculan asap putih juga mungkin membawa petanda berlaku kerosakan pada gasket silinder. Jika ini berlaku, segeralah bawa kereta ke bengkel untuk diperiksa dan dibaiki segera.

ASAP HITAM
Andai kata ekzos kereta anda keluar asap hitam berkpeul-kepul. itu merupakan satu petanda tidak baik. Kemunngkinan besar enjin kereta anda tidak dapat udara mencukupi yang menyebabkan bahan api dibakar berlebihan. Jadi apa yang perlu anda periksa ialah penapis udara kerana ada kemungkinan ia tersumbat. Selain itu, cuba juga bersihkan penapis. Jika kondisinya teruk tukar sahaja yang baru.
Namun jika anda dapati penapis udara keadaan baik namun masih mengeluarkan asap hitam, itu mungkin petanda injektor bahan api, manifold atau komponen lain ada masalah. Jadi langkah terbaik selepas itu ialah bawa segera ke bengkel.
ASAP KELABU
Asap ekzos berwarna kelabu pula mungkin petanda enjin membakar minyak transmisi daripada silinder atau terdapat kerosakan pada gelang piston. Perkara anda harus lakukan ialah perhatikan dengan baik supaya pembaikan dapat dilakukan segera sebagai langkah pemulihan.
Selain warna asap, anda juga boleh cuba cari bau atau hidu bau terbakar yang menunjukkan masalah pada komponen pengecas turbo. Jika terdapat kerosakan seperti yang disyaki, baikilah dengan segera agar kerosakan lebih teruk dapat dielakkan. Segera baiki apa yang patut bagi mengelak kos pembaikan yang lebih tinggi.
ASAP BIRU
Biru di sini bukanlah bermaksud kebiruan yang terang. Asap yang berwarna kebiruan ini membawa maksud terdapat kebocoran di dalam enjin. Jika ini berlaku, enjin kereta anda mungkin sedang membakar minyak hitam.
Kebocoran minyak hitam boleh berlaku disebabkan kerosakan pada kedap injap (valve seal), masalah pada dinding silinder atau gelang piston (piston ring) haus/rosak. Jika ia keluar ketika memecut pula itu mungkin bermakna gelang piston yang rosak. Manakala jika asap berwarna sama keluar ketika nyahpecut, kebarangkalian itu berpunca daripada kepala silinder.
Jadi perhatikanlah asap ekzos kereta anda ya untuk kenali pasti apakah kerosakan yang mungkin telah berlaku.
Sumber: Pandulaju.com.my
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
CIVIC TYPE R BERLABUH DI MALAYSIA- RM320k

Akhirnya penantian peminat Civic Type R Malaysia tiba ke penghujungnya apabila Honda Malaysia rasmi melancarkan model hatchback itu pada harga RM320,000 (termasuk GST, tanpai insurans).
Pasaran tempatan hanya menerima satu sahaja pilihan warna iaitu White Championship (putih).

Sejak tempahan dibuka Oktober lalu, Honda Malaysia menerima 60 unit tempahan Civic Type R walaupun harga rasmi masih belum diumumkan. Sebaik pelancaran berkenaan, operasi penghantaran akan bermula penghujung tahun ini atau seawal tahun depan.
Sebagai permulaan, Honda Malaysia memperuntukkan sebanyak 150 unit Civic Type R buat pasaran tempatan sehingga Mac depan. Pihak Honda Malaysia akan cuba memendekkan tempoh menunggu model tersebut dengan menambah stok Civic Type R sekiranya menerima respons yang menggalakkan.

Untuk makluman, tempoh menunggu Civic Type R di Jepun selama enam bulan. Ini kerana pengeluaran Civic Type R hanya dijalankan di Kilang Honda Swindon, United Kingdom manakala bahagian enjin dihasilkan di Anna, Ohio (Honda of America Manufacturing Inc).
Dibangunkan dengan rangka badan yang lebih kukuh, Civic Type R menggunakan enjin 2.0 liter VTEC pengecas turbo. Enjin itu menghamburkan kuasa 310PS dan tork maksimum 400Nm.

Mungkin ramai yang tertanya mengapa kuasa enjin di pasaran Malaysia sedikit rendah berbanding spesifikasi enjin di Eropah.
Menurut Pembantu Ketua Projek Civic Type R Honda Motor Co. Ltd, Hideki Kakinuma, kuasa enjin Type R bergantung kepada ketersediaan kualiti minyak negara model itu dipasarkan.

“Di Eropah tawaran minyak dengan kadar oktana yang tinggi mudah didapati dan di Malaysia Ron 98-100 tidak ditawarkan di setiap negeri di Malaysia.
“Kerana itu kami menala enjin Civic Type R di Malaysia yang sesuai dengan minyak Ron 95,” katanya.
Beliau juga menyatakan sekiranya pemilik mengisi dengan minyak oktana yang tinggi, ia tidak memberi kesan kepada prestasi enjin kerana rangkaian kuasa pasaran Malaysia dibangunkan untuk Ron 95, seperti mana pasaran Amerika Syarikat.

Buat pemandu yang kaki kirinya manja, jentera ini didatangkan dengan transmisi 6-kelajuan manual. Bahkan klac dan tukaran gearnya begitu lembut. Terima kasih kepada pihak Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) Honda menghasilkan transmisi manual yang mampu menukar gear dengan tepat.
Jelas Kakinuma, sistem berkenaan begitu pintar dan tidak akan memberi kesan kepada pengendalian.
“Sekiranya kaki anda lebih pantas berbanding sistem, ia tidak akan overbeat,” katanya.
Menurut penulis, model prestasi dari Honda ini juga tidak begitu menyiksa untuk kegunaan seharian. Honda Civic Type R ditawarkan dengan mod pemanduan “Comfort” selain “Sport” dan “+R”
Model yang diiktiraf sebagai kenderaan pacuan roda depan (FWD) terpantas dunia dengan catatan rekod 7 minit 43.90 saat di Litar Nurburgring, Jerman itu mampu memecut daripada sifar ke 100km/j dalam tempoh 5.7 saat sahaja.

Tidak seperti VW Golf R, Ford Focus RS dan Mercedes-AMG A45 yang menggunakan sistem AWD, Civic Type R masih menggunakan pacuan FWD. Alasannya biar ringan tetapi Honda juga mengatakan ia sudah menjadi tradisi jenama berkenaan.
Sementara itu, lubang pengudaraan pada hud depan berfungsi menyejukkan intercooler yang terletak di belakangnya. Lubang pada gril turut membantu mendinginkan enjin.

Ventilasi pada hud enjin itu bukan sekadar aksesori tetapi ia juga membantu kestabilan Civic Type R dengan mengalirkan udara ke dalam kereta, melalui mobil dan juga ke bahagian bawah jentera. Jika diperhatikan terdapat celah di antara bampar dan lip spoiler depan bagi ruang laluan angin untuk menyejukkan brek.
Honda Civic Type R dipasangkan dengan tayar Continental SportContact 6 dan dikatakan prestasinya adalah sama dengan Michelin Pilot Sport Cup 2 yang digunakan ketika diuji di Litar Nurburing.

Hot hatchback seharusnya memiliki pengendalian yang mampan. Untuk itu, Honda Civic Type R FK8 menggunakan suspensi independent multi link di belakang dan topang dual axis di depan. Sistem suspensi berkenaan dipertingkatkan bagi menampung kuasa liar dari Civic Type R.
Civic Type R serba baharu berkenaan mengaplikasikan konsep teknologi terkini yang membolehkan ia mencipta rekod baharu bagi model produksi FWD. Pembaharuan signifikan yang dilakukan oleh Civic Type R antaranya penambahbaikan bahagian aerodinamik yang menawarkan prestasi lebih baik dan kestabilan yang cemerlang.

Ketiga-tiga mod tersebut akan menala bahagian Adaptive Damper System (ADS), Drive-by-Wire throttle (DBW), Electronic Power Steering (EPS), Vehicle Stability Assist (VSA), kawalan traksi dan sistem brek. Setiap mod pemanduan menawarkan kestabilan pengendalian dan pemanduan.
Sementara, penggunaan sistem ekzos tiga cara menawarkan rasa sporty menerusi bunyi ekzos yang garang ketika memecut. Ketika sesi pandu uji, menurut penulis ngauman ekzos lebih sedap didengar ketika di dalam kabin berbanding dari luar. Bahkan pada kelajuan medium, ekzos turut menghasilkan bunyi berkuasa manakala pada julat putaran tinggi ia mengurangkan bunyi yang tidak menyenangkan.

Pengalaman mengambil selekoh juga menjadi lebih baik menerusi rim aloi aluminium 20 inci yang direka untuk kelajuan dan pemanduan agresif. Keyakinan membrek diserahkan kepada brek Brembo berprestasi tinggi.
Masuk ke kabin, kesan sporty boleh dilihat menerusi padanan warna hitam dan merah. Posisi duduk Civic Type R lebih rendah dan sporty bersama padanan stereng berbentuk-D. Pada bahagian transmisi tersedia nombor siri pengeluaran jentera.

Untuk melihat dengan lebih dekat model tersebut, kunjungi reruai Honda di Malaysia Autoshow 2017, Maeps, Serdang.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
BMW Malaysia Perkenalkan Dua Varian Baharu 5 Series

Jenama kereta premium, BMW kini diluhat semakin kukuh dengan pengenalan dua varian terbaharu 5 seriesnya iaitu BMW 530e M Sport dan BMW 530i M Sport. Kedua-dua jentera hebat BMW tersebut merupakan model terkini dalam portfolio sedan eksekutif premium yang dipasang di dalam Malaysia.
Menurut Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl, berkongsi, “BMW 5 Series sejak sekian lama telah menetapkan langkah kepimpinan bagi segmen eksekutif premium dengan dinamik pemanduan yang luar biasa, penampilan, serta inovasi digitalnya.
“Dua varian baharu yang bakal dirungkaikan di Malaysia ini juga membuktikan komitmen kami untuk mendorong dan menerajui perubahan dalam industri automotif tempatan – khususnya dalam segmen kenderaan berelektrik.
“Berbekalkan pelaburan yang berterusan ke atas mobiliti elektro di sini, kami juga akan menyebarluaskan lagi portfolio kenderaan yang dipasang di dalam negara, yang menerima sanjungan para peminat BMW di seluruh rantau ini, begitu juga dengan para pelanggan setia kami di Malaysia.”

Ia hadir dalam varian hibrid ‘plug-in’ dan menerima pengiktirafan anugerah “Car of the Year” yang dipersembahkan oleh Majalah ‘Auto, Motor und Sport’ serta Majalah ‘What Car?’ pada tahun 2020.
Momentum tersebut turut dicerminkan di peringkat tempatan yang menyaksikan varian-varian baharu BMW 5 Series ini membawakan sistem bantuan pemandu generasi terkini, iras yang diperbaharui, serta bakal menjadi ahli portfolio milik pengeluar kenderaan premium ini yang dipasang di Malaysia.

TERAJUI PERUBAHAN
Model eksekutif premium yang paling cemerlang dalam portfolio BMW dirungkaikan dalam dua varian baharu, sekali gus melengkapi generasi BMW 5 Series yang ketujuh dengan keupayaan kejuruteraan serba komprehensif dan olahan pada reka bentuknya.
Lengkap dengan pakej M Aerodynamics, varian-varian baharu kini membawakan gril ‘kidney’ yang lebih besar, dan lampu hadapan yang langsing dengan sentuhan baharu pada rekaan lampu waktu siang (daytime running light).


BMW 530e M Sport baharu didatangkan dengan lampu hadapan Adaptive LED Matrix, di samping lampu hadapan LED yang standard, manakala BMW 530i M Sport dilengkapi dengan BMW Laserlight. Kedua-duanya merangkumi kemudahan bantuan lampu puncak BMW Selective berciri anti silau dengan lampu membelok, termasuk fungsi membelok adaptif.
BMW Individual Shadow Line yang berglos tinggi membingkaikan BMW 530e M Sport baharu, manakala BMW 530i M Sport baharu dibingkaikan dengan BMW Individual Exterior Line Aluminium Satinated.
Bampar hadapan dan belakang kedua-dua varian ini juga direka semula dengan salur masuk udara yang lebih besar, berserta dengan elemen lampu belakang LED dalam bentuk L yang menjadi keunikan BMW. Buat julung kali, sumber cahaya diintegrasikan secara langsung ke dalam lapisan lampu belakang yang paling luar, lantas memaksimumkan lagi efek 3D.
Dinamisme yang tulen dipancarkan melalui roda aloi ringan M 19” Y-Spoke 845 M Bi-Colour Jet Black dengan tayar bercampur dan tayar ‘runflat’. Varian-varian baharu ini turut menampilkan Suspensi Adaptif (Adaptive Suspension) serta brek M Sport dengan angkup brek M Sport berwarna biru dan designasi M. Di seksyen belakang kedua-dua varian ini, kemasan paip ekzos dwisisi dapat dilihat dengan gubahan berbentuk trapezium serta sisipan peresap yang tersendiri.
KEUPAYAAN HEBAT
BMW 530e M Sport baharu menawarkan output maksimum gabungan berjumlah 292 kk dan nilai tork berjumlah 420 Nm – output sebanyak 109 kk dijana oleh motor elektrik. Varian berelektrik ini mampu membuat pecutan abad dalam masa 5.9 saat.
Dengan kelajuan tertinggi mencecah 235 km/j, BMW 530e M Sport baharu hanya mengguna pakai bahan api yang berjumlah 2.3 l/100 km dengan emisi CO2 berkadar 53 g/km. Motor elektriknya mempunyai jarak capaian setinggi 67 kilometer (dengan korelasi NEDC) – memungkinkan keupayaan pemanduan elektrik sepenuhnya untuk menyelusuri kota dan perjalanan yang pendek.



Sementara itu, output sistem keseluruhan bagi BMW 530i M Sport ialah 252 kk dan nilai torknya berjumlah 350 Nm, membolehkan jentera ini memecut dari kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.4 saat. Dengan kelajuan tertinggi mencecah 250 km/j, BMW 530i M Sport baharu mengguna pakai bahan api berjumlah 6.7 l/100 km dengan emisi CO2 berkadar 154 g/km.
Turut memperkayakan pengalaman pengguna ketika memandu BMW 530e M Sport atau BMW 530i M Sport, Kawalan Stabiliti Dinamik (DSC) hadir dengan Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC), Kawalan Brek Membelok (CBC), Kawalan Brek Dinamik (DBC), dan Sistem Pembrekan Antikunci (ABS) dengan Bantuan Brek.
Ciri keselamatan yang unik juga ditawarkan untuk BMW 530e M Sport menggunakan bunyi khas yang dikeluarkan melalui sistem pembesar suara untuk menggera pejalan kaki dan penunggang basikal. Ia diaktifkan apabila kenderaan ini dipacu dengan keupayaan elektrik sepenuhnya pada kelajuan berparas sehingga 30 km/j.
PEMBANTU PINTAR
Dengan Pembantu Peribadi Pintar BMW (BMW Intelligent Personal Assistant), BMW 530e M Sport dan BMW 530i M Sport baharu menaik taraf interaksi antara pemandu dan kenderaan ini. Ciri-ciri kefungsian kenderaan yang boleh diakses dan dikawal melalui BMW Intelligent Personal Assistant meliputi panggilan telefon, pelarasan suhu, navigasi, pemanasan cermin hadapan, pengaktifan bidai, serta pengoperasian kesemua tingkap secara automatik.
Papan pemuka (dashboard) menampilkan sulaman berkontras dalam warna halus yang bersambung dengan trim pintu, serta butang kawalan di konsol sentral dalam warna hitam berglos tinggi menyerlahkan lagi bahasa rekaan interior bagi kedua-dua varian BMW 5 Series ini.
Eksklusif bagi BMW 530i M Sport ialah Kawalan Gestur BMW (BMW Gesture Control), Papar Pandu (Head-Up Display), Kunci Paparan BMW (BMW Display Key) dan sistem bunyi keliling Harman Kardon. Aspek hiburan ditawarkan bagi BMW 530e M Sport baharu melalui sistem Pembesar Suara HiFi sebagai standard.
Sebagai kemudahan tambahan, kedua-dua varian ini menawarkan Comfort Access – ia membolehkan pintu kenderaan dibuka dan ditutup dengan mudah, berserta dengan operasi pintu but tanpa sentuh. Varian-varian baharu ini turut membawakan penyaman udara automatik dengan fungsi kawalan 4 zon, tirai gulung elektrik bagi tingkap belakang, dan kemudahan pengecasan telefon bimbit.
Para pelanggan yang berminat dengan varian-varian BMW 5 Series ini boleh membuat pendaftaran di platform BMW Shop Online melalui https://shop.bmw.com.my/.
Anggaran* harga jualan bagi kedua-dua varian BMW 5 Series baharu ini berserta dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans) ialah:
BMW 530e M Sport Baharu RM 343,000.00*
BMW 530i M Sport Baharu RM 396,000.00*
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Honda City Hatchback Kini Dipasarkan Di Malaysia Dengan Rekaan Lebih Sporty

Pada minggu ini, Honda Malaysia melancarkan model City Hatchback terbaru ke pasaran Malaysia. Ia sekali gus membawa pasaran hatchback segmen B ‘Selangkah Ke Hadapan’ (A Step Above), menerusi rekaan sporty, teknologi e:HEV dan ciri-ciri termaju yang pertama dalam segmennya.
Tampil dengan empat iaitu RS e:HEV, V, E dan S, City Hatchback bakal disasarkan kepada golongan muda yang mahukan sebuah hatchback yang sporty dan premium. Pada majlis pelancarannya, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Puan Madoka Chujo berkata, “Hari ini, Honda Malaysia akan mencipta satu lagi sejarah penting dengan menawarkan model City yang popular dalam bentuk sebuah hatchback.

“Sejak bertahun-tahun menerusi generasi yang lalu, City telah berevolusi dan menjadi salah satu model sedan segmen B yang paling diminati di Malaysia. Lebih daripada 380,000 unit telah terjual di pasaran Malaysia sejak City Generasi ke-2 diperkenalkan pada tahun 2002.”
“Kami sangat teruja untuk melancarkan model terbaharu kami yang cukup menarik perhatian, City Hatchback Serba Baharu. Ia akan menjadi sebuah model yang akan menetapkan trend menerusi teknologi termaju yang pertama dalam segmennya, ciri-ciri premium, versatiliti konfigurasi ULTRA Seats dan yang paling penting sekali, ia sangat seronok dipandu. Saya juga berbesar hati untuk mengumumkan bahawa setakat hari ini kami sudah menerima sebanyak 2,000 unit tempahan City Hatchback Serba Baharu,” kata Puan Chujo.

Honda City Hatchback tampil dengan konseo ‘Energetic Hatchback’ menawarkan kepelbagaian yang dimahukan daripada sebuah hatchback. Rekaan luaran ‘RS’ yang eksklusif pada hatchback ini memberikannya gayaan sporty untuk varian RS e:HEV. Varian paling tinggi itu akan menerima kemasan Hitam Berkilat pada Gril Hadapan, Solid Wing Hitam dan Perumah Cermin Sisi untuk memberikan ekspresi warna badan dua tona.
PRESTASI
Dari segi prestasi pula, City Hatchback dilengkapi dengan teknologi e:HEV Honda untuk varian RS. Ia dijana rangkaian kuasa 1.5L Sports intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) dan dipadankan dengan transmisi Electric Continous Variable Transmission (e-CVT), ia mampu menjana kuasa sebanyak 109PS dan tork mencecah 253Nm.
Rangkaian kuasa e:HEV akan membawakan pengalaman pemanduan ke satu tahap baru kepada pemandu dengan pecutan yang lancar dan penjimatan bahan api luar biasa. Sebagai tambahan, sistem hibrid 2-motor Honda yang unik dan canggih itu boleh bertukar diantara tiga mod pemanduan iaitu Pacuan EV, Pacuan Hibrid dan Pacuan Enjin secara bergilir-gilir dengan penuh kecekapan bergantung kepada kondisi pemanduan.

Bagi varian Petrol V, E dan S City Hatchback Serba Baharu, ia menggunakan enjin 1.5L DOHC-VTEC yang mampu menjana kuasa sebanyak 121PS, paling tinggi dalam segmennya dan tork maksimum 145Nm. Enjin yang efisien ini menawarkan keseimbangan ideal di antara prestasi pemanduan yang menyeronokkan dan penjimatan bahan api untuk sebuah hatchback.
Bukan itu sahaja, pasukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Honda telah berjaya membina ketegaran badan City Hatchback Serba Baharu yang 6% lebih kukuh berbanding Jazz bagi menawarkan kerangka yang berketegaran tinggi untuk keselamatan jika berlaku pelanggaran.

Untuk memberikan kabin yang lebih senyap kepada pemandu dan penumpang, tiang A dan B City Hatchback Serba Baharu telah diisi dengan semburan busa polyurethane. Selain bahan penyerap bunyi dengan pelbagai ketebalan dipasang pada bahagian bawah ruang enjin untuk mengurangkan bunyi dan getaran.
Ruang dalaman City Hatchback Serba Baharu menawarkan gayaan yang sofistikated menerusi penggunaan tekstur yang berkualiti tinggi, penuh fungsi dan praktikal. Kabin varian RS e:HEV hadir dengan tempat duduk Ultrasuede*¹ yang sporty bersama Jahitan Benang Merah pada kemasannya.
Manakala ruang dalaman varian V pula didatangkan dengan Tempat Duduk Kulit*¹. Varian RS e:HEV juga menampilkan Paparan Kluster Meter (TFT) Interaktif berukuran 7-inci yang menawarkan akses mudah ke atas maklumat pemanduan berdasarkan kepada keperluan pemandu.
Satu lagi ciri yang pertama dalam segmennya dan ada pada varian RS e:HEV ialah Corong Pendingin Hawa Belakang untuk keselesaan penumpang belakang. Varian RS e:HEV, V dan E dilengkapi Paparan Audio berukuran 8-inci yang boleh dipadankan bersama Apple CarPlay dan Android Auto*², selain Panel Pendingin Hawa Automatik serta 2 Port USB pada bahagian bawah poket untuk memberi lebih kemudahan.
CIRI CANGGIH TAMBAHAN
Satu lagi ciri canggih turut ditampilkan ialah Brek Parkir Elektrik pada varian RS e:HEV. Pemilik varian RS e:HEV, V dan E juga boleh menghidupkan enjin serta pendingin hawa dari jauh sebelum masuk ke dalam kabin kereta melalui ciri Penghidup Enjin Kawalan Jauh.
Pertama dalam kelasnya dari segi keselamatan, City Hatchback Serba Baharu menampilkan ciri Honda LaneWatch pada varian RS e:HEV dan V.
Teknologi keselamatan berasaskan kepada kamera itu memantau kehadiran kenderaan pada bahagian kiri kereta dan mengurangkan titik buta menerusi visual yang dipaparkan secara langsung pada sistem infohibur.
Varian City Hatchback RS e:HEV Serba Baharu juga hadir dengan ciri keselamatan termaju yang paling lengkap dalam segmennya iaitu Honda SENSING. Senarai sistem bantuan keselamatan pemandu di dalam Honda SENSING termasuklah:
1. Kawalan Pemanduan Adaptif (Adaptive Cruise Control)
2. Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (Collision Mitigation Braking System)
3. Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan (Forward Collision Warning)
4. Sistem Bantuan Kekal Lorong (Lane Keep Assist System)
5. Sistem Mitigasi Keluar Dari Jalan (Road Departure Mitigation)
6. Amaran Keluar Lorong (Lane Departure Warning)
7. Lampu Tinggi Auto (Auto High Beam)

Sebagai tambahan, City Hatchback Serba Baharu juga hadir dengan beberapa ciri keselamatan standard yang lain seperti Bantuan Kestabilan Kenderaan, Sistem Brek Anti-Kunci, Agihan Brek Elektronik, Bantuan Brek, Amaran Berhenti Kecemasan, Bantuan Mula Mendaki (Hill Start Assist) dan ISOFIX Tempat Duduk Belakang I-SIZE Type dan Amaran Tali Pinggang Keledar pada tempat duduk belakang.
Varian RS e:HEV dan V dilengkapi dengan 6 beg udara. Varian RS e:HEV juga menerima ciri tambahan Brek Pegun Automatik (Auto Brake Hold) yang memberi lebih kemudahan kepada pemandu ketika dalam situasi trafik bergerak dan berhenti.
Dengan rekaan hatchback baharu yang menarik dan pakej lengkap ‘Selangkah Ke Hadapan’ yang ditawarkan, City Hatchback Serba Baharu sememangnya ideal untuk keluarga dan eksekutif muda yang menjalani gaya hidup aktif, serta mahu menikmati pemanduan harian yang bergaya dan sporty. Honda Malaysia menyasarkan untuk menjual sebanyak 1,000 unit City Hatchback Serba Baharu sebulan.
Jangan lupa subscribe channel Telegram MASKULIN untuk update paling terkini!
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang



