Semakin ramai yang pakai windbreaker/ sweatshirt semasa bersenam atau berjoging kononnya boleh turunkan berat dan bakar banyak kalori. Namun betul ke pakai windbreaker/ sweatshirt ini selamat?
Bagi menjawab persoalan ini, seorang Pegawai Farmasi bernama Mohd Dziehan Mustapa telah berkongsi di laman Facebook tentang kebimbangannya melihat semakin ramai yang memakai windbreaker/ sweatshirt lebih-lebih lagi ketika musim panas.
Jom ikuti perkongsian bermanfaatnya ini.
MITOS BERLARI PAKAI WINDBREAKER / SWEATSHIRT
Saya UPLOAD SEMULA penulisan saya tahun lepas berkaitan penggunan windbreaker/ sweatshirt semasa berlari kerana sekarang ini musim panas. Untuk elakkan dehidrasi berlebihan sehingga membawa mudarat serta Mitos di sebalik pemakaian seperti ini ketika berlari, boleh baca penulisan saya ini untuk kefahaman lanjut
Apa yang kita pakai semasa berlari adalah perkara yang penting. Pakaian yang sesuai akan buat kita rasa lebih selesa semasa berlari.
Saya sering berlari petang hari dan melihat beberapa pelari lain di taman rekreasi yang memakai windbreaker/ sweatshirt semasa berlari.
ADAKAH PEMAKAIAN WINDBREAKER/ SWEATSHIRT ADA KELEBIHANNYA UNTUK BOLEH BAKAR LEBIH KALORI?
Semua tahu apabila kita berlari degupan jantung kita akan meningkat untuk hantar lebih banyak bekalan darah beroksigen ke otot-otot. Lebih degupan jantung, lebih tenaga diperlukan, lebih kalori akan dibakar.
Apabila seseorang itu memakai windbreaker/ sweatshirt, suhu badan seseorang itu akan meningkat, seterusnya peredaran darah meningkat dan degupan jantung juga akan meningkat.
Peningkatan degupan jantung ini adalah bertujuan untuk menyeimbangkan suhu badan. Hasil daripada peningkatan degupan jantung itu, tubuh akan bakar lebih kalori. Walau bagaimanapun, idea ini tidak semestinya bagus.
Ads
HEAT EXHAUSTION
Keletihan haba (heat exhaustion) berlaku apabila suhu badan meningkat dan tubuh badan tak mampu seimbangkan ia semula. Keletihan haba juga mungkin boleh berlaku dalam keadaan melakukan beberapa aktiviti fizikal/ senaman secara berlebihan.
Oleh itu memakai windbreaker/ sweatshirt semasa berlari cenderung untuk mendapat keletihan haba atau dalam keadaan lebih serius boleh menyebabkan stroke haba lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang panas ketika ini.
Pembakaran jumlah kalori bergantung kepada dua perkara iaitu “intensiti dan tempoh” melakukan aktiviti fizikal. Peningkatan degupan jantung menyebabkan pembakaran kalori lebih cepat.
Peningkatan degupan jantung menunjukkan intensiti sesuatu aktiviti fizikal itu. Walau bagaimanapun, aktiviti fizikal berintensi tinggi sukar untuk dikekalkan dalam tempoh masa yang lama. Dalam erti kata lain adalah; ‘cepat penat’.
Oleh kerana windbreaker/ sweatshirt akan meningkatkan intensiti senaman anda, ia mungkin mengehadkan tempoh senaman (cepat penat), seterusnya ia menafikan manfaat pembakaran kalori secara optimum.
Ads
MITOS TURUNKAN BERAT LEBIH CEPAT
Terdapat satu mitos jika memakai lapisan tambahan pakaian semasa berlari/ bersenam boleh membuat seseorang itu menurunkan berat badannya lebih cepat, kerana berpeluh lebih banyak.
Walaupun memakai windbreaker/ sweatshirt akan membuat seseorang itu berpeluh lebih banyak dan berpeluh lebih banyak ini secara tidak langsung membakar lebih banyak kalori melalui peningkatan kadar degupan jantung, sebenarnya sebahagian besar berat badan yang hilang melalui berpeluh adalah ‘berat air’.
Kehilangan berat badan seperti ini adalah bersifat sementara dan bukan jenis penurunan berat badan yang sihat atau berkekalan.
ELAK PAKAI KETKA MUSIM PANAS
Maka, jika berlari dengan windbreaker/ sweatshirt dan badan menjadi terlalu panas, dinasihatkan agar buka windbreaker/ sweatshirt tersebut dengan segera agar suhu tubuh kembali stabil semula dan minum air untuk hidrasi tubuh.
Ads
Sebaik-baiknya bagi pendapat saya, pakai baju berlari yang sesuai dan tidak perlu tambah dengan lapisan windbreaker/sweatshirt. Terutama pada ketika musim panas sekarang ini.
Mungkin pemakaian windbreaker/ sweatshirt dilihat sesuai jika kita berlari pada ketika awal pagi dan suhu sekitaran yang sejuk.
Namun jika matlamat untuk kurang berat badan melalui peluh berlebihan dengan memakai windbreaker/ sweatshirt; ia adalah satu mitos. Ia agak kurang sesuai dan boleh menyebabkan keletihan haba seterusnya stroke haba.
Jom kita berlari dan pakai pakai pakaian sukan dan kasut yang sesuai. Oh yer, jangan lupa menutup aurat juga ?
Pegawai Farmasi Anda
Mohd Dziehan Mustapa
Medical Mythbusters Malaysia (M3)
Jabatan Meteorologi Malaysia baru-baru ini telah menyatakan bahawa negara kita sedang berada pada penghujung Fasa Monsun Timur Laut. Taburan hujan di Semenanjung Malaysia adalah rendah dan cuaca menjadi panas.
Anda sendiri pasti dapat merasakan bahang yang cukup hangat dirasaikan terutamanya pada waktu siang. Bahkan pada waktu malam juga rasa panas itu begitu meluap-luap. Dalam kondisi cuaca panas seperti ini, sebenarnya kita turut terdedah dengan risiko strok haba.
Jika suhu persekitaran mencecah 36 darjah ke atas ia merupakan satu kondisi yang sangat bahaya terutamanya kepada kanak-kanak. Jadi kita harus mainkan peranan abgi memastikan bukan sahaja diri sendiri malah ahli keluarga terutamanya anak-anak kecil terlindung dari risiko ini, .
Gelombang haba yang tidak diberikan perhatian khusus boleh menyebabkan ramai terdedah dengan strok haba kerana ia boleh memberikan kesan secara langsung terhadap jantung dan masalah pernafasan.
Terdapat beberapa langkah pencegahan yang anda boleh ambil. Antaranya;
Air adalah elemen sangat penting bagi melawan strok haba. Mnumlah air dengan secukupnya. Air terbaik ialah air telah dimasak, air mineral, atau jus buah untuk membantu menyegarkan badan. Ini juga bagi mengelak badan daripada berdepan dehidrasi. Buat sementara waktu ini elakkan minuman berkafein kerana ia menyumbang kepada dehidrasi.
Jangan pula dalam cuaca yang panas anda memakai pakaian untuk musim sejuk. Begitu juga dengan kanak-kanak. pastikan pakaian itu daripada bahan yang ringan dan longgar. Selain itu elakkan juga warna gelap kerana ia menyerap haba panas. Jika lakukan aktviti luar, pakailah topi atau apa-apa aksesori melindungi kepada daripada terdedah cahaya matahari secara terus.
Buah-buahan dan sayuran mempunyai kandungan air yang tinggi. Contohnya sayur seperti timun dan tembikai. Memakan buahan segar juga boleh membantu mengekalkan suhu badan. Antara makanan yang anda perlu kurangkan atau elak pula ialah makanan pedas, berminyak dan protein tinggi kerana ia boleh meningkatkan haba metabolik memanaskan badan.
Jika berada di rumah mandilah sekurang-kurangnya tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, tengahari dan malam. Atau anda boleh sejukkan badan dengan merendamkan kaki ke dalam bekas air sejuk. Penggunaan tuala basah diletakkan di atas kepada atau bahu juga boleh membantu menyejukkan badan.
Amatlah tidak elok jika kulit terdedah dengan panas cahaya matahari secara terus dalam masa yang lama. Oleh itu anda perlu sapukan krim pelindung matahari pada bacaan SPF 15 atau lebih tinggi. Satu perkara anda perlu ingat krim SPF ini melindungi daripada sinaran UV tapi bukanlah bertindak sebagai pelindung dari panas.
Jika anda menunggu seseorang di dalam kereta jangan biarkan duduk dalam keadaan panas. Jika tidak mahu menggunakan penghawa dingin bukalah tingkap agar udara mengalir dengan baik. Paling penting jangan sesekali tinggalkan kanak-kanak dalam kereta. Sudah banyak kes melibatkan kanak-kanak tertinggal dalam kereta hingga menyebabkan kematian telah dilaporkan.
Sama ada di kediaman atau di pejabat anda harus memastikan yang ia mempunyai pengudaraan yang baik. Jika ruangan tersebut tiada penghawa dingin anda boleh menggunakan kipas angin. Walaupun tak berapa membantu menurunkan suhu namun sekurang-kurangnya ia membantu pengudaraan lebuih baik.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Untuk menjadi fit dan sehebat hari ini bukan mudah. Mohd Arif Afifi Bin Mohamad Sukri yang berusia 26 tahun melalui 7 kali try and error untuk mendapatkan berat badan idaman dan menjadi Fitness Trainer hari ini. Ikuti pengalamannya dalam melalui liku-liku untuk menurunkan berat badan.
*Boleh ceritakan sedikit perjalanan coach kurangkan berat badan?
Cerita nak diet ni sebenarnya dah teringin nak mula dari sekolah menengah lagi. Kerana berat badan masa sekolah menengah saya tergolong di kalangan mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Kemudian berat naik ketika saya sambung pengajian di peringkat Diploma dan seterusnya di peringkat Ijazah.
Perjalanan diet saya tidaklah seindah hamparan permaidani merah. Adakala ia ditaburi dengan kaca, kerikil dan juga duri-duri sepanjang saya diet itu. Cabaran ini datang dari pelbagai sudut. Dari diri sendiri, dengan nafsu makan yang membuak, kawan-kawan dan juga suasana persekitaran.
Saya pernah ditanamkan ke dalam pemikiran bahawa saya tidak akan kurus. Kerana keluarga saya besar-besar belaka. Lalu dijadikan alasan obes disebabkan keturunan. Masa gemuk orang selalu pujuk hati cakap takpe gemuk pun. Asalkan sihat dah ok.
Sebenarnya tidak. Itu hanyalah ayat penyedap hati yang selalu diulang-ulang untuk menyejukkan hati. Walhal tuan tubuh sendiri tahu betapa tidak bagus dan tidak sihatnya mempunyai masalah berat badan berlebihan ini. Pergerakan terbatas, aktiviti yang terhad, sistem pernafasan tidak bagus ( mudah penat) dan masalah kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi dan juga kandungan gula yang tinggi. Semua ini bukanlah satu hal yang baik.
Lebih sedekad saya hidup sebagai orang yang obes, hinggalah pada tanggal 2 Februari 2015 saya telah bulat hati untuk laksanakan perubahan. Tarikh itu dipilih memandangkan ia adalah tarikh lahir saya yang ke 23. Maka selepas membuat beberapa pembacaan tentang diet saya pun memulakannya secara perlahan-lahan.
Masa diet saya tak buat semua benda sekaligus. Saya mula secara berperingkat. Saya tahu kalau buat semua sekaligus diet saya akan temui kegagalan. Saya set pada minda diet bukan nak turun berat badan sahaja. Tetapi juga menjaga kesihatan saya. Kurus pula adalah satu bonus yang penting badan saya sihat dan cergas.
Saya mula dengan limitkan air manis sahaja pada permulaan dan lama kelamaan saya tingkatkan kualiti diet dengan kurangkan pula nasi, makan secara berjadual dengan baik, disiplin dengan rutin dan pekakkan telinga dari apa yang orang sindir-sindir. Saya jelas dengan apa yang saya buat itu buatkan saya gembira.
Saya perasan dalam diet yang buatkan saya berjaya ini adalah sepanjang diet saya tidak langsung pernah stress. Dan tak pernah pun anggap yang saya sedang diet yang ketat. Hanya setkan sebagai yang saya sedang menjaga kesihatan agar jadi lebih baik. Penimbang pun saya tak timbang hari-hari. Saya buat dengan enjoy sekali.
Itulah pertama kali saya rasa diet tidak stress dan seronok ya amat. Saya gembira dari rutin yang saya buat bila ia dibuat secara berperingkat. Lagi seronok pada setiap kali hujung minggu saya akan buat cheat day. Benda ni wajib untuk saya. Yalah dah 6 hari saya on track dengan diet, apa salahnya saya ambil satu hari untuk raiakan diri.
Maka bila cheat day tu saya akan makan segala bend yang saya tak sentuh masa on track. Air manis, makanan yang minyak-minyak sikit dan kuantiti pun akan lebih pada hari tulah. Cuma ingat hari tu sahaja. Hari lain on track.
Saya juga selalu pujuk hati dan maafkan diri sendiri. Kalau saya tersasar haritu saya akan kata takpe, esok akan usaha lain. Begitulah. Hinggalah satu hari seorang sahabat rumah saya minta saya pakai baju yang lebih kecil. Alangkah gembiranya bila saya dah mula boleh sarung baju saiz L. Sebelum ni kemana-mana pun saya pakai baju saiz XXXL tanpa sedar bahawa baju saiz L dah boleh sarung. Seronok ya amat.
Disitulah saya dapat tahu dan perasan bahawa berat saya sudah mula berkurang dan ada perubahan inchloss dalam badan.
*Berapa lama tempoh yang diambil?
“Fasa pertama saya fokus pada kardio. Yang menyebabkan berat saya turun secara mendadak dalam tempoh kurang lebih dalam tempoh 3 bulan. Selepas itu saya mula menaikkan sedikit berat badan dan fokus pada beberapa senaman beban. Kurang lebih makan waktu hampir setahun juga.”
*Apa diet yang diamalkan?
Sebenarnya banyak jenis diet yang telah diamalkan oleh orang ramai. Namanya pula sangat pelbagai. Secara umum diet semuanya terkait dengan bagaimana pengambilan kalori kita seharian. Saya memilih untuk diet dengan mengawal kalori yang masuk ke dalam badan. Dan ia dilakukan secara konsisten, sabar dan penuh disiplin.
*Bagaimana pemakanan? (makanan yang diambil dan dielakkan)
Masa diet dulu saya masih makan nasi seperti biasa. Tak ada tinggal nasi sebab saya tahu orang melayu dan nasi itu sukar untuk dipisahkan. Saya sebagai melayu sejati mestilah tak tinggal nasi. Itu yang utama. Haha. Cuma apa yang saya buat adalah kurangkan kuantiti nasi yang diambil. Orang akan terkejut bila saya cerita, sepanjang diet dulu saya makan nasi 2-3 kali sehari. Namun itu yang saya buat.
Cuma nasi itu hendaklah diambil dalam sukatan terkawal dan sederhana. Saya sentiasa disiplinkan diri untuk makan nasi pada setiap kali waktu makan dengan jumlah segenggam tapak tangan sahaja tidak lebih. Itu yang saya buat.
Untuk makluman juga saya amat pantang dengan air manis. Sepanjang diet saya tak sentuh langsung air manis dan hanya fokus kepada air kosong sahaja. Jadi di situ saya dah boleh jimat kalori dari air manis. Hehe.
Selain itu sumber protin juga saya memilih yang kurang lemak dan garam. Amat elakkan protin yang dimasak dengan rendaman minyak penuh (Deep Fried) dan saya banyak fokus pada makanan jenis rebus-rebus atau bakar-bakar sahaja yang semestinya lebih mesra kalori.
Sayur tidak tinggal. Walaupun saya bukanlah penggemar sayur satu ketika dahulu. Namun bak kata orang, Nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Maka saya cekalkan hati untuk makan juga sayur. Itulah sedikit sebanyak pemakanan yang saya amalkan dan saya sentiasa variasikan makanan saya. Tidak terikat dengan menu-menu yang sama sahaja setiap hari.
Saya makan 5-6 kali sehari. Bukan diet tahan lapar tak makan apa-apa dari pagi sampai malam. Saya aturkan jadual makan dengan baik. Ada sarapan, minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam, dan supper. Semuanya ini masih dalam kawalan dan kalori yang bersesuaian dengan saya.
Namun seminggu sekali saya masih adakan cheat day. Untuk rewardkan untuk diri sendiri.
*Bagaimana pula dengan senaman yang diamalkan?
Senaman itu saya buat. Supaya badan saya tetap aktif dan bukan kurus semata-mata tetapi tidak cergas. Sewaktu berat 125kg dulu saya tak mula dengan joging atau buat aktiviti fizikal yang membebankan lutut. Saya belajar dari kesilapan dulu yang saya sangka kalau nak diet wajib joging. Walhal saya sendiri tidak mampu disebabkan masalah berat badan.
Jadi apa yang saya buat? Saya fokus untuk ambil waktu pada setiap petang untuk berjalan kaki sekurang-kurangnya 20 minit sehari. Ini sudah memadai bagi saya kerana saya tidak mampu untuk berjoging ketika itu akibat masalah berat badan. Saya juga banyakkan kegiatan aktifkan diri. Dengan banyak turun naik tangga, kurangkan ambilan lif, parkir kereta jauh-jauh dan jika ke pasaraya untuk beli barang saya akan pusing dua tiga kali pasaraya tu barulah beli barang. Ini antara rutin saya buat.
Lama kelamaan bila berat saya mula mencecah angka 98kg, barulah saya mula joging dengan kadar perlahan ikut kemampuan. Selepas itu mula perlahan-lahan dengan buat senaman beban dan beberapa aktiviti lain seperti push up, sit up dan beberapa rutin lain dalam senaman.
*Pernah putus asa?
Pernah dan banyak kali sebenarnya. Lebih dari 7 kali percubaan diet yang saya buat bermula dari sekolah lagi. Namun kebiasaan mampu bertahan selama 3 hari sahaja. Selepas itu akan kelaut semula. Banyak faktor gagal ini sebenarnya. Kurang disiplin, ilmu diet yang tak betul dan buat berdasar ikut-ikutan sahaja.
Kegagalan adalah satu pengalaman berharga untuk terus maju ke hadapan.
*Apa yang menjadi kekuatan untuk kekal bersemangat menurunkan berat badan?
Tidak ada kekuatan yang terkuat melainkan diri sendiri. Diri sendiri yang kena kuat. Kemudian barulah boleh ditagih kekuatan itu dari ahli keluarga dan sahabat handai yang baik. Namun semestinya dalam setiap usaha saya selalu sandarkan usaha dan kekuatan saya kepada Tuhan. Setiap hari saya akan doa memohon kekuatan dan istiqamah. Tanpa izin dan kekuatan dariNya saya takkan jadi apa yang saya dapat sekarang.
*Bagaimana penerimaan keluarga saat mengetahui coach sedang berusaha mengurangkan berat badan?
Pada awalnya mereka sendiri tidak percaya. Bahkan ada yang anggap saya hanya hangat-hangat tahi ayam saja. Abah pula selalu cakap, “Kita tengoklah Abang Arif tahan lama mana dengan diet dia?” Hehe. Ini saya fikir cabaran dari abah barangkali. Namun dalam hal ini saya amat bersyukur, emak sangat menyokong. Beliaulah dietitian tak bertauliah saya yang pertama.
Ketika saya nyatakan hasrat mahu diet emak yang tolong masakkan makanan khas buat saya. Lauk-lauk pun semuanya rebus dan bakar-bakar sahaja. Syukur hari ni saya mampu balas kepercayaan yang emak dah bagi selama ini!
*Antara dialog yang dilemparkan kepada coach yang membuatkan coach tak boleh lupa?
“Kau diet lah camana pun. Gemuk tetap akan gemuk dan takkan berjaya punya, kau ditakdirkan untuk gemuk dan orang gemuk selalu ketinggalan.” Hehe. Itu antara dialog popular. Bab kena panggil dengan gelaran King Kong, Badak masa sekolah dulu dengan kawan-kawan perempuan tu biasalah. Hehe.
*Bagaimana pula dengan nasihat dan dialog positif yang diterima, boleh kongsikan?
Walaupun dikelilingi dengan persekitara yang negatif semasa proses diet ini saya masih lagi ada lagi sebagian komuniti positif yang sentiasa menyokong. Kata yang selalu saya pegang, Perjuangan ini adalah perjuangan antara saya dengan diri sendiri. Tidak perlu fikir tentang apa yang orang lain akan terima. Jika dibuat pun tak untungkan tak untungkan mereka, jika ditinggal pun tak merugikan mereka.
Fokus dan buat untuk diri sendiri. Biar mereka yang pandang rendah hari ni akan terpaksa melangut tinggi bila dah berjaya. Buktikan!
*Dari mana coach belajar tentang pengambilan makanan yang betul?
Sebelum mula diet secara serius ini saya telah buat beberapa pelaburan ilmu dengan belajar dari kawan-kawan saya di bidang perubatan dan juga dietitian. Selepas itu saya mula membaca blog-blog kesihatan yang ada. Salah satunya dari Coach Kevin Zahri (Cikgu Fitness Malaysia) yang memberi tunjuk dan panduan bagaimana melakukan diet secara sihat.
*Apa pendapat coach mengenai penjagaan makanan yang sihat dan juga senaman? Penting ke?
Sangat penting. Penjagaan makanan membantu dalam mengurangkan berat badan. Namun senaman akan terus mencergaskan badan dan bina stamina dan otot yang lebih kuat. Dalam diet kurus bukan matlamat. Tetapi badan yang cergas dan sihat juga antara fokus utama. Tidak dapat tidak, senaman mesti jadi keutamaan juga. 80% jaga makan, 20% senaman.
*Coach pernah mencuba supplemen kurus ke?
Tidak pernah. Suka Neutral.
*Apa pandangan coach mengenai suplemen kurus?
Terpulang bagi mereka yang mahu gunakan. Itu atas pilihan masing-masing. Namun nasihat saya cuba dapatkan dahulu semakan kesihatan dari doktor sebelum menggunakan sebarang suplemen. Kerana risiko yang amat tinggi bagi mereka yang tidak tahu status kesihatan bila guna supleman secara tak terancang. Semestinya nasihat mestilah dari mereka yang berautoriti dan bukan dari penjual suplemen itu.
Suplemen bukanlah ubat kurus. Itu yang harus disetkan oleh minda. Saya sendiri tidak menggunakan sebarang suplemen dan sememangnya kita semua boleh kurus walau tanpa suplemen. Jika mahu jimat dietlah secara alami tanpa suplemen.
*Peristiwa yang tak dapat dilupakan sepanjang weight loss journey?
Gambar saya ditangkap masa tengah berjoging dan muka kepenatan gila (masa tu tengah gemuk lagi) lalu dimasukkan ke dalam grup whatsapp dan saya kena bahan dengan member-member. Hahaha. Disindir oleh rakan-rakan sekelas dan begitulah keadaannya.
*Apa nasihat coach kepada orang ramai yang ingin mengurangkan berat badan?
Niat kena jelas dan fokus haruslah diberikan sepenuhnya semasa diet. Nak diet jangan buat semua secara drastik. Buatlah secara berperingkat dan jangan ikut menu orang itu atau orang ini. Lain orang lain citaranya. Binalah plan pemakanan kalian yang tersendiri. Yang penting masih menepati menu masakan sihat dan berkualiti.
Untuk senaman pula jangan buat apa yang orang lain boleh buat. Ikut dan buatlah senaman mengikut keupayaan diri masing-masing. Stamina dan tahap kecergasan kita tidak pernah sama. Lakukan mengikut kemampuan diri akan mengurangkan risiko untuk kecederaan yang berpanjangan.
Selain itu janganlah rasa stress dalam usaha diet ini. Buatlah ikut kemampuan dahulu. Sentiasa maafkan diri sendiri juga antara faktor kejayaan dalam diet. Sabar dan elakkan sikap tergopoh-gopoh terutama memikirkan tentang berat yang tak turun-turun. Bertenanglah kawan. Badan gemuk pun bukan makan sehari dua, tetapi bertahun lamanya bukan? Maka berilah badan waktu untuk faham diet yang kalian buat dan bersabar semasa prosesnya. Saya juga menasihati agar kalian buatlah sedikit pelaburan ilmu dengan pergi ke kelas atau seminar kecergasan dari mana-mana coach atau dietitian sekalipun. Belajar dan galilah ilmu diet dari kelas-kelas yang mereka anjurkan, Insyaallah ia akan jadi satu pelaburan ilmu yang baik.
Doa saya sentiasa mengiringi kalian yang ingin menurunkan berat badan secara sihat. Jika saya boleh kalian juga pasti boleh. Semoga terus istiqamah dan konsisten dengan apa yang kalian laksanakan. Tamatkan apa yang telah dimulakan.
Untuk info lanjut boleh ke FB dan IG Coach Mohd Arif Afifi Bin Mohamad Sukri.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Masalah nak buang perut buncit memang sukar. Jika dulu, perut buncit selalu muncul selepas lelaki berkahwin terutamanya jika jarang melakukan senaman. Tetapi kini, lelaki yang belum berkahwin pun perutnya sudah maju ke depan.
Tahukah anda, ada cara yang pantas untuk buang perut buncit? Janji anda lakukan dengan konsisten dan jaga pemakanan, masalah perut buncit akan mudah untuk diatasi.
Pelbagai kaedah boleh dilakukan untuk menghilangkan perut buncit sehingga ada yang menawarkan kos yang tinggi. Namun, dengan 5 senaman mudah ini anda dapat buang perut buncit walaupun sambil baring.
Senaman ini mengutamakan kekuatan atas perut dengan cara mengangkat kedua lutut merapati dada. Senaman kekuatan otot perut bahagian atas adalah perkara yang paling mudah dalam semua latihan senaman perut dan memberikan hasil yang paling cepat. Lakukan dalam kiraan 20.
Luruskan kaki ke hadapan dan angkat sedikit. Kemudian kedua belah kaki digerakkan ke atas ke bawah secara bersilang sambil kepala ditinggikan sedikit. Ia dapat menghilangkan lemak pada bahagian tengah perut dan menguatkan otot perut. Lakukan dalam kiraan 20.
Senaman ini mengutamakan kekuatan seluruh otot perut. Ia hampir sama dengan senaman crisscross. Cuma kali ini angkat kaki ke atas dan hayunkan kaki secara bersilang seperti anda sedang berenang. Pergerakan kaki tidak perlu terlalu laju atau terlalu perlahan. Lakukan secara sederhana. Lakukan dalam kiraan 20.
Senaman ini dilakukan dengan cara menyilangkan satu kaki pada lutut kaki yang digunakan sebagai sokongan. Kemudian badan diangkat ke arah silang kaki tersebut. Senaman ini hampir sama dengan knee up crunch tetapi ada sedikit penambahan. Ia bertujuan untuk menguatkan otot bahagian atas dan sisi perut bahagian atas. Lakukan dalam kiraan 20.
Senaman ini mengutamakan kekuatan bawah dan tengah perut. Sebenarnya senaman legs lower ini boleh dilakukan dalam dua cara. Cara pertama, angkat kaki kanan lurus ke atas berselang seli dengan kaki kiri. Atau lakukan cara kedua dengan mengangkat kedua-dua belah kaki lurus ke atas sehingga 90 darjah. Lakukan dalam kiraan 20.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
adidas gegarkan langit Kuala Lumpur dengan drone show spektakular sempena FIFA World Cup 2026™ sambil bawakan pengalaman bola sepak immersive untuk peminat tempatan.