Untuk tampil lebih kemas di pejabat atau pun majlis besar, kebanyakan lelaki pasti akan bercukur terlebih dahulu. Raut wajah yang kemas dan bersih akan kelihatan lebih segak. Mungkin itu dulu, tetapi trend lelaki bermisai, berjanggut atau berjambang telah menjadi simbolik kepada lelaki moden dan maskulin hari ini. Ia tidak lagi dilihat sebagai penampilan selekeh kerana ia mampu menyerlahkan aura untuk tampil lebih macho dan seksi.

Alasan lelaki berjambang

Ternyata trend berjambang di kalangan lelaki kembali menular. Sudah pasti ia rapat dengan karakter serta sifat maskulin seseorang lelaki itu. Malah terdapat beberapa alasan lain mengapa lelaki tampil untuk berjambang.

1-Ada yang kata, seseorang lelaki yang berjambang sangat cool. Ia berikan satu aura misteri dan classy pada lelaki tersebut.

2-Dengan menyimpan jambang menyerlahkan kelelakian seseorang lelaki. Watak-watak aktor dalam filem seperti Russell Crowe (Maximus), Hugh jackman (Wolverine) menyerlahkan sifat sebenar lelaki.

3-Ia adalah satu daya tarikan kepada kaum wanita walaupun mungkin tidak semua wanita menyukai lelaki berjambang. Cuba anda berjambang dan tanya pasangan anda. Adakah mereka suka?

 

 

Kemas dan rapi selalu

Jika anda ingin bermisai, pastikan ia digunting atau dikemas dengan rapi. Untuk yang berjanggut pula, janggut perlu digunting lalu dicukur sehinggalah tumbuh dan raut wajah akan berkumis di kemudian hari. Begitu juga untuk individu yang memiliki jambang.

Tidak menjadi masalah jika ingin bermisai, berjanggut mahu pun berjambang. Pastikan anda tahu kepentingan memiliki jambang, kesesuaiannya di bahagian muka dan ketahui beberapa kaedah penting untuk memastikan ia dipelihara dengan rapi.

 

Apa perlu anda lakukan?

– Gunting, gunting, gunting! Jangan sesekali lupa untuk amalkan tabiat ini setiap kali berada di bilik mandi terutamanya pada waktu pagi.
– Sebelum bercukur, pastikan misai, janggut dan jambang digunting terlebih dahulu. Ia penting agar tidak menjejaskan mata pisau cukur.
– Gunakan pisau cukur yang bersih dan tajam. Sekiranya tumpul, gantikan dengan segera untuk mengelakkan bakteria.
– Jika perlu, gunakan krim buih cukur. Ratakan ia di bahagian zon cukur. Bilas sehingga bersih dan lengkapkan prosedur ini dengan cecair ‘aftershave.’
– Seperti rambut, jambang juga perlu dibersihkan dengan syampu agar kelihatan rapi selepas mandi.

-Gunakan sikat atau tangan untuk merapikan jambang dengan baik.

 

Apa perlu anda elak?

– Jangan sesekali bercukur dengan pisau cukur yang lama. Pastikan ia tidak berkarat agar bakteria tidak merebak di bahagian muka yang boleh menyebabkan kulit gatal.
– Elakkan bercukur dengan kulit yang kering kerana ia boleh menyebabkan luka. Cuci muka terlebih dahulu.
– Sekiranya alahan terjadi apabila bercukur menggunakan krim cukur dan ‘aftershave’, jangan gunakan produk tersebut. Rujuk pakar untuk mengetahui produk yang bersesuaian untuk digunakan.
– Jangan gunting atau trim sesuka hati setelah sekian lama menyimpan jambang. Kunjungi salun rambut dan dapatkan nasihat tukang gunting.

 

 Berjambang ikut kesesuaian

– Jika pertama kali ingin menyimpan jambang, teliti sepenuhnya kesesuaian berjambang kerana tidak semua lelaki boleh memiliki jambang dengan baik apatah lagi jika ia disimpan untuk jangka masa yang panjang.
– Memiliki jambang juga berkait rapat dengan pekerjaan setiap individu. Tidak semua syarikat membenarkan pekerja mereka menyimpan jambang walaupun berjambang sudah pun menjadi trend terkini.
– Tanyakan pendapat kenalan atau mereka yang lebih pakar jika kurang berkeyakinan untuk membela jambang. Zon kelakian diri dapat ditingkatkan melalui pendapat dan nasihat.

Tinggalkan Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara Ideaktiv Sdn Bhd • Dikendali Oleh Astro Group

error: