
Ramai melihat bersenam sebagai antara cara untuk menurunkan berat badan atau mendapatkan bentuk tubuh lebih menarik.
Hakikatnya, aktiviti fizikal sebenarnya mempunyai kesan jauh lebih besar terhadap kesihatan keseluruhan tubuh.
Menurut kajian UK Biobank mendapati bahawa individu yang aktif bersenam secara konsisten mempunyai risiko lebih rendah untuk mengalami pelbagai penyakit kronik, termasuk penyakit yang berkait rapat dengan penuaan, jantung dan metabolik.
Malah, gaya hidup aktif juga dikaitkan dengan peningkatan kualiti hidup, tahap tenaga lebih baik dan kesihatan mental yang lebih stabil.
Risiko Dementia Turun Sehingga 63 Peratus
Antara penemuan paling menarik ialah individu yang aktif bersenam mempunyai risiko 63 peratus lebih rendah untuk mengalami dementia.
Aktiviti fizikal atau bersenam membantu meningkatkan aliran darah ke otak selain menyokong fungsi memori dan kesihatan sel saraf.
Senaman juga dipercayai membantu mengurangkan keradangan dalam badan yang sering dikaitkan dengan kemerosotan fungsi kognitif apabila usia meningkat.

Diabetes Type 2 Juga Dapat Dikurangkan
Selain itu, individu aktif turut mencatat risiko 60 peratus lebih rendah untuk mendapat diabetes Type 2.
Ini kerana senaman membantu meningkatkan sensitiviti insulin dan membolehkan tubuh menggunakan glukosa dengan lebih efisien.
Aktiviti seperti berjalan laju, jogging, berbasikal atau resistance training boleh membantu mengawal paras gula dalam darah secara lebih konsisten.
Risiko Fatty Liver Semakin Rendah
Penyakit fatty liver atau hati berlemak juga kini semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia akibat pemakanan tidak sihat dan gaya hidup sedentari.
Namun individu yang aktif bersenam dilaporkan mempunyai risiko 48 peratus lebih rendah untuk mengalami masalah tersebut.
Senaman membantu tubuh membakar lemak berlebihan selain meningkatkan fungsi metabolik hati.

Sistem Pernafasan Lebih Sihat
Aktiviti fizikal juga memberi manfaat besar terhadap sistem respiratori.
Mereka yang konsisten bersenam mempunyai risiko 44 peratus lebih rendah untuk mengalami penyakit respiratori kronik.
Ini termasuk masalah berkaitan fungsi paru-paru dan kesukaran pernafasan yang sering dikaitkan dengan gaya hidup tidak aktif.
Lindungi Kesihatan Buah Pinggang
Kajian turut mendapati risiko penyakit buah pinggang kronik dapat dikurangkan sebanyak 41 peratus dalam kalangan individu aktif.
Aktiviti fizikal membantu meningkatkan tekanan darah lebih stabil, kesihatan saluran darah dan fungsi metabolik yang memainkan peranan penting dalam kesihatan buah pinggang.

Kurangkan Risiko Penyakit Berkaitan Keradangan
Selain penyakit fizikal biasa, gaya hidup aktif juga membantu mengurangkan risiko penyakit keradangan berkaitan sistem imun sebanyak 39 peratus.
Keadaan keradangan kronik dalam badan sering dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan moden termasuk gangguan autoimun dan penyakit metabolik.
Senaman membantu tubuh mengawal tindak balas keradangan dengan lebih baik.
Jantung Lebih Sihat & Stabil
Tidak mengejutkan apabila aktiviti fizikal turut dikaitkan dengan risiko 31 peratus lebih rendah untuk mengalami masalah kardiovaskular utama seperti serangan jantung dan strok.
Senaman membantu meningkatkan kesihatan jantung, mengawal tekanan darah dan memperbaiki tahap kolesterol dalam badan.
Malah, risiko atrial fibrillation iaitu gangguan ritma jantung juga didapati 29 peratus lebih rendah dalam kalangan individu aktif bersenam.
Tidak Perlu Tunggu Jadi Atlet
Apa yang penting, manfaat ini tidak bermaksud seseorang perlu menjadi atlet profesional atau bersenam ekstrem setiap hari.
Aktiviti sederhana seperti brisk walk, jogging ringan, berenang, hiking atau latihan beban beberapa kali seminggu sudah cukup memberi kesan positif terhadap kesihatan jangka panjang.
Yang paling penting ialah konsistensi dan menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada rutin hidup.
BACA: Kecederaan Kepala Selepas Kemalangan Boleh Jadi Bahaya Senyap, Ini Simptom Yang Ramai Abaikan
Bukan Sekadar Gaya Hidup
Dalam dunia moden yang semakin sedentari, bersenam bukan lagi sekadar pilihan gaya hidup tetapi satu bentuk pelaburan kesihatan jangka panjang.
Daripada otak hinggalah ke jantung, hati dan buah pinggang, tubuh manusia sememangnya direka untuk bergerak.
Dan semakin aktif seseorang itu, semakin besar peluang untuk menikmati kehidupan yang lebih sihat, cergas dan berkualiti apabila usia meningkat.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




