Jika perkongsian fakta yang salah atau tidak tepat di bidang agama boleh menyebabkan seorang agamawan direhatkan daripada bersiaran di media arus perdana seperti stesen televisyen, perkara yang sama juga perlu dilaksanakan untuk bidang yang lain.
Hal ini disebabkan perkongsian fakta yang salah atau tidak tepat boleh berlaku di mana-mana bidang termasuklah bidang kecergasan dan kesihatan.
Seorang jurulatih kecergasan Kamarul Izzwan Zaman, atau lebih dikenali sebagai Kam Izzwan berkongsi pendapat demikian menerusi sebuah hantaran video di laman media sosialnya.
“Dalam dunia kesihatan ini banyak sangat ajaran kesihatan. Dari segi nak sihat tak boleh makan selepas pukul tujuh (pm), dari segi nak sihat tak boleh makan karbo (karbohidrat),” kata Kam susulan isu pendakwah terkenal Ustaz Don Daniyal yang direhatkan daripada sebuah program rancangan televisyen.
Ulasnya, perkongsian maklumat sebegitu boleh menyebabkan masyarakat menjadi keliru.
“Tapi kalau kita tengok kesahihan atau berdasarkan fakta, banyak sahaja fakta kata (jika) anda nak kawal gula, siapa kata tak boleh makan nasi?” tambahnya.
Oleh yang demikian, Kam berharap agar tindakan yang sama boleh dilaksanakan kepada bidang kecergasan dan kesihatan juga.
Sampaikan Ilmu Berdasarkan Fakta Sahih, Bukan Sekadar Pengalaman
Tambah Kam, seseorang penceramah kesihatan atau kecergasan perlu menyampaikan ilmu berdasarkan fakta dari sumber kajian yang sahih, bukan sekadar dari pengalaman peribadi semata-mata.
“Kalau anda cakap sesuatu, jangan sekadar cakap ‘dulu saya berjaya turun 10 kilogram sebab saya buat macam ini’. Itu bukan kesahihan, itu pengalaman.
“Kesahihan ialah lebih kepada ‘mengikut fakta, mengikut kajian, inilah sebab mengapa anda masih boleh makan sebelum tidur. Inilah sebab mengapa anda masih boleh makan karbohidrat dan mengurangkan lemak’. Itu kesahihan dan juga fakta,” jelas Kam.
Terdahulu, seorang pendakwah terkenal iaitu Ustaz Don Daniyal Don Biyajid direhatkan daripada bersiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM), susulan isu pertikaian di media sosial berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.
Ads
Memetik laporan Harian Metro, Ustaz Don menerusi sebuah siaran radio telah mendakwa Baginda pernah melamar seorang wanita bernama Ummu Hani sebanyak tiga kali, yang juga dikatakan cinta pertama Baginda.
Kenyataan Ustaz Don itu kemudian ditegur oleh beberapa tokoh agamawan namun tiada sebarang pembetulan dilakukan beliau.
Susulan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan kenyataan menjelaskan yang walaupun kisah tersebut benar, namun lamaran Baginda hanya ditolak sekali sahaja sewaktu Ummu Hani baru memeluk Islam.
Dakwaan dua lamaran yang ditolak sebelum itu adalah tidak diterima kerada sanad riwayatnya terlalu lemah dan tidak layak dijadikan sandaran.
Ads
Bahkan, kenyataan mengenai Ummu Hani merupakan cinta pertama Bagina turut diragui kerana tiada ayat Al-Quran, riwayat hadis atau athar para sahabat yang menyebut mengenai perkara ini.
Ustaz Don yang sedang mengendalikan program Salam Baitullah di stesen itu juga mencetuskan perdebatan di media sosial kerana didakwa kerap berkongsi kisah atau hadis yang tidak sahih atau terlalu dhaif, demikian lapor Kosmo.
– Percaya atau tidak, program diet rendah lemak tidak akan menghilangkan perut buncit. Perkara itu didedahkan oleh kajian yang dijalankan Universiti Colombia.
Hakikatnya, antara perkara yang boleh dilakukan adalah mengurangkan pengambilan nasi putih dan menggantikannya dengan roti gandum selain menikmati lemak sihat seperti avokado dan minyak zaitun.
Mengikut keinginan tubuh badan
– Kajian Jurnal Pemakanan Klinikal Amerika mendapati, jika seseorang memenuhi keinginan badannya ketika lapar, dia lebih cenderung makan dalam kuantiti lebih sedikit dalam tempoh tertentu.
Apabila seseorang mengidam untuk makan burger keju, dia mungkin akan makan burger keju selama beberapa hari sebelum akhirnya tubuh akan berasa bosan dan mengurangkan keinginan terhadap makanan itu namun pastikan saiz hidangannya tidak berlebihan.
Mengurangkan saiz hidangan
– Kajian mendapati individu yang mengurangkan jumlah hidangan hariannya sehingga 25 peratus akan kehilangan berat badan sehingga 15 kilogram (kg) dalam tempoh lapan minggu. Ini bukanlah langkah sukar untuk dilakukan terutama jika anda tekad melakukannya.
Di samping itu, pengambilan makanan secara terkawal pada hujung minggu juga dapat membantu seseorang mengurangkan berat badan.
Senaman bangkit tubi (sit-up) tidak menghilangkan lemak
-Sebanyak mana pun anda melakukan senaman bangkit tubi, ia tidak akan menyingkirkan lemak di perut. Ini kerana senaman ini hanya untuk menguatkan otot, namun lemak sukar terbakar hanya dengan senaman itu.
Sebaliknya, anda boleh melakukan senaman menyeluruh di bahagian otot besar yang lain seperti kaki, bahu dan dada supaya proses pembakaran lemak lebih optimum.
Banyakkan senaman kardiovaskular
– Apabila otot besar sudah dikuatkan dengan latihan bebanan, lakukan senaman kardio bagi mempercepatkan proses pembakaran lemak. Berlari atau melakukan senaman aerobik dapat membantu membakar kalori berlebihan dengan syarat pengambilan lemak buruk turut dihentikan.
Tiada guna bersenam, tetapi pengambilan makanan tetap tidak dikawal terutama makanan yang tinggi kalori.
Jangan kurang atau lebih tidur
-Tidur banyak memainkan peranan dari segi kesihatan. Kurang tidur membuatkan kadar metabolisme tubuh berkurangan, sekali gus menyukarkannya membakar lemak manakala tidur berlebihan pula membuatkan tubuh menjadi pasif dan terbiasa untuk tidak banyak bergerak.
Kedua-dua keadaan ini hanya mengakibatkan lemak berkumpul dengan lebih cepat.
Berhenti minum minuman bersoda termasuk soda berlabel “Diet”
– Kajian selama 10 tahun yang dijalankan University of Texas mendapati mereka yang kerap minum soda diet menjadi gemuk dengan lebih cepat berbanding mereka yang tidak mengambil minuman itu.
Ini kerana pemanis tiruan yang terkandung dalam minuman soda boleh membuatkan perut buncit lebih pantas dan mengundang rasa lapar dengan lebih cepat. Gantilah minuman itu dengan teh atau air lemon kosong.
Berdoa atau bertafakur
– Tahukah anda, ketika berdoa dan bertafakur, pengeluaran hormon tekanan akan berkurangan? Hormon itulah yang menyebabkan perut menjadi buncit.
Oleh itu, hindarilah tekanan dan perbanyakkan berdoa atau bertafakur untuk menenangkan fikiran dan jiwa. Walaupun hanya 15 minit setiap hari, ia sudah cukup membantu.
Gula yang sihat
-Menikmati makanan manis sudah menjadi budaya orang Malaysia, namun biarlah manis yang sihat. Buah-buahan mengandungi gula semula jadi begitu juga dengan madu.
Apabila menikmati makanan yang mengandungi gula seperti kerepek dan nasi putih, sebahagian besar kalori yang dimakan akan berubah menjadi lemak di perut.
Bersenam secara bijak, bukan secara keras
– Apabila lemak di perut semakin berkurangan tibalah masanya untuk memulakan senaman perut. Bersenamlah sehingga terasa regangannya dan janganlah berlebihan ketika melakukannya. Otot perut yang mantap membantu seseorang tampil lebih sihat dan segar.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Kanser adalah penyakit pembunuh maut yang meragut beribu-ribu manusia setiap tahun.
Siapa sangka, pendakwah bebas Ustaz Hanafi atau Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek pernah disahkan menghidap kanser limfoma tahap 4.
Namun, hari ini dia makin sihat dan terus kuat melakukan aktiviti dakwahnya malah lebih giat daripada dulu. Bercerita berdasarkan pengalamannya berdepan penyakit kanser, meski pun dugaan penyakit itu cukup besar namun ujar Ustaz Hanafi dia menerimanya dengan perasaan syukur.
“Bila saya disahkan mengidap kanser saya ucap syukur kepada Allah, saya sebut alhamdulillah. Kenapa? Kerana ia akan buat jiwa kita jadi lapang, hati akan jadi tenang.
“Kenapa tak sebut innalillah. Kalau sebut begitu ia baik, bagus. Tapi bagi orang-orang mukmin jiwa mereka redha. Orang ini bila diberi ujian mereka akan bersyukur.
“Syukurlah walaupun diberi sakit kanser, sebab ia mungkin jadi tiket kita ke syurga. Syukurlah walau tangan dipotong, lidah dipotong, pembedahan, radioterapi atau kemoterapi jangan lupa untuk bersyukur.
“Lagi sakit lagi sebut alhamdulillah. Insya-Allah sakit akan disembuhkan.
“Selain syukur, kita kena bersangka baik kepada Allah. Walau Allah beri penyakit kanser, jangan tinggal solat. Walau duduk terbaring di katil, solatlah, tak kisah di mana anda berada. Solat guna isyarat mata pun boleh, baca sekadar yang mampu.
“Ini kerana perkara pertama yang dihisab adalah solat. Oleh itu jangan tinggal solat walau sakit dan lemah macam mana pun,”ujarnya dalam satu perkongsian video dalam Facebook miliknya.
Dalam pada itu Ustaz Hanafi melalui satu sesi ceramah yang dihadiri dengan Dr Yasmeen Farouk Mohamed beliau berkongsi tip pemakanan untuk pesakit kanser. Antaranya seperti berikut:
Ini pula tip tambahan daripada VK selepas mendengar perkongsian Dr Yasmeen dalam satu temuramah di TV IKIM
Ikuti juga video perkongsian Ustaz Hanafi sempena bulan kesedaran kanser November ini.
Padat dengan tip berguna, semoga titipan Ustaz Hanafi ini membantu kita mengelakkan pencetus kanser sekaligus menguatkan para pejuang penyakit itu melawannya. Semoga perkongsian Ustaz Hanafi ini memberi manfaat buat pesakit kanser.
Punca utama jangkitan penyakit pneumonia dalam kalangan masyarakat adalah disebabkan bakteria yang dikenali sebagai Klebsiella pneumonia atau Streptococcus pneumonia.
Pesakit yang dijangkiti pneumonia peringkat sederhana akan bertambah baik dan pulih dalam tempoh tiga hingga lima hari selepas dirawat dengan antibiotik.
Keletihan dan batuk ringan boleh berkekalan selama enam minggu tetapi pesakit boleh memulakan aktiviti harian seperti biasa dalam tempoh seminggu.
Pesakit yang memerlukan rawatan hospital selalunya akan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih.
Pneumonia boleh menjadi semakin buruk bagi pesakit yang tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi. Antara risiko tersebut ialah pengumpulan cecair pada paru-paru dan lapisan dalam dinding dada yang boleh dijangkiti.
Pengumpulan nanah di kawasan paru-paru yang dijangkiti pneumonia selalunya memerlukan rawatan antibiotik berterusan manakala pembedahan membuang nanah merupakan langkah terakhir. Jangkitan paru-paru juga mampu merebak kepada organ dalaman yang lain.
Kebanyakan pesakit akan sembuh daripada radang paru-paru. Begitupun, antara 5 hingga 10 peratus mangsa mempunyai risiko maut khususnya bagi golongan yang berusia lebih 65 tahun. Golongan ini selalunya kekurangan gizi disebabkan faktor usia atau kurang akses pada makanan.
Selain itu, mereka yang mempunyai penyakit paru-paru seperti asma, kuat merokok, bronkitis kronik atau emfisema, sejarah diabetes dan penyakit jantung juga mempengaruhi jangkitan pneumonia.
Kebanyakan pesakit akan pulih sepenuhnya tetapi mereka selalunya akan mengalami kepenatan serta keletihan untuk beberapa bulan.
Jangkitan itu turut meninggalkan parut kekal dalam paru-paru yang mungkin memberi kesan jangka panjang seperti hilang keupayaan fungsi paru-paru. Antibiotik menjadi kunci rawatan pneumonia dan kebanyakan pesakit boleh dirawat dari rumah dengan antibiotik jenis tablet.
Walaupun menghidap penyakit paru-paru berair, pesakit selalunya tidak ditegah untuk meminum air dalam jumlah yang banyak. Susah untuk mencegah jangkitan pneumonia tetapi amalan kerap mencuci tangan dengan sabun dan air atau pencuci tangan berasaskan alkohol boleh membantu mengurangkan serangan pneumonia .
Sentuhan turut menyumbang jangkitan pneumonia, justeru menutup mulut dan hidung setiap kali batuk atau bersin boleh membantu mengekang penularan pneumonia. Pneumonia tidak hanya menyasarkan warga tua. Ia sebenarnya boleh menjejaskan mana-mana kumpulan umur.
KISAH LELAKI INI YANG MENINGGAL DUNIA AKIBAT PARU-PARU BERNANAH
Lelaki ini berusia 24 tahun dan belum berkahwin. Bekerja sebagai pekerja am di sebuah kedai serbaneka. Kita namakan dia sebagai “Ali”. Sudah tentu bukan nama sebenar. Ali seorang yang rajin bekerja. Tinggal bersama ibunya dan adik perempuan, manakala ayahnya sudah meninggal dunia ketika Ali darjah enam.
Suatu tengahari, Ali mengangkat barang dari lori ke stor tempat dia bekerja. Bersama Ali, adalah dua orang rakan sekerjanya. Mereka bekerja di bawah terik matahari. Seusai barang dialihkan, mereka bertiga pun lepak dibawah pohon yang rendang berhampiran. Pemetik api dikongsi, tatkala masing-masing menghembuskan asap rokok berkepul-kepul.
Pulang ke rumah petang itu, Ali berasa badannya hangat. Seperti hendak demam.“Ah, mungkin sebab tengahari tadi aku berjemur panas agaknya”, getus hati Ali.
Pada keesokan harinya, Ali masih demam suam-suam kuku dan telah mula batuk. Tapi Ali masih bekerja seperti biasa.
Hampir dua minggu demam Ali masih tidak kebah-kebah. Selera makannya sudah mula berkurang, beliau kelihatan letih dan tercungap-cungap. Batuknya semakin kuat dan kerap sehingga Ali kekurangan tidur di waktu malam.
“Engkau ni Ali, dah macam pesakit asthma dah mak tengok! Jom ikut mak pergi hospital petang ini!”. Emak Ali mula bertegas setelah dua hari Ali tidak bekerja kerana keadannya itu.
Sebaik sahaja tiba di Jabatan Kecemasan, Ali segera disorong ke ruangan asthma. Sangkaan MA bertugas, Ali mengalami serangan asthma.
“Tapi dia tak pernah ada asthma sebelum ini!” Ujar emak Ali. Ali terlalu tercungap-cungap untuk bercakap. Doktor segera datang, dan MA mengambil tanda vital sign Ali.
Tekanan darah Ali, rendah. 100/70. Nadinya pula laju, 120 sedangkan Ali tidaklah demam mana. Suhu badannya pula cuma 37.5. Namun berpeluh dan basah katil stretcher tempat Ali dibaringkan.
Kandungan oksigen didalam badannya (SPO2) nya rendah cuma 75%. Ali segera dibekalkan oksigen melalui facemask. Beliau disandarkan menegak. Saluran intravena dipasangkan dan cecair normal saline (NS) disalurkan masuk.
Juruxray berserta mesin Xray mudah alih (portable xray) dipanggil.
Hasil keputusan xray menunjukkan paru-paru kiri Ali, dipenuhi cecair. Doktor segera membuat keputusan untuk “menebuk” paru-paru Ali. Prosedur tersebut adalah thoracocentesis, iaitu cecair di ruangan pleura yang menyelimuti paru-paru Ali, perlu dikeluarkan.
Cecair ini sedang menekan paru-paru Ali, menyebabkan ianya tidak dapat kembang sepenuhnya. Ali kini seperti orang kelemasan. Apabila jarum ditusuk ke rongga pleura Ali, cecair berwarna keputihan kekuningan keluar. Bagaikan…teh tarik. Namun lagi pekat. Nanah, Ya, nanah.
Doktor memutuskan untuk menukar prosedur thoracocentesis dan memasukkan chest tube. Sebuah tiub berdiameter hampir sebesar jari telunjuk, dimasukkan ke dalam rongga pleura Ali. Tiub ini akan dipasang ke sebuah bekas vakum, yang akan terus terusan menyedut nanah dari ruang pleura paru-paru Ali.
Hampir satu liter nanah dikeluarkan. Ali semakin stabil. Bacaan oksigennya sudah meningkat ke 98% dengan bantuan wayar oksigen (nasal prong). Ali juga sudah tidak sesak nafas dan tidak lagi tercungap-cungap.
Ali dimasukkan ke wad untuk pemantauan. Chest tube tersebut akan dikekalkan sekurang-kurangnya tiga hari, setidaknya sehingga habis nanah dikeluarkan. Ali pula, perlu berada di wad untuk diberikan antibiotik kuat, Ceftriaxone, melalui saluran intravena untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu.
Ini bermaksud, dua minggu Ali perlu berada di wad. Beliau perlu menjalani latihan physioterapi yang intensif bagi memastikan paru-paru beliau kembali kembang dan berfungsi seperti sediakala. Jika tidak, beliau bagaikan manusia yang hidup dengan sebelah paru-paru sahaja. Berjalan 100 meter, sudah tercungap kebiruan.
Penyakit yang Ali hadapi ini, namanya Lung Empyema. Atau Empyema Thoracis. Ia berlaku kerana jangkitan kuman pada paru-paru. Orang sihat, kebiasannya mampu “mengalahkan” kuman ini dengan mudah.
Namun bagi orang tertentu, mempunyai sistem imun yang lemah, jangkitan kuman yang biasa mudah sahaja merebak pantas, akhirnya membentuk koloni kuman yang besar seperti empyema.
Ali tidak pernah dijangkiti Batuk Kering (TB). Beliau juga tiada penyakit kronik seperti Kencing Manis, Darah Tinggi, atau jangkitan HIV Beliau cuma seorang pemuda berusia 24 tahun yang sihat tubuh badan, bekerja buruh dan hidup bersama keluarganya. Oh ya, beliau cuma merokok sekotak tiga hari. Sejak umur 17, itu sahaja.
Merokok, menyebabkan sistem imun badan terutamanya di kawasan paru-paru yang lemah. Kerana itulah perokok, lebih berisiko mendapat empyema berbanding orang lain.
Tanyalah mana-mana doktor, pasti pernah menjumpai dan merawat pesakit seperti Ali. Pesakit seperti Ali, muncul sekurangnya sekali dalam dua bulan. Di hospital besar khasnya, mesti ada at least seorang pesakit empyema at all time. Ini kerana pesakit seperti Ali ini, perlu duduk lama di hospital paling tidak 2 minggu.
Penyakit empyema, menyerang pesakit majoritinya lelaki berusia 20 hingga 40 tahun. Most productive age, kita kata. Kesian kan, muda-muda sudah kena tahan wad dua minggu ke sebulan.
Majoriti kes empyema ini, akan berulang. Puncanya adalah kerana risk factor masih ada. Iaitu pesakit masih merokok, tak serik-serik. Recurrent empyema, akhirnya akan menjadi chronic lung disease. Umur 50 dah perlu bantuan oksigen sepenuh masa.
Rawatan untuk empyema ini agak sukar dalam anggaran 15 ke 50 peratus pesakit empyema, gagal dirawat dan meninggal dunia atas pelbagai faktor. Ali? Tiga hari didalam wad, demam Ali masih tidak mahu kebah. Ali masih batuk- batuk kuat walaupun penatnya berkurangan.
Pada pagi hari ketiga, Ali batuk kuat. Macam nak tersembur paru-paru dari mulutnya. Tiba-tiba, tersembur darah bercampur kahak yang banyak. Ya, secara literal, Ali mengamburkan paru-parunya dengan batuk. Ali mengalami komplikasi yang dinamakan bronchopleural fistula. Jangkitan yang ada, memamah isi paru-paru Ali sehingga ke bronkus (saluran pernafasan).
Dalam masa beberapa minit, Ali telah pengsan dan pucat. Doktor berhempas pula cuba menyelamatkan. Masuk tiub pernafasan. Tekan dada dan melakukan CPR. Beberapa jam kemudian, Ali disahkan meninggal dunia. Pulmonary hemorrhage iaitu pendarahan dari salur darah arteri pulmonari yang cedera ketika Ali batuk kuat tersebut.
Lagi kita nak benarkan rokok dijual dengan lebih mudah didapati?
Ramai tidak sedar mereka melakukan kesalahan ketika menggunakan treadmill. Ketahui 5 kesalahan lazim yang boleh jejaskan prestasi, tingkatkan risiko kecederaan dan pelajari cara membetulkannya untuk hasil senaman lebih berkesan.