
Bangun pagi dengan hidung tersumbat, simpan nasal spray dekat meja kerja, atau rasa tekanan dekat muka tapi anggap “alah resdung biasa” dah jadi rutin ramai rakyat Malaysia. Dalam cuaca yang tak menentu, ditambah pula aircond yang kuat, pencemaran dan habuk, simptom macam ni mudah sangat dianggap benda kecil.
Tapi menurut pakar, tabiat normalisasikan hidung tersumbat sebenarnya boleh membawa risiko lebih besar daripada yang kita sangka. Di Malaysia, sinusitis dianggarkan menjejaskan sekitar 12.8 peratus populasi, bersamaan hampir 3 juta orang yang hidup dengan masalah sinus berpanjangan.
Pakar ENT di Sunway Medical Centre Damansara (SMCD), Dr Natasha Ayla Binti Ahmad Zulkiflee dan Dr Noor Liza Ishak memberi amaran bahawa simptom yang nampak “biasa” itu mungkin petanda kepada masalah ENT yang lebih serius, dan pemeriksaan awal boleh membantu mengelakkan keadaan menjadi kronik

Bila Hidung Tersumbat Dah Tak Lagi Normal
Sinusitis berlaku bila rongga hidung menjadi radang dan tersumbat dengan mukus, lazimnya disebabkan virus, bakteria atau alahan. Dr Natasha menjelaskan, tempoh simptom sangat penting untuk menentukan sama ada ia masih kategori biasa atau patut diperiksa.
“Jika hidung tersumbat atau congested lebih daripada dua hingga tiga minggu walaupun sudah ambil ubat farmasi, itu masa untuk jumpa pakar.
“Selsema atau jangkitan virus biasanya pulih dalam tujuh hingga sepuluh hari, tetapi jika lebih lama, ia mungkin menandakan keradangan sinus, alahan, atau masalah struktur seperti septum bengkok,” jelasnya.
Antara tanda amaran yang patut anda ambil serius termasuk hidung tersumbat berterusan atau terpaksa bernafas melalui mulut, mukus pekat berwarna, tekanan muka, serta deria bau yang menurun.
Dr Natasha turut menambah, jika simptom ini datang bersama sakit kepala kerap, hingus mengalir ke tekak, nafas berbau atau berdengkur, pemeriksaan adalah sesuatu yang wajar dibuat.
Untuk kanak-kanak pula, bernafas melalui mulut secara kronik boleh memberi kesan kepada pertumbuhan rahang, struktur gigi serta kualiti tidur.
Faktor Harian Yang Buat Sinus Jadi Lebih Teruk
Ramai orang Malaysia sebenarnya “terbiasa” dengan simptom sinus sebab ia seolah-olah sebati dengan gaya hidup harian. Duduk lama dalam pejabat beraircond, ulang alik dalam trafik, terdedah kepada habuk dan asap, semuanya boleh mencetuskan iritasi pada saluran pernafasan.
“Pendedahan berterusan kepada aircond, habuk, jerebu atau asap rokok boleh menyebabkan saluran hidung menjadi radang,” kata Dr Natasha.
Beliau turut menyatakan kurang minum air dan tidur tidak teratur juga boleh memburukkan keadaan. Dalam jangka panjang, sinusitis yang meradang boleh menyebabkan keletihan dan brain fog kerana aliran oksigen tidak optimum serta tidur yang terganggu.
Dalam kes yang jarang berlaku, jangkitan hidung tersumbat atau sinus yang tidak dirawat juga boleh merebak ke struktur berhampiran seperti mata dan menyebabkan bengkak atau penglihatan menurun, atau lebih jarang, merebak ke otak. Namun menurut Dr Natasha, kebimbangan utama ialah bagaimana masalah ini secara perlahan menjejaskan kualiti hidup.
“Walaupun ia tidak kerap berlaku, kebimbangan yang lebih besar ialah bagaimana kesesakan jangka panjang boleh memberi kesan senyap kepada kualiti hidup, daripada sentiasa letih hingga produktiviti menurun,” katanya.
Bahaya Quick Fix Yang Ramai Bergantung Setiap Hari
Ramai orang mengambil jalan mudah dengan ubat semburan hidung dan antihistamin kerana ia memberi kelegaan segera. Tetapi penggunaan terlalu kerap boleh menutup punca sebenar atau menjadikan masalah lebih teruk.
Dr Noor Liza memberi amaran, penggunaan berpanjangan semburan hidung jenis decongestant boleh menyebabkan rebound congestion, iaitu hidung tersumbat menjadi lebih teruk apabila kesan ubat hilang.

“Penggunaan yang berpanjangan boleh merengsakan lapisan dalam hidung dan menyebabkan keradangan kronik. Begitu juga jika terlalu bergantung kepada antihistamin, ia boleh menutup simptom tanpa merawat punca sebenar, lalu melambatkan diagnosis masalah seperti sinusitis kronik, polip hidung, atau saluran yang tersumbat akibat struktur,” katanya.
Beliau turut menjelaskan keadaan ini boleh membawa kepada rhinitis medicamentosa, iaitu lapisan hidung menjadi bengkak dan terlalu sensitif, selain boleh menjadi kering dan membentuk kerak kecil yang mengganggu fungsi normal hidung. Dalam kes yang lebih teruk, laluan hidung boleh menjadi sempit dan menyebabkan sumbatan jangka panjang.
Bagi mengelakkan risiko, Dr Noor Liza menyarankan semburan decongestant digunakan dalam tempoh tiga hingga lima hari sahaja.
“Jika seseorang perlu menggunakan semburan itu lebih kerap, ini mungkin petanda rebound congestion,” katanya.
Rawatan Yang Lebih Tepat Bila Punca Dikenal Pasti
Menurut pakar, langkah terbaik adalah mendapatkan pemeriksaan ENT lebih awal supaya rawatan boleh disesuaikan mengikut punca sebenar, sama ada melalui ubat, prosedur minimally invasive, atau perubahan gaya hidup. Ini membantu pesakit bernafas lebih lega, tidur lebih baik dan mengurangkan risiko jangka panjang.
“Bila dirawat awal, keradangan lebih mudah dipulihkan, tidur bertambah baik, dan pesakit biasanya rasa tenaga serta fokus mereka kembali. Ia bukan sekadar boleh bernafas lebih lega, tetapi memulihkan keselesaan harian dan kesejahteraan keseluruhan,” kata Dr Natasha.
Dr Noor Liza pula menyatakan pemeriksaan awal boleh memutuskan kitaran masalah sinus berulang serta mengelakkan kerosakan jangka panjang pada lapisan hidung.
BACA: Kasut Larian Carbon Plate, Siapa Sebenarnya Yang Betul-Betul Perlukan?
“Mengesan masalah seperti alahan, keradangan sinus atau halangan struktur lebih awal membolehkan kita memulihkan fungsi hidung yang normal dan mengurangkan pergantungan kepada ubat yang berulang,” jelasnya.
Rawatan perubatan boleh melibatkan saline rinse, nasal steroid spray, kawalan alahan termasuk immunotherapy, dan antibiotik untuk kes jangkitan tertentu. Untuk kes berulang atau kronik, prosedur seperti endoscopic sinus surgery, septoplasty atau turbinoplasty boleh membantu mengurangkan sumbatan dan memulihkan aliran udara.
Untuk diagnosis yang lebih tepat, pakar akan melakukan pemeriksaan seperti nasal endoscopy dan ujian alahan. Dr Natasha menjelaskan nasal endoscopy membantu mengesan keradangan, polip, ketumbuhan atau masalah struktur yang tidak kelihatan secara luaran.
“Jika kami nampak polip atau nanah, atau halangan berterusan disebabkan turbinat yang membesar atau septum bengkok, itu biasanya menandakan keperluan rawatan yang lebih intensif atau pembedahan,” katanya.
Dr Noor Liza turut menyatakan ujian alahan penting untuk kawalan jangka panjang.
“Reaksi kuat terhadap pencetus seperti hama habuk atau debunga boleh mengesahkan allergic rhinitis dan membantu kita merancang rawatan lebih tepat seperti antihistamin, nasal steroid spray, elakkan alergen, atau immunotherapy,” katanya.
Bertindak Awal, Hidup Lebih Selesa
Kesimpulannya mudah. Hidung tersumbat yang datang sekali sekala mungkin normal. Tetapi jika simptom berlarutan berminggu-minggu, ia bukan lagi perkara yang patut anda biasakan.
Sinus congestion yang berpanjangan bukan sekadar mengganggu pernafasan, ia boleh menjejaskan tidur, tenaga, fokus dan produktiviti harian. Dan dalam jangka panjang, ia boleh menjadi masalah kronik yang lebih susah untuk dipulihkan.
Jangan tunggu sehingga hidung tersumbat jadi risiko kesihatan senyap. Dapatkan pemeriksaan lebih awal, supaya anda boleh kembali bernafas dengan lebih baik.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




