Kecederaan kaki merupakan salah satu jenis kecederaan yang sering berlaku di kalangan lelaki. Apatah lagi ia merupakan kecederaan akibat sukan seperti bola sepak dan juga larian.
Cuba tanya diri sendiri. Apakah yang anda akan lakukan bila kaki terseliuh. MASKULIN yakin ramai yang akan cuba meredakan kesakitan dengan melakukan tuam haba ke kawasan kaki terseliuh.
Atau gunakan minyak urut panas untuk legakan kesakitan. Namun pernahkah anda terfikir dan tertanya sama ada teknik itu berkesan atau tidak membawa apa-apa keburukan kepada anda.
Namun cara yang kita lakukan selama untuk atasi kaki terseliuh itu salah kerana ia mungkin boleh menyebabkan kecederaan yang semakin teruk. Sekiranya anda mengalami kaki terseliuh, ini langkah segera yang sepatutnya anda buat sebagaimana yang dikongsikan Doktor Kamarul Ariffin Nor Sadan menerusi laman Facebooknya.
Semoga perkongsiannya ini akan bermanfaat untuk anda lebih-lebih lagi untuk mereka yang kerap melakukan aktiviti berlari, berjoging atau bersenam.
BACA: Elak Terkehel Masa Lari, 4 Senaman Kaki Ini Boleh Buat Betis Berotot & Lebih Kuat!
JANGAN LAKUKAN PERKARA-PERKARA INI SEJURUS KAKI TERSELIUH!
“Doktor, lepas pergi urut, kaki saya semakin bengkak.”
Keseliuhan pergelangan kaki adalah kecederaan yang agak lazim, dan kebanyakan orang akan cuba merawat kondisi ini sendiri. Namun jika salah caranya, kondisi kaki boleh jadi semakin teruk.
Untuk elakkan perkara itu berlaku, JANGAN lakukan perkara-perkara berikut:
1. JANGAN URUT
Elakkan terus mengurut kawasan yang tercedera. Mengurut sejurus sahaja kecederaan berlaku adalah sangat menyakitkan dan boleh menyebabkan bengkak lebih teruk. Urutan hanya dibenarkan selepas 48-72 jam kecederaan berlaku.
2. JANGAN TUAM HABA
Tuaman haba akan menyebabkan salur darah mengembang lantas mempercepatkan dan mempertingkatkan proses keradangan. Tuaman menggunakan haba hanya dibenarkan selepas 48-72 jam kecederaan berlaku.
3. JANGAN SAPU MINYAK PANAS/GAMAT
Jika ada luka di kulit di kawasan kecederaan, jangan sapu minyak panas atau minyak gamat kerana ia boleh menyebabkan iritasi dan jangkitan pada luka. Minyak panas/gamat hanya dibenarkan jika di kawasan terseliuh itu tiada sebarang luka.
4. JANGAN ABAIKAN KESAKITAN
Jika kesakitan dan bengkak yang dialami terlalu kuat, itu tanda-tanda kecederaan yang anda alami agak parah. Jumpalah doktor, terutamanya jika ada kebas-kebas jari, sendi terkehel keluar, kelumpuhan, dan luka(mungkin open fracture).
Berikut pula perkara-perkara yang anda PERLU lakukan sebaik sahaja tercedera:
1. PERLU REHAT
Rehat di sini bermaksud mengurangkan gerakan sendi yang cedera dan tidak menggunakan kaki yang tercedera untuk berjalan. Gunakanlah tongkat ketiak(axillary crutches), tongkat lengan(elbow crutches) atau kerusi roda untuk berambulasi.
2. PERLU TUAM AIS
Sejurus selepas kecederaan lakukan tuaman ais. Tuaman ais selama 20 minit setiap 2-3 jam dapat mengurangkan kesakitan dan mengelakkan bengkak yang teruk. Rejim tuaman ais ini disarankan dibuat sehingga 48-72 selepas kecederaan.
3. PERLU BALUT
Balutan ini untuk beri tekanan dan mengurangkan pergerakan pada sendi yang tercedera. Ini dapat menghalang bengkak besar daripada terjadi. Namun, pastikan tidak balut terlampau ketat sehingga bekalan darah tersekat.
4. PERLU TINGGIKAN
Anggota yang tercedera perlulah diletakkan tinggi. Sewaktu duduk pastikan kaki tercedera sentiasa melunjur. Jangan biar tergantung di bawah. Sewaktu baring atau tidur, kaki cedera itu hendaklah lebih tinggi daripada badan. Boleh alas bantal di bawah kaki.
Itulah rawatan yang JANGAN dan rawatan yang PERLU dilakukan sejurus selepas terseliuh pergelangan kaki, agar cepat sembuh.
Setelah bengkak dan kesakitan surut, anda perlu lakukan senaman untuk kuatkan semula sendi yang tercedera. Boleh belajar senamannya di pusat fisioterapi.
Jika rawatan di rumah tidak mengurangkan bengkak dan kesakitan, itu tandanya anda kena berjumpa doktor. Khuatir ada ligamen yang terputus atau keretakan tulang. Jika tidak sempurna, kecederaan ini boleh akibatkan kesakitan kronik.
Semoga bermanfaat!
Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan
Biro Rehabilitasi Medtweetmy
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI