
Dalam bidang kesihatan dan kecergasan, persoalan tentang apa yang berlaku kepada lemak badan apabila berat badan turun sering dibangkitkan.
Terdapat pelbagai teori dan mitos yang beredar. Adakah lemak itu “dibakar” menjadi haba semata-mata, bertukar menjadi otot atau lenyap melalui peluh?
Memahami proses saintifik di sebalik kehilangan lemak adalah kunci untuk menguruskan berat badan dengan berkesan.
Pertama, penting untuk kita akui cabaran kesihatan awam yang dihadapi Malaysia berkaitan obesiti. Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, angka yang membimbangkan menunjukkan lebih separuh (50.8%) daripada populasi dewasa di Malaysia sama ada berlebihan berat badan atau obes.
Keadaan ini bukanlah sekadar isu penampilan. Ia merupakan faktor risiko utama kepada pelbagai penyakit kronik yang memudaratkan seperti diabetes Type 2, penyakit kardiovaskular, strok, hipertensi dan kanser tertentu.
Beban obesiti terhadap sistem kesihatan dan kualiti hidup individu adalah signifikan.
Namun, harapan sentiasa ada. Mesej penting yang perlu ditekankan ialah kita tidak pernah terlambat untuk memulakan langkah ke arah berat badan yang lebih sihat.
PROSES PENURUNAN BERAT BADAN
Perubahan gaya hidup walaupun kecil dapat memberikan impak positif yang besar kepada kesihatan jangka panjang dan mengurangkan risiko penyakit berkaitan obesiti.
Memahami bagaimana badan kita memproses lemak ketika turun berat boleh menjadi dorongan tambahan dalam perjalanan ini.
Jadi, mari kita fokus kepada soalan utama. Ke mana hilangnya lemak badan semasa proses penurunan berat?
Lemak badan disimpan terutamanya dalam sel-sel lemak (adipocytes) dalam bentuk molekul yang kompleks dipanggil trigliserida.
Trigliserida ini bertindak sebagai simpanan tenaga utama badan. Apabila seseorang berada dalam keadaan defisit kalori. Iaitu apabila pengambilan kalori harian lebih rendah daripada jumlah kalori yang dibakar oleh badan melalui metabolisme asas dan aktiviti fizikal badan akan mula mengakses simpanan tenaga ini.
Proses di mana trigliserida dipecahkan untuk digunakan sebagai tenaga dipanggil lipolisis. Dalam lipolisis, trigliserida dipecahkan kepada komponen yang lebih mudah iaitu asid lemak bebas dan gliserol.
Komponen-komponen ini kemudian dilepaskan ke dalam aliran darah dan diangkut ke tisu-tisu yang memerlukan tenaga, seperti otot semasa bersenam atau organ-organ lain yang memerlukan bahan api.
Di dalam sel-sel ini, asid lemak dan gliserol melalui satu siri tindak balas kimia yang kompleks yang dipanggil pengoksidaan. Inilah peringkat di mana ‘pembakaran’ lemak berlaku di peringkat selular untuk menghasilkan tenaga.
Hasil daripada pengoksidaan asid lemak adalah tenaga yang digunakan oleh badan, bersama-sama dengan produk sampingan utama, karbon dioksida () dan air ().
Ini bermakna bahawa majoriti besar daripada lemak yang hilang dari badan sebenarnya disingkirkan dalam bentuk gas karbon dioksida, yang kita hembuskan setiap kali kita bernafas.
Bahagian selebihnya disingkirkan dalam bentuk air melalui peluh, air kencing dan juga pernafasan.
Menurut penyelidikan saintifik yang mengkaji metabolisme lemak, kira-kira 84% daripada jisim lemak yang hilang disingkirkan dari badan sebagai melalui pernafasan, manakala kira-kira 16% disingkirkan sebagai melalui pelbagai proses penyingkiran cecair badan.
Ini menjelaskan peranan kritikal pernafasan dalam proses kehilangan lemak, dan mengapa aktiviti yang meningkatkan kadar pernafasan, seperti senaman kardio, sangat berkesan.
MANFAAT KESIHATAN
Memahami mekanisme ini menegaskan semula kepentingan gabungan strategik antara pengurangan pengambilan kalori (melalui diet sihat dan seimbang) dan peningkatan pembakaran kalori (melalui senaman fizikal secara konsisten) untuk mewujudkan defisit kalori yang diperlukan bagi mencetuskan lipolisis dan pengoksidaan lemak.
Selain daripada proses biokimia ini, kesan penurunan berat badan yang sihat terhadap kesihatan keseluruhan adalah sangat signifikan dan positif.
Kehilangan berat badan, walaupun dalam jumlah yang sederhana (sekitar 5-10% dari berat badan asal), dapat memberikan manfaat kesihatan yang luas, termasuklah:
- Pengurangan ketara risiko penyakit kronik seperti penyakit jantung, strok, dan diabetes Type 2.
- Peningkatan profil lipid darah (kolesterol baik meningkat, kolesterol jahat menurun).
- Penurunan tekanan darah.
- Pengurangan beban pada sendi, yang boleh melegakan kesakitan dan meningkatkan mobiliti.
- Peningkatan tahap tenaga dan kualiti tidur.
- Peningkatan fungsi pernafasan.
- Peningkatan keyakinan diri dan kesejahteraan mental.
Kesimpulannya, konsep lemak “dibakar” menjadi haba atau ditukar menjadi otot adalah mitos yang tidak tepat.
BACA: Masalah Lemah Tenaga Batin Di Kalangan Lelaki Muda, Salah Satu Punca Guna Bahan Terlarang
Lemak badan dipecahkan kepada karbon dioksida dan air melalui proses lipolisis dan pengoksidaan apabila wujudnya defisit kalori. Dan sebahagian besar daripadanya dinafas keluar.
Menurunkan berat badan adalah satu usaha yang membuahkan hasil besar untuk kesihatan. Setiap langkah ke arah pilihan yang lebih sihat adalah pelaburan untuk masa depan anda.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI