
Musim Piala Dunia FIFA 2026 bukan sahaja menghangatkan pentas bola sepak dunia, malah turut mendorong ramai pemain rekreasi kembali aktif di padang. Namun di sebalik keterujaan itu, terdapat satu kecederaan yang sering dipandang ringan tetapi mampu menjejaskan prestasi atlet dalam jangka masa panjang iaitu kecederaan hamstring.
Ramai pemain menganggap kesakitan di bahagian belakang paha sekadar masalah otot tertarik yang akan pulih dengan sendirinya selepas beberapa hari berehat.
Hakikatnya, kecederaan hamstring boleh menjadi lebih serius sehingga memerlukan rawatan pakar, fisioterapi intensif dan dalam sesetengah kes, pembedahan.

Menurut Pakar Perunding dan Pakar Bedah Ortopedik, Trauma dan Sukan di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Aminudin Mohamed Shamsudin, kecederaan hamstring dianggarkan menjejaskan antara 10 hingga 30 peratus atlet sukan dan menyumbang hampir 35 peratus daripada keseluruhan kecederaan otot dalam kalangan atlet profesional.
Otot Penting Untuk Kelajuan Dan Kuasa
Hamstring terdiri daripada tiga kumpulan otot yang terletak di bahagian belakang paha dan memainkan peranan penting dalam hampir setiap pergerakan atlet.
Otot ini membantu membengkokkan lutut, meluruskan pinggul serta mengawal pergerakan kaki ketika berlari, memecut, melompat atau melakukan tendangan.

Menurut Dr Aminudin, hamstring boleh dianggap sebagai sistem brek dan pemecut utama badan ketika bersukan.
“Apabila otot-otot ini dikenakan tekanan yang melampau, serat otot boleh meregang melebihi hadnya, menyebabkan ia mengalami regangan, koyakan separa atau, dalam kes yang lebih serius, terpisah sepenuhnya daripada tulang,” jelas beliau.
Kecederaan ini boleh berlaku ketika melakukan pecutan, perubahan arah secara mengejut atau pergerakan eksplosif yang sering berlaku dalam bola sepak, futsal dan sukan padang lain.
Tidak Semua Kecederaan Hamstring Sama
Salah satu sebab ramai atlet memandang ringan kecederaan hamstring adalah kerana simptom awalnya sering kelihatan sama.
Namun menurut Dr Aminudin, kecederaan hamstring boleh dibahagikan kepada tiga tahap utama iaitu ringan, sederhana dan teruk.
Kecederaan ringan biasanya melibatkan sebahagian kecil serat otot dan memerlukan tempoh pemulihan sekitar empat hingga enam minggu sebelum atlet boleh kembali bersukan.

Bagi kecederaan sederhana, koyakan otot yang lebih besar boleh berlaku dan tempoh pemulihan boleh mencecah tiga hingga empat bulan.
Kecederaan yang paling serius pula melibatkan koyakan lengkap atau kecederaan avulsi, iaitu apabila tendon tertarik dan terpisah daripada tulang. Situasi ini lazimnya memerlukan pembedahan bagi memulihkan struktur yang rosak.
Atlet Remaja Turut Berisiko
Kecederaan hamstring bukan hanya berlaku kepada atlet profesional atau orang dewasa.
Menurut Pakar Perunding dan Pakar Bedah Ortopedik, Trauma dan Ortopedik Kanak-Kanak SMCV, Dr Maria Shelynn Wong, atlet muda juga mempunyai risiko tersendiri kerana tulang mereka masih berada dalam proses pertumbuhan.

Dalam kalangan remaja berusia sekitar 13 hingga 15 tahun, bahagian pelvis yang menjadi tempat tendon hamstring melekat masih belum matang sepenuhnya.
Akibatnya, tarikan kuat secara tiba-tiba boleh menyebabkan sebahagian kecil tulang tertarik dan terpisah daripada pelvis, keadaan yang dikenali sebagai fraktur avulsi apofisis.
Walaupun kecederaan ini agak jarang berlaku, ia memerlukan pendekatan rawatan yang berbeza berbanding kecederaan hamstring biasa.

Kenali Tanda Amaran
Menurut Dr Maria, terdapat beberapa simptom yang tidak boleh diabaikan oleh atlet, ibu bapa mahupun jurulatih.
“Tanda amaran yang orang ramai perlu tahu termasuklah sensasi bunyi ‘pop’ atau koyakan secara tiba-tiba di bahagian punggung atau belakang paha, kesakitan dan bengkak setempat pada sit bone, kesukaran berjalan atau meluruskan lutut, serta rasa kebas dan kesemutan yang menjalar ke kaki.”
Jika simptom seperti ini berlaku, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan dengan segera.
Doktor mungkin akan mencadangkan ujian sinar-X, CT Scan atau MRI bagi mengenal pasti tahap kecederaan serta menentukan rawatan yang paling sesuai.
BACA: ‘MAF Running’, Teknik Larian Selamat Buat Lelaki Berusia 30 Tahun Ke Atas
Bila Pembedahan Diperlukan?
Tidak semua kecederaan hamstring memerlukan pembedahan.
Namun bagi kes melibatkan koyakan lengkap atau tendon yang terpisah daripada tulang, prosedur pembedahan mungkin diperlukan untuk memulihkan fungsi normal otot dan tendon.
Menurut Dr Aminudin, tujuan utama pembedahan adalah mengembalikan panjang otot dan biomekanik yang betul supaya pesakit dapat kembali bergerak dengan selamat.
“Pembedahan membaiki struktur mekanikal, tetapi ia tidak secara automatik memulihkan fungsi hamstring.
Pemulihan masih memerlukan pengurusan kesakitan dan bengkak, diikuti dengan latihan pengukuhan serta pengkondisian hamstring secara berperingkat supaya tisu tersebut mampu menahan tekanan berkaitan permainan pada masa hadapan dengan selamat.”
Kembali Bermain Terlalu Awal Boleh Undang Risiko
Salah satu kesilapan paling kerap dilakukan atlet ialah kembali bermain terlalu awal sebaik sahaja kesakitan berkurangan.
Menurut pakar, kehilangan rasa sakit tidak semestinya bermaksud hamstring sudah pulih sepenuhnya.
Kekuatan, fleksibiliti dan kuasa otot perlu dipulihkan terlebih dahulu sebelum seseorang atlet kembali menjalani latihan atau pertandingan berintensiti tinggi.
Ini kerana hamstring yang belum pulih sepenuhnya mempunyai risiko tinggi untuk mengalami kecederaan berulang, yang selalunya lebih sukar dirawat berbanding kecederaan pertama.
Pencegahan Sentiasa Lebih Baik
Bagi atlet profesional mahupun pemain hujung minggu, langkah terbaik ialah memastikan badan sentiasa berada dalam keadaan bersedia sebelum menjalani aktiviti berintensiti tinggi.
Pemanasan badan yang mencukupi, latihan kekuatan hamstring dan glute, peningkatan beban latihan secara berperingkat serta tempoh rehat yang mencukupi mampu membantu mengurangkan risiko kecederaan.
Apa yang pasti, hamstring bukan sekadar otot biasa. Ia merupakan antara komponen paling penting dalam prestasi atlet. Apabila berlaku kecederaan, mendapatkan diagnosis awal dan rawatan yang betul boleh menjadi perbezaan antara kembali ke padang dalam keadaan cergas atau berdepan masalah yang berlarutan selama berbulan-bulan.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




