Kelas Sekejap Jadikan AI Pembelajaran Sebagai ‘Co-Pilot’ yang Lebih Berkesan

Share

 

Kecerdasan buatan (AI) tidak seharusnya digunakan sekadar untuk mendapatkan jawapan dengan pantas, sebaliknya perlu berperanan sebagai pembantu yang mendorong manusia untuk terus berfikir, meneroka dan belajar.

Itulah antara pendekatan yang diketengahkan oleh ‘Kelas Sekejap,’ sebuah platform pembelajaran berasaskan AI yang mahu mengubah cara rakyat Malaysia memperoleh ilmu dan membangunkan kemahiran.

Menurut pasukan Kelas Sekejap, AI perlu bertindak sebagai “co-pilot” kepada pengguna, bukannya mengambil alih peranan manusia dalam proses pembelajaran.

Pendekatan itu turut dilihat berperanan penting dalam pendidikan kerana penggunaan AI secara berlebihan dikhuatiri boleh menyebabkan kebergantungan pelajar kepada teknologi sehingga mengurangkan keupayaan mereka untuk berfikir secara kritikal dan menyelesaikan masalah sendiri.

Sebaliknya, Kelas Sekejap mahu pengguna melalui proses pembelajaran yang lebih terbuka dengan meneroka pelbagai kemungkinan, termasuk membuat kesilapan sebelum sampai kepada sesuatu jawapan.

AI bantu guru, bukan ganti guru

Dalam konteks pendidikan, platform itu turut membangunkan modul pembelajaran bahasa Inggeris yang memberi tumpuan kepada keperluan pelajar, termasuk persediaan menghadapi komponen lisan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pasukan Kelas Sekejap berkata antara cabaran utama yang dikenal pasti ialah masa guru yang terhad untuk memberikan latihan pertuturan secara individu kepada setiap pelajar.

Dalam keadaan sebuah kelas mempunyai ramai pelajar, peluang untuk setiap individu berlatih bercakap secara langsung dengan guru adalah sangat terhad.

Melalui AI, pelajar boleh melakukan latihan pertuturan secara berulang di luar waktu kelas, manakala guru boleh memperoleh gambaran mengenai perkembangan dan keperluan setiap pelajar.

Maklumat itu kemudiannya boleh membantu guru menggunakan masa yang terhad bersama pelajar dengan lebih berkesan.

Pendekatan berkenaan menunjukkan bahawa AI tidak bertujuan menggantikan guru, sebaliknya berfungsi sebagai alat sokongan untuk memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran.

Bukan sekadar belajar bahasa

Walaupun bermula dengan pembelajaran bahasa Inggeris, Kelas Sekejap melihat platform itu sebagai ruang untuk membangunkan pelbagai kemahiran lain.

Pengguna boleh menggunakan AI untuk meningkatkan kemahiran kerjaya seperti pengurusan pasukan, rundingan gaji, persediaan temu duga dan menghadapi perbualan sukar di tempat kerja.

Platform itu juga merancang untuk memperluaskan pembelajaran kepada bahasa lain termasuk Bahasa Melayu dan Mandarin, selain bidang seperti literasi kewangan.

Menurut pasukan Kelas Sekejap, perkembangan ini sejajar dengan perubahan dunia pekerjaan yang semakin dipengaruhi AI.

Ramai individu kini mula menyedari bahawa kemahiran yang mereka gunakan selama bertahun-tahun mungkin perlu dikembangkan atau disesuaikan semula bagi memenuhi tuntutan pekerjaan masa hadapan.

Buka peluang kerjasama dengan Jenama

Selain pengguna individu, Kelas Sekejap turut membuka ruang kerjasama dengan syarikat dan jenama.

Konsep yang diketengahkan bukan sekadar meletakkan logo atau iklan di platform, tetapi menghasilkan kandungan pembelajaran yang memberikan nilai kepada pengguna.

Sebagai contoh, sesebuah jenama boleh berkongsi pengetahuan atau kepakaran mereka melalui kandungan pembelajaran yang boleh digunakan oleh masyarakat.

Pendekatan itu dilihat mampu mewujudkan hubungan lebih positif antara pengguna dengan jenama kerana pengguna bukan sahaja melihat iklan, malah memperoleh ilmu dan kemahiran daripada kandungan yang disediakan.

Kelas Sekejap turut melihat potensi kerjasama dengan organisasi bagi melatih pekerja melalui kandungan yang disesuaikan dengan keperluan syarikat.

Bahan dalaman seperti dokumen, panduan produk dan maklumat latihan boleh diubah menjadi pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif untuk pekerja.

Membantu golongan pekerja

Antara potensi penggunaan yang turut dibincangkan ialah latihan untuk pekerja dalam industri perkhidmatan seperti pemandu e-hailing.

Sebagai contoh, penguasaan bahasa Inggeris boleh membantu pemandu berkomunikasi dengan pelancong dan penumpang antarabangsa dengan lebih yakin.

Model itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pekerja, malah boleh membantu syarikat meningkatkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan.

BACA JUGA : Laungkan Semangat Kita: Atlet Malaysia Perlukan Sorakan Anda Di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026!

Fokus kepada keperluan Malaysia

Berbanding platform pembelajaran global yang menyasarkan pengguna di seluruh dunia, Kelas Sekejap mahu membangunkan kandungan yang lebih dekat dengan realiti masyarakat Malaysia.

Ini termasuk penggunaan konteks tempatan, bahasa yang digunakan rakyat Malaysia serta isu dan kemahiran yang relevan dengan kehidupan seharian.

Pasukan Kelas Sekejap melihat pendekatan tempatan itu sebagai satu kelebihan untuk membina hubungan yang lebih rapat dengan sekolah, guru, syarikat, jenama dan komuniti.

Pada akhirnya, platform itu mahu membuktikan bahawa AI bukan semata-mata teknologi untuk mendapatkan jawapan dengan lebih cepat.

Sebaliknya, AI boleh menjadi alat yang membantu manusia belajar dengan lebih baik, membina keyakinan, meningkatkan kemahiran dan kekal ingin tahu dalam dunia yang sentiasa berubah.

 

Published by
Erwannizam Osmand