
Ada konsert yang diraikan kerana persembahannya hebat. Ada juga yang dikenang kerana nilai sentimentalnya. Namun Konsert ‘Hujan XX: 20 Tahun’ di Stadium Hoki Bukit Jalil berjaya menghimpunkan kedua-duanya dalam satu malam yang sukar dilupakan.
Lebih daripada sekadar meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan Hujan, konsert ini sebenarnya menjadi sebuah perhimpunan gergasi buat komuniti peminat yang dikenali sebagai ‘Raingers’.
Mereka bukan sekadar hadir membeli tiket, sebaliknya menjadi saksi kepada perjalanan sebuah band indie yang pernah bermula daripada laman MySpace sebelum berkembang menjadi antara band paling berpengaruh dalam muzik alternatif Malaysia.

Kehadiran kira-kira 17,000 penonton bukan sahaja mencipta sejarah buat Hujan, malah turut melayakkan mereka menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi kategori ‘Largest Audience for a Single Indie Band Live Concert’.
Ia merupakan pencapaian yang cukup besar bagi sebuah band yang membina pengaruh secara organik tanpa bergantung kepada arus perdana pada awal perjalanan mereka.

Konsert bermula sekitar jam 8.15 malam dengan sorakan gemuruh penonton yang jelas sudah lama menantikan detik ini. Sejak lagu pertama dimainkan, suasana di Stadium Hoki Bukit Jalil sudah bertukar menjadi satu lautan manusia yang menyanyi bersama tanpa perlu dipelawa.
Nostalgia Sebuah Generasi
Apa yang paling menarik perhatian penulis ialah majoriti penonton terdiri daripada generasi milenial.
Mereka ialah generasi yang membesar ketika internet mula menjadi sebahagian daripada kehidupan harian, ketika MySpace menjadi platform utama menemui muzik baharu dan ketika lagu-lagu Hujan menjadi runut bunyi zaman belajar, cinta pertama dan pencarian identiti.

Melihat ribuan peminat menyanyikan setiap bait lagu membuktikan karya Hujan masih kekal relevan walaupun sudah dua dekad berlalu.
Tidak ramai band mampu menghasilkan katalog lagu yang begitu konsisten. Hujan bukan sekadar memiliki satu atau dua lagu popular. Hampir setiap album mereka melahirkan karya yang terus hidup dalam ingatan peminat.

Lagu seperti Pagi Yang Gelap, Mencari Konklusi, Aku Scandal, Kotak Hati dan Lonely Soldier Boy dinyanyikan beramai-ramai sehingga ada ketika suara penonton mengatasi sistem bunyi stadium.
Barisan Tetamu Yang Menghidupkan Malam
Konsert ini turut diperkaya dengan kemunculan beberapa nama besar yang pernah melalui era kegemilangan indie bersama Hujan.
Kejutan bermula seawal lagu Pelangi dan Kau apabila Loca B dan Amir Masdi muncul di atas pentas, sebelum Fynn Jamal menghidupkan suasana menerusi Pijak Hatiku.
Kemunculan Loque menerusi lagu Rantai Rasa pula menjadi antara detik paling bermakna malam itu. Yuna pula muncul membawakan lagu Di Kala Bulan Bermain Biola yang mendapat sorakan gemuruh penonton.

Sebelum lagu dimainkan, Noh Salleh sempat berkongsi penghargaan kepada Butterfingers.
“Sejujurnya, Hujan tidak akan wujud tanpa album Selamat Tinggal Dunia oleh Butterfingers.”
Konsert kemudian berubah wajah apabila Hujan membawa penonton kembali ke era Sang Enemy, fasa paling berat dalam diskografi mereka.

Joe daripada The Padangs, Ijam daripada Restraint serta gitaris Modread, Fahmi tampil menghidupkan lagu Mana Mungkin dan Bila Kau Jatuh, menghasilkan suasana yang jauh lebih agresif berbanding segmen sebelumnya.
Tidak cukup dengan itu, Akeem Jahat, DJ Uno, bekas pemain keyboard Hang Dimas dan Boyo turut muncul dalam Ke Selatan, menjadikan pentas semakin meriah.
Kemuncak kejutan sudah tentu kehadiran Datuk M. Nasir yang bersama-sama menyampaikan lagu Kembara, satu momen yang cukup istimewa buat seluruh stadium.

Noh Kekal Menjadi Noh
Di sebalik persembahan bertenaga, kekuatan sebenar konsert ini tetap terletak pada hubungan antara Hujan dan peminat mereka. Noh tidak pernah cuba menjadi seorang bintang rock yang jauh daripada penonton.
Sebaliknya dia berkongsi cerita, bergurau dan mengenang perjalanan bersama Raingers seperti berbual dengan rakan-rakan lama.

Beliau sempat menyakat peminat yang suatu ketika dahulu hadir sebagai remaja, tetapi kini sudah berkahwin dan mempunyai anak sendiri.
Turut hadir pada malam tersebut ialah bapanya, Salleh Ibrahim, yang menerima penghargaan secara terbuka daripada Noh.
Namun detik paling menyentuh hati hadir apabila Noh beberapa kali mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong Hujan.
“Mungkin bukan untuk Hujan secara keseluruhannya, tetapi bagi saya secara peribadi, saya bertahan dengan wang gig.
“Wang yang anda belanjakan untuk tiket yang membuatkan saya terus bertahan.
“Seluruh perjalanan saya dengan Hujan telah dibina semata-mata atas kasih sayang dan rahmat anda.”
Ungkapan itu cukup menggambarkan falsafah Hujan sejak dahulu. Tanpa Raingers, Hujan mungkin tidak akan berada di tahap ini.
BACA: Skechers Friendship Walk & Run 2026 Catat Rekod Baharu Dengan Penyertaan 10,000 Peserta
Sebuah Penutup Yang Layak
Konsert ditutup dengan Ludah Amerika, antara lagu paling lantang dalam katalog Hujan.
Ketika lagu itu bergema, beberapa bola gergasi bertulis Icon Entertainment melayang di ruang berdiri sebelum pertunjukan bunga api menamatkan malam yang penuh emosi itu.
Konsert Hujan XX bukan sekadar sambutan ulang tahun ke-20. Ia merupakan perayaan sebuah komuniti yang telah membesar bersama muzik mereka. Malam itu bukan tentang membuktikan Hujan masih relevan, kerana hakikatnya mereka tidak pernah benar-benar pergi.


Sebaliknya, ia menjadi bukti bahawa sebuah band indie dari era MySpace masih mampu menghimpunkan 17,000 peminat dalam satu malam, mencipta rekod kebangsaan dan mengingatkan semua bahawa sesetengah muzik tidak pernah luput ditelan zaman.
Kredit foto: Bangsawan Pictures
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang



